Namun yang lebih penting, kita semua sebagai rakyat Malaysia walaupun dalam apa parti sekalipun perlu berbangga dan bersyukur kerana berkongsi kematangan berpolitik yang tinggi.

Rakyat terbanyak menggunakan kematangan demokrasi dalam menyatakan ketidakpuasan hati, amarah, dan apa jua yang dirasai melalui kertas undi.

Tidak melalui rusuhan, pergaduhan besar atau perarakan yang boleh menyalakan api kemarahan dalam kalangan masyarakat. Jelas di negara ini keadaannya seumpama 'berhari raya sempena pilihan raya'.

Namun kini bermula cabaran baharu kepimpinan negara yang diterajui sekali lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka wajah dan landskap politik negara juga bakal banyak berubah.

Apatah lagi jawatan kanan telah diisi oleh pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan. Lim Guan Eng dipilih menjadi Menteri Kewangan manakala Mohamad Sabu pula terpilih menjadi Menteri Pertahanan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri. Tahniah kepada semua yang terpilih.

Walaupun kedengaran ura-ura bahawa PKR melalui Rafizi Ramli tidak berpuas hati dengan perlantikan itu (setakat rencana ini ditulis) namun segalanya mungkin berlaku kerana kita sedia maklum pakatan mereka ini masih terlalu muda dan rapuh.

Dan bagi kebanyakan orang sudah pasti perubahan landskap politik ini dilihat akan turut mengorbankan banyak keistimewaan yang selama ini dinikmati orang Melayu Islam.

Apatah lagi melihat DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tiada siapa boleh menafikan selama bertahun-tahun pemikiran kita 'dibasuh' serta 'disekolahkan' iaitu DAP adalah sebuah parti yang mencurigai Islam dan Melayu hasil 'didikan' Dr. Mahathir ketika memimpin UMNO sehinggalah kepimpinan sekarang.

Namun tidak mengapalah kerana dalam soal itu rakyat sudah memilih parti yang mereka mahu dan kita lihatlah nanti siapa untung dan siapa pula yang rugi.

Bagaimanapun di satu sudut terpinggir, di sebalik sambutan dan kemeriahan yang diraikan penyokong kerajaan baharu, terlihat sugul dan sedih para pemimpin UMNO yang boleh dikatakan sudah terjatuh ditimpa tangga.

Ia terserlah pada majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-72 pada Jumaat lepas yang kelam suasananya berikutan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Maka jelaslah, dalam keadaan ini barulah kita sedar siapa kawan dan siapa lawan tetapi jika memilih kerjaya politik adalah jelas, tidak ada kawan atau lawan yang kekal.

Namun yang jelas walau dibentangkan fakta atau digunakan perangkaan dari media sosial tercanggih sekalipun, bekas Presiden UMNO sendiri, Dr. Mahathir menunjukkan siapa lebih berpengaruh malah masih mampu memimpin pada usia lebih 90 tahun.

Yang pasti sejarah telah tercipta dan UMNO gugur di medan perang dan kini hanya menjadi pembangkang. Hakikatnya, tidak ada apa yang boleh diubah melainkan UMNO sendiri yang perlu berubah.

Kenapa lagi perlu dikenang barang yang lepas kerana jelas kekalahan yang berlaku adalah berpunca daripada sikap dan kesilapan sendiri.

Pemimpinnya pula masing-masing perlu sedar diri dan ukur baju di badan sendiri kesesuaian mereka untuk kekal jika parti sudah hilang jiwanya.

Ya, hilang jiwanya kerana berapa ramai ahlinya yang begitu setia sejak sekian lama sama ada menangis bercucuran air mata atau tidak berlagu, sebaik-baik menerima berita perjuangan parti itu hampir terkubur selepas berakhirnya PRU kali ini.

Adalah menyedihkan nasib pemimpin dan ahli yang telah banyak berkorban demi UMNO menjadi korban akibat kerakusan beberapa pihak membuat kekayaan melampau sekali gus mencetus persepsi bahawa seolah-olah seluruh UMNO itu buruk.

Parti itu bukan baharu setahun dua ditubuhkan dan sememangnya adalah biasa bagi sebuah parti lama seperti UMNO untuk berkubur jika tidak mahu mendengar kata ahlinya dan rakyat serta berubah mengikut kehendak dan perubahan zaman. Maka adalah jelas apa lagi yang perlu dilakukan adalah perubahan dan rombakan yang bersesuaian supaya UMNO itu kekal relevan. UMNO itu sendiri perlu diberikan ‘harapan baru’ jika mahu diterima rakyat.

Adalah jelas segala pembangunan dan susah senang yang kita lalui ini adalah hasil jasa UMNO, itu adalah noktah. Namun itu bukan bermakna rakyat hanya mahu diminta mengenang jasa serta bersekongkol dengan salah guna kuasa.

Jika tidak kerana rakyat Malaysia lebih bijak daripada kebanyakan rakyat lain di dunia mungkin nasib kita sama dengan rakan-rakan kita yang bergolak di tanah air sendiri seperti Mesir, Libya, dan banyak negara lain.

Mereka berperang sesama sendiri dan kerajaan yang telah lama memerintah enggan berundur malah menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya.

Dalam hal ini UMNO sebagai sebuah parti yang telah memimpin negara lebih 60 tahun sejak sebelum kemerdekaan lagi jelas menunjukkan kematangan dan kelasnya yang tersendiri.

Menerima kenyataan walaupun pahit dan perit namun janji UMNO tetap pasti. Tidak ada perkara yang kekal di dunia namun pengajaran ini sebenarnya sangat berharga untuk UMNO dan perlu diteladani sepenuhnya jika mahu bangkit dengan bergaya pada PRU akan datang.

Banyak ruang dan vakum yang boleh diisi akibat kelompongan bilangan janji yang gagal dipenuhi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Kita semua tahu manifesto adalah senjata politik untuk menarik undi. Namun sama ada dikota janji yang dilihat begitu 'indah' untuk dipenuhi ia seharusnya bakal menjadi 'peluru' untuk PRU akan datang bagi UMNO.

Hakikatnya banyak kisah yang berlaku dalam UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi punca kenapa UMNO dilihat bermasalah.

Perubahan besar perlu berlaku bukan saja pada kadar segera tetapi juga secara tersusun dan dominan supaya penyelesaian segala permasalahan yang meniti di bibir pengundi selama ini 
dapat diselesaikan secepat mungkin.

Lebih penting lagi untuk menarik ahli muda untuk kekal setia selain menambah secara total jumlah ahli baharu. Apatah lagi dengan pengalaman memimpin sebuah negara dari kosong sehingga apa yang kita lihat hari ini sudah tentu banyak mematangkan UMNO.

Ini sudah tentu menjadi kekuatan UMNO yang tidak dimiliki oleh kerajaan baharu. Seperti mana kita lihat betapa 'bijak dan liciknya' Dr. Mahathir memimpin kesemua mereka di atas pentas setiap kali sidang media, begitulah juga kelebihan yang dimiliki UMNO.

Namun walau apa pun perancangan dan penyelesaiannya ia perlu dilakukan secara menarik rambut dalam tepung supaya ia tidak menjejas kelancaran perubahan dalam parti dan bersesuian dengan tradisi parti.

Kesetiaan ahli parti perlu terus dipertahankan kerana tiada makna menjadi pembangkang jika ahlinya hanya segelintir.

Ini sangat perlu jika UMNO mahu terus diterima rakyat dan kekal relevan. Jasa dan bakti UMNO tidak perlu dihurai dan tidak ada seorang pun yang boleh menafikan tidak mendapat manfaat daripada sebarang dasar sepanjang pemerintahannya.

Namun sekarang sudah sampai masanya untuk ahlinya menerima kenyataan dan memikirkan soal survival serta prinsip parti yang digenggam selama ini.

Cukuplah bernostalgia dan mulakan hari esok, Isnin pertama selepas PRU dengan sedar diri bahawa sudah tidak punya apa lagi. Tetapi lengkapkan diri dan melangkah gagah seolah-olah UMNO masih lagi sebuah parti keramat yang tidak gentar dengan sebarang ugutan mahupun cabaran kerana semua maklum agenda Islam dan Melayu akan sentiasa tersemat kukuh di hati.