Sejak awal 1990an, Malaysia ba­gaikan berhadapan dengan dilema bahasa, sedangkan bahasa Melayu itu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak sama statusnya dengan mana-mana bahasa etnik atau kaum. Bahasa negara adalah salah satu tonggak kenegaraan dan bahasa kesatuan perpaduan.

Kelemahan di Malaysia terjadi apabila ada tanggapan bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa orang Melayu sahaja. Jadi di­sebabkan persepsi bersifat perkauman begini, maka timbullah pandangan dan desakan kenapa tidak bahasa Cina atau Mandarin dan kenapa tidak bahasa Tamil atau bahasa sukuan yang lain se­perti bahasa Iban dan Kadazan.

Ada pula sesetengah puak dan golongan sengaja buat tidak faham, walhal dalam konteks amalan kaum mereka tidak salah dan tidak dihalang mempelajari dan menggunakannya. Kegagalan memahami antara ‘konteks’ rasmi dengan ‘tidak rasmi’ ini menyebabkan timbulnya konflik kebahasaan.

Malang sungguh, kemerdekaan yang sudah memasuki lebih daripada enam dekad, rakyat Malaysia dan pimpinan politik sendiri masih mengaburi rasionalisme dan citra kewatanan ini. Jika dihayati benar-benar, bahasa Me­layu adalah bahasa negara Malaysia sama seperti bahasa Jerman di Jerman, bahasa Jepun di Jepun, bahasa Rusia di Rusia, bahasa Korea di Korea, Mandarin di China. Bahasa kebangsaan itu menjadi alat pengantar ilmu, komunikasi dan bahasa perpaduan bangsa. Bahasa itulah yang menjadi lambang kepada kehidupan kebangsaan dan pengukuhan jati diri negara bangsa.

Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Fungsi Bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Secara ringkas, undang-un­dang Malaysia menetapkan per­kara-perkara yang berikut:

*  Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Malaysia.

* Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, badan berkanun, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

* Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Berdasarkan kehendak undang-undang di atas, dapat ditafsirkan fungsi bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara adalah menjadi bahasa rasmi; menjadi bahasa kebangsaan; menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri; menjadi bahasa yang dimajukan bagi maksud untuk ilmu tinggi, sains dan teknologi; serta menjadi bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.

Dengan demikian, Malaysia mem­punyai “Dasar Bahasa Negara” tersendiri, bukan pelbagai bahasa rasmi secara laissez faire. Hebatnya di Malaysia, ternyata kesatuan dalam kepelbagaian menjadi praktis. Sejak kemerdekaan 1957 amalan pelbagai bahasa kaum tidak pernah dimusnahkan. Ji­ka ada rancangan dan tujuan memusnahkan sebuah bahasa negara, maka fenomena ini sudah menjadi luar biasa. Orang Melayu tidak berfikir kerana aku Melayu maka aku mesti pertahankan bahasaku, yakni bahasa Melayu. Mereka merelakan bahasa Melayu menjadi bahasa negara. Orang Melayu mahu lihat kesatuan dan perpaduan negara jauh lebih besar dan lebih penting daripada tanggapan golongan cauvinistik.

Ada dasar-dasar bahasa yang berbeza di negara-negara yang berbeza. Cuba kita buka mata dan lihat dasar bahasa di negara: India, Singapura, Jepun, China, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali atau di Malaysia sendiri, Thailand dan Indonesia mahu pun di beberapa negara lain.

Di Malaysia, rasanya tidak ada orang yang tidak tahu, bahawa bahasa Melayu itu sudah berkembang zaman berzaman, menjadi bahasa ilmu, bahasa pemerintahan kerajaan tradisional, wahana perpaduan hatta ke segala ceruk rantau negara, di Sabah dan Sarawak. Bahasa Melayu itu alat komunikasi yang utama, meskipun mungkin terpecah kepada dialek dan cara sebutan.

Perjanjian Perlembagaan atau kontrak sosial itu sangat tepat dengan memilih bahasa Melayu atas sifat-sifatnya kerana fungsi lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah. Analogi bahasa ne­gara atau budaya itu adalah lak­sana ‘sungai besar’ dengan ca­bang-cabang ‘sungai kecil’. Bahasa itu dimajukan dari segala sumber asal, dialek, bahasa kaum, sukuan, bahasa asing yang diserap masuk kosa katanya. Itulah maksud pembangunan, pembinaan dan pengembangan bahasa.

Suatu senario yang sudah me­ngambil tempat berkurun-kurun la­manya. Sifat akomodatif bahasa Melayu, menjadikannya me­nerima pengaruh Sanskrit, Par­si, Arab, India, China, sumber bahasa serantau dan dialek atau sukuan sendiri. Kedinamikan bahasa Melayu ini selalu orang lupa.

Gerakan pendaulatan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah tuntutan Perlembagaan. Tetapi cuba ditanya kenapa penggunaannya dalam semua ranah kehidupan sering sahaja menjadi persoalan. Sektor awam sepatutnya menjadi fasilitator kemajuan kenegaraan, termasuk te­ladan kebahasaan, perluasan pengembangan dan pembinaannya, tetapi apakah hal itu benar-benar berlaku hingga ke sektor swasta pun. Semua pihak ada tanggungjawab Perlembagaan.

Percubaan menjadikan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa sampingan untuk kegunaan rasmi, menunjukkan persepsi po­litik kita masih bersifat perkauman. Itulah antara bibit-bibit perpecahan bangsa Malaysia pada masa depan, apabila ada tujuan memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kaum sendiri menjadi keutamaan bukannya bahasa dalam konteks kenegaraan.

Sejauh manakah rakyat dan pemimpin memahami aspirasi Perlembagaan dan undang-undang Malaysia yang telah menetapkan bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi? Sejauh mana pula orang politik di pihak kerajaan dan pembangkang memahami maksud yang sama?

Apakah Anggota Pentadbiran yakni semua berjawatan menteri dan timbalan menteri faham dan akur? Dari sudut pengurusan dan pentadbiran, adakah semua agensi, institusi, organisasi awam dan swasta mendukung dan mematuhinya, lalu bergerak secara bersepadu bersama-sama merealisasikan pelaksanaannya? Jika kerajaan sebelum ini gagal dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Negara, meskipun tidak 100 peratus, apakah kerajaan baharu tidak mahu ambil peduli dan bahasa negara berada di pinggir jiwa?

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).