Tetapi itu tidak menjadi kudis kepada Ahmad Bashah kerana penulis pasti perbuatan tersebut sedikit sebanyak didorong oleh mainan politik kelompok tertentu. Dalam ke­sibukan tugasnya menerajui pentadbiran kerajaan negeri, Ahmad Bashah atau Tok Bashah tetap mengambil berat soal bola sepak Kedah kerana beliau amat memahami sentimen rakyat negeri itu terhadap sukan berkenaan.

Peruntukan besar mencecah RM27 juta setahun diberikan kepada KFA. Ini termasuklah bagi tujuan membayar gaji dan bonus pemain serta keperluan lain. Hasilnya, pada tahun ini Kedah layak sekali lagi ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun tewas kepada JDT sekali gus gagal mempertahankan kedudukan sebagai juara, namun Kedah tetap menjadi salah satu pasukan bola sepak yang digeruni dan perlu diakui semua itu tercapai kerana komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ahmad Bashah terhadap pembangunan bola sepak di negeri itu.

Namun malangnya melalui siaran langsung pada hari perlawanan akhir itu seluruh negara atau lebih tepat lagi jutaan rakyat Malaysia menjadi saksi bagaimana Ahmad Bashah dimalukan, apabila segelintir penyokong Kedah mengejek beliau.

Berikutan itu munculnya kenyataan daripada Pergerakan Pemuda UMNO Kedah melalui Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mahukan Ahmad Bashah berundur daripada kerusi Presiden KFA. Gesaan berkenaan bukanlah bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Kedah tersebut tetapi bagi memastikan beliau tidak terus dimalukan oleh segelintir penyokong Kedah yang penulis percaya sudah terpengaruh dengan mainan politik.

Sebagai anak Kedah, penulis memahami apa yang berlaku di negeri itu sejak tercetusnya krisis kepemimpinan kerajaan negeri tidak berapa lama dahulu, tetapi bola sepak adalah bola sepak, ia tiada kaitan dengan perselisihan atau pergeseran politik mana-mana pihak.

Justeru tidak perlu mana-mana penyokong Kedah cuba mengotorkan pembangunan bola sepak Kedah dengan mainan politik sempit mereka. Hakikatnya, kalau benarlah ada segelintir penyokong negeri itu tidak mahu Ahmad Bashah menerajui lagi KFA, ia bukanlah satu masalah.

Ahmad Bashah bila-bila masa sahaja boleh berundur atau meletakkan jawatan, tetapi soalnya adakah ini akan memberi keuntungan kepada pembangunan bola sepak Kedah? Apa lagi penyokong Kedah mahukan daripada beliau? Tidak cukupkah lagi peruntukan RM27 juta? Tidak cukup lagi gaji dan bonus yang diberikan tepat pada masanya kepada pemain-pemain?

Sejarah sudah membuktikan apabila mana-mana kerajaan negeri tidak mempedulikan pembangunan bola sepak, pasukan negeri itu tidak ke mana. Penulis tidak perlu menyatakan negeri mana yang kini berada di kedudukan tersebut, segelintir penyokong-penyokong Kedah yang `anti Ahmad Bashah’ mungkin lebih bijak untuk menilainya.

Oleh itu, kepada rakyat Kedah yang cintakan bola sepak. Berfikiran matanglah. Janganlah terpengaruh dengan agenda politik pihak-pihak tertentu sehingga sukan itu pun mahu diheret sama.

Apa pun penulis bersetuju jika Ahmad Bashah berundur sebagai Presiden KFA. Biarlah individu lain menerajuinya dan mencari peruntukan bagi membangunkan bola sepak Kedah.

Ahmad Bashah boleh menumpukan perhatian kepada pentadbiran negeri. Gunakanlah peruntukan yang diberikan kepada KFA selama ini untuk melaksanakan projek mensejahterakan rakyat Kedah. Jumlah RM27 juta bukanlah sedikit, banyak boleh dilakukan untuk rakyat negeri itu. Lagi pun maruah sebagai pemimpin negeri, jauh lebih penting daripada mahu memuaskan hati segelintir penyokong bola sepak Kedah.