Sebelum ini tidak ada private bill pihak pembangkang yang diberi laluan oleh Speaker untuk dibentangkan.

Rang undang-undang (RUU) itu membabitkan hal ehwal syariah dan undang-undang Islam.

Apa sebenarnya berlaku? Me­ngapa menteri yang bertanggungjawab dengan agama iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak berada di Parlimen semasa usul itu mahu dibangkitkan? Yang ada ialah menteri yang menjaga urusan Parlimen iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said. Azali­na pula dilaporkan bangun dan memberi laluan supaya usul itu dibaca.

Saya diberitahu “banyak yang tidak sepatutnya berlaku, berlaku pada hari itu”.

Jika Dewan Tertinggi BN dimaklumkan mengenai pembentang rang undang-undang persendirian itu, sudah tentulah presiden-presiden parti komponen BN tidak melenting sehingga mahu berhenti daripada jawatan menteri dan keluar daripada BN.

Kecohlah juga sebentar, walaupun kemudian kendur apabila komponen parti berkata rang undang-undang ini tidak membabitkan “hudud” sebaliknya soal pengukuhan institusi mahkamah syariah.

Saya difahamkan Jamil Khir telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan yang Kerajaan Pusat telah membincangkan mengenai soal menambah baik mahkamah syariah sejak 2004 lagi - “namun dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan”.

Ini bermakna usul itu tidak lebih daripada itu sebagaimana perjuangan Pas tersebut.

Yang saya tidak faham mengapa Jamil Khir sendiri tidak membentangkan rang undang-undang itu, sebaliknya “memberi laluan” kepada Hadi membentangkan RUU peribadinya pula?

Apakah ada “perhitungan tak­tikal” yang kita tak nampak? Adakah mahu mengambil hati Hadi dan Pas dan menempelak fraksi pakatan pembangkang? Lebih-lebih lagi ada dua PRK yang akan berlangsung tidak lama lagi?

Tetapi perbincangan saya hari ini ialah membabitkan tentang sikap dan kelakuan rakan-rakan komponen BN yang ‘melompat’ tak tentu fasal sehingga mengancam mahu keluar parti membabitkan soal agama Islam kita yang mulia ini?

Dalam Facebook semasa membincangkan isu ini saya ada me­nulis, “aku dah agak...”

Pendek saja, yang membawa maksud sikap mereka sanggup mengetepikan kawan dalam hal-hal yang membabitkan soal agama Islam dan Melayu.

Akibat kenyataan Presiden MCA, Gerakan, MIC, serta komponen Sabah maka orang Melayu Islam menggunakan laman sosial media untuk mencabar anggota komponen BN itu supaya keluar daripada barisan.

Terlalu panas hujahan mereka. Terlalu kasar bahasa yang digunakan.

Ada juga penyokong pembangkang yang menangguk di air keruh turut mencabar pre­siden parti-parti komponen BN itu mengotakan kata-kata mereka.

Nampaknya, percaturan taktikal itu, jika benarlah ia berlaku, tersasar jauh. Peluru yang ditembak tidak mengena sasaran sebaliknya melenting semula ke muka si penembak.

Hadi tidak bersalah dalam isu ini. Saya yakin rang undang-undang itu tidak akan diluluskan pun dan sampai untuk bacaan kali kedua. Kerana jika masuk ke fasa bacaan kali kedua, maka ia akan menjadi rang undang-undang kerajaan.

Walau apa pun, isu ini haruslah diuruskan secara strategik.

Mungkin Jamil Khir boleh jelaskan juga. Janganlah bagi jadi kelam-kelibut, kata orang Kedah.