TUN MAHATHIR
 

Banyak yang harus dipikirkan. Barisan menteri dan timbalan menteri kurang pengalaman dan kurang berprestasi dengan penilaian di tahap 5/10. Prestasi sebenar jauh lebih rendah dari itu cuma dirasakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) tidak mahu menjatuhkan air muka ahli kabinetnya kerana mereka itu juga pilihan Tun M. Dan Tun M juga tidak punya banyak pilihan dari segi tokoh yang berkaliber dalam PH. Justru tiada rombakan Kabinet yang dibuat yang sebenarnya amat mendesak.

Ditambah pula dengan adanya sabotaj dari dalam, dari kalangan menteri dan pegawai kerajaan seperti yang didedahkan oleh AKJ dalam tulisannya yang terbaru. Dengan bebanan hutang, ekonomi yang belum pulih dan sumber kewangan yang terhad, tentunya menambah bebanan dan tekanan kepada Tun M.

Bayangkan susuk tubuh berumur 93 tahun terpaksa menanggung semua itu? Apakah kita sampai hati untuk memaksa ayah atau datuk kita yang berumur 93 tahun untuk berbuat sedemikian. Pasti tidak! Tapi apakah benar Tun M tidak punya pilihan?

Tun M telah pun melaksanakan tanggungjawabnya yang utama iaitu menjatuhkan kerajaan kelptokrat Najib dan UMNO/BN. Itu satu sumbangan Tun M yang amat besar melangkaui sejarah. Rakyat telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri betapa rompakan harta negara yang dilakukan oleh Najib dan pemimpin UMNO/BN yang terlibat.

Tidak adil rasanya untuk memaksa Tun M menggalas tugas membangun semula Malaysia di umur dan tenaganya yang semakin rapuh. Amat tidak adil! Dan jika itu diteruskan, inilah kegagalan yang paling besar dalam PH! Tiada Pelan Penggantian dan tiada pelapis yang berwibawa untuk meneruskan usahanya membina semula Malaysia.

Banyak sudah didengar. Umum pun sudah tahu. Tun M tidak segah dulu. Ada kalanya beliau terpaksa ‘Take 5’ untuk tidur dan berehat sebentar di antara mesyuarat dan acara. Beliau kini kelihatannya cepat lelah dan tidak kurang pula beliau terlupa dan perlu diperingatkan. Beliau tidak boleh disalahkan. Biologi tubuh 93 tahun memang begitu.

Apa lagi kita mahu dari Tun M? Legasinya sudah terbukti. Tiada siapa yang boleh mempersoalkannya. Kita menyanjungnya dan dunia turut memperakuinya. Dan jangan sampai legasinya rosak kerana kita terlalu mendesak diluar kemampuan biologinya.

PH harus bertindak cepat dan teratur. Masa sangat mendesak. Kita tidak mahu kejutan, apalagi kejutan dalam kita tidak bersiap sedia. Pengganti telah dipersetujui. Cuma masa yang belum dimuktamadkan.

Apakah kita dan TunM takut beliau akan menjadi Itik Lumpuh jika tarikh peralihan diumumkan? Tidak mungkin. Penggantinya telah mengumumkan ke seluruh dunia yang TunM tetap akan memainkan peranan penting setelah peralihan.

Dalam keadaan dan suasana yang rilek setelah peralihan, TunM sebagai mentor akan dapat memberikan ide yang lebih bernas dan lebih fokus membangunkan negara dalam semua bidang meliputi pentadbiran, pendidikan, kewangan dan ekonomi.

Malah Tun M berkeupayaan melihat lebih menyeluruh masalah yang dihadapi dan dapat membantu memperbetulkan kelemahan dan kesilapan yang ada dengan tuntas dan lebih komprehensif.

Tun M seharusnya tidak perlu gusar. Tak mungkin penggantinya akan mengulangi kesilapan Abdullah Badawi dan Najib Razak. Lagi pun penggantinya bukan seperti kebanyakan Menteri Kabinetnya. Penggantinya telah teruji kebolehannya dan telah bersama beliau lebih 16 tahun mentadbir dan mengurus negara hingga menjadi Harimau Malaysia yang disegani ketika itu.

Malaysia Baru dan koalisi baru tidak mungkin akan memberikan ruang untuk kesilapan lama berulang. Begitu juga rakyat tidak teragak-agak akan menghukum PH seperti yang dilakukan terhadap Najib dan UUMNO/BN jika salah guna kuasa dan rasuah menyelinap dalam pentadbiran sekarang.

Di samping itu Tun M dapat menumpukan perhatian dalam mengukuhkan partinya yang juga setahun jagung. Umum mengetahui partinya belum cukup kuat dan tidak punya ramai pemimpin pelapis yang berkaliber. Kuat partinya kuatlah PH. Partinya merupakan tunjang untuk meraih sokongan pengundi Melayu terutama di luar bandar.

Tahun kedua dan tahun kedepan ini lebih mencabar. Tahun inilah rakyat akan melihat keupayaan PH sebenar dalam membangun dan menguruskan negara. Tiada lagi ruang untuk menyalahkan pentadbiran lama. Dan disinilah TunM harus menjadi penasihat dan mentor yang efektif memastikan pimpinan lapisan kedua ini benar-benar terlatih dan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Empat tahun tidak lama dan Tun M harus berani melakukan perubahan!

ARTIKEL ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS

Oleh Wai Tee