Tidak ada satu faktor yang boleh dinobatkan sebagai penyebab utama tersungkurnya PH dalam medan pertempuran PRK Semenyih. Salah satu faktor yang diajukan oleh parti ini adalah kerjasama erat di antara UMNO dan Pas. Kononnya, pengundi-pengundi Pas telah menyo­kong calon Barisan Nasional (BN) memandangkan Pas tidak mempertaruhkan calon mereka di PRK itu. Oleh itu, kejadian ‘pecah undi’ dalam PRU Ke–14 telah dapat dielakkan.

Tetapi, pada pendapat penulis, alasan ini tidak seharusnya diterima secara menyeluruh. Ada banyak faktor lain yang menyebabkan kenapa pengundi Semenyih menolak calon yang diketengahkan PH.

Besar kemungkinan rakyat sudah jelak dengan sandiwara pertarungan rebutan kuasa yang dipermainkan di pentas politik parti komponen PH. Saban hari, rakyat disuapkan dengan kenyataan-kenyataan parti komponen PH yang menyebabkan timbulnya persepsi mereka ini tidak bersepakat dalam menunaikan mandat yang diberikan oleh rakyat. Pemimpin-pemimpin ini lebih berminat menegakkan agenda peribadi mereka berbanding memperjuangkan kepentingan rakyat. Rakyat tidak berminat dengan sandiwara rebutan kuasa yang dipermainkan oleh pemimpin-pemimpin ini.

Mungkin juga, rakyat merasa loya dengan tindakan sesetengah menteri Kabinet yang berkelakuan seperti mereka itu masih berada dalam parti pembangkang. Kewibawaan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat juga dipersoalkan, apabila kontroversi demi kontroversi dipaparkan, khususnya di pentas media sosial. Memandangkan politik adalah suatu permainan persepsi, kontroversi ini (benar atau tidak) mengundang pandangan negatif yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kepimpinan mereka ini.

Kegagalan PH dalam menunaikan janji-janji manifesto yang dijaja tatkala PRU Ke-14 juga menyebabkan jatuhnya populariti parti ini. Walaupun janji-janji ini tidak mempunyai nilai di sisi undang-undang, namun kegagalan untuk menepati janji-janji ini dianggap oleh rakyat sebagai perkara negatif yang harus dihukum dengan memilih calon pembangkang.

Kenyataan beberapa pihak bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melepaskan jawatannya dalam masa tertentu mendatangkan persepsi ketidakstabilan politik yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kepimpinan PH. Ini juga salah satu sebab kenapa rakyat memilih calon BN di Semenyih.

Jelas Dr. Mahathir ialah pemangkin utama yang menyebabkan rakyat menerima PH sebagai kerajaan. Beliau adalah penyatu parti-parti komponen PH. Bukan itu sahaja, kemahiran serta pengalamannya mentadbir negara menjadikan beliau pilihan unggul rakyat tatkala PRU Ke-14. Ketiadaan Dr. Mahathir akan menyebabkan persepsi PH hilang arah tujuan, sekali gus akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu.

Seperkara lagi, salah satu faktor yang menyebabkan tersungkurnya BN di PRU Ke-14 adalah isu hutang 1MDB. Rakyat beranggapan mereka telah ditipu oleh pemimpin-pemimpin yang bersangkutan terus dengan isu 1MDB ini. Harus diingatkan isu 1MDB ini bukanlah baharu. Para pemimpin PKR dan juga DAP telah mengutarakan isu ini sekian lama. Namun, ia gagal untuk mendapat sambutan rakyat. Tetapi, hanya setelah Dr. Mahathir memberi isu ini nafas daripada perspektif lain, barulah rakyat memberi perhatian serius. Sepertimana yang kita sedia maklum, rak­yat bertindak dengan menghukum kerajaan BN dengan menolak calon-calon yang diketengahkan oleh parti ini secara amnya dalam PRU Ke-14.

Setelah tamatnya pilihan raya dan seperti dijangka, apa yang berlaku seterusnya adalah pertuduhan demi per­tuduhan jenayah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN. Walaupun perbicaraan belum dilangsungkan, namun pemimpin-pemimpin PH mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka yang dihadapkan ke mahkamah ini telah pun didapati bersalah.

Sekiranya sesuatu kes itu telah dihadapkan ke mahka­mah, maka tiada komen dikeluarkan kerana boleh dianggap sebagai menghina mahkamah. Kenyataan-kenyataan ini menimbulkan persepsi bahawa pertuduhan-pertuduhan ini adalah satu tindakan untuk membinasakan lawan politik mereka.

Dalam pada itu, BN sebagai parti pembangkang, dengan mengambil kesempatan untuk meraih sokongan rakyat dengan mengutarakan isu-isu ini di atas dengan lebih mendalam. Namun, keadaan dan kestabilan BN pun amat goyah. Baru-baru ini, dua parti komponen terbesar BN, iaitu MCA dan MIC mahu keluar daripada parti itu.

Mereka juga mengemukakan cadangan agar BN dibubarkan. Sekiranya kestabilan BN hanya menjadi suatu tanda tanya sebelum ini, tindakan MCA dan MIC ini mengesahkan persepsi ketidakstabilan ini. Rakyat mungkin akan membuat kesimpulan sebenarnya, tiada perbezaan di antara BN dan PH dari segi kestabilan kepimpinan.

Jelas, rakyat menjadi keliru dan jelak dengan perbalahan dalaman politik yang berlaku di dalam BN dan juga PH. Persepsi yang timbul dalam landskap politik seperti ini adalah pemimpin-pemimpin ini hanya berminat kepada kuasa, dan bukannya berjuang untuk kepentingan rakyat.

Sekiranya perbalahan ini tidak dibendung, mungkin ada baiknya satu parti politik baharu ditubuhkan untuk memberi kestabilan dan arah tuju yang nyata demi kepentingan rakyat. Rakyat sudah muak dengan sandiwara rebutan kuasa yang dipermainkan ini. Apa yang diidamkan hanyalah memperjuangkan dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding keghairahan kepada kuasa politik dan agenda peribadi sesetengah pihak.

n DATUK M. REZA HASSAN ialah penganalisis undang-undang.


Sekiranya perbalahan ini tidak dibendung, mungkin ada baiknya satu parti politik baharu ditubuhkan untuk memberi kestabilan dan arah tuju yang nyata demi kepentingan rakyat.