Sebelum saya melanjutkan ucapan, baik saya habiskan ritual menyampaikan ucapan penghargaan terlebih dahulu. Pertamanya terima kasih penghargaan kepada Pengerusi Tetap persidangan kita, yang dengan gaya tersendirinya gunakan bahasa Kedah yang 'berloqlaq’ tak habis-habis. Tapi, dengan wiselnya kali ini, mudah-mudahan Kedah menang pada malam ini. (Pengerusi Tetap meniup wisel)

Saya juga ucap terima kasih kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang telah mengendalikan persidangan kita dengan keupayaan yang sangat baik.

Saya juga ucap terima kasih kepada Ibu Pejabat UMNO, sekretariat yang mengendalikan persidangan kita, pegawai-pegawai keselamatan polis dan semua pihak yang telah menjayakan persidangan kita kali ini.

Saya nak mulakan ucapan penggulungan saya dengan mengingatkan kepada kita surah Al-Asri: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh. Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Saya tanya alim ulama pengertian kerugian itu apa? Mereka kata kerugian itu kalau kita asyik menabur fitnah, berbohong, politik adu domba, jadi tukang kipas, ini semua dengan apa yang dikatakan dalam kerugian.

Secara peribadi dan saya dengan rakan-rakan juga bila menjelang Perhimpunan Agung pada kali ini berasa dengan penuh debaran, memikir tentang bagaimana agaknya perjalanan perhimpunan pada kali ini kerana berbagai-bagai kejadian, berbagai-bagai episod yang luar dugaan terutama mutakhir ini yang berlaku sebelum persidangan kita.

Tetapi, seperti surah Ali-Imran ayat ke-54: "Wamakaru wamakarullah...” Kita merancang, Allah merancang, namun Alhamdulillah perancangan Allah itu yang paling sempurna.

Namun, Alhamdulillah dengan izin Tuhan segala-gala telah berjalan dengan lancar dan baik. Saya ucap setinggi-tinggi tahniah kepada sidang perwakilan sekalian.

Hakikatnya dalam satu organisasi seperti UMNO ini, apa dia sendi kepada UMNO? Apa dia prinsip-prinsip yang kita anuti, yang sepatutnya kita amalkan, yang sepatutnya kita jadikan panduan?

Yang pertama, kita parti bangsa Melayu. Yang kedua, kita parti yang menjunjung tinggi syiar Islam.

Jadi dalam sifat kemelayuan kita, budaya kita, sebagai orang Melayu, kita diajar apa? Kita diajar sikap hormat-menghormati, kita diajar untuk taat dan setia kepada pemimpin, kita diajar untuk menghormati dan bersantun budi.

Setiap itu ada kaedahnya, ada susilanya, hatta untuk menegur pemimpin dan menyuarakan pandangan pun, ada adabnya. Begitu halusnya orang Melayu, inilah dikatakan jati diri, akal budi orang Melayu yang kita perlu amalkan. Kalau nak tegur pun, ada kaedahnya. Dalam UMNO pun, nak tegur pun, ada kaedahnya.

Betul? betul (perwakilan jawab). Cakap... betul, cakap betul.

Baik, kalau itu cara orang Melayu bersopan tertib. Kalau nak kata pun dalam sindiran. Dia tak bantai tegak-tegak, dia tak luku, dia tak tibai, dia tak balun, manakala parti yang menjunjung Islam pula, agama kita mengajar kita untuk saling percaya mempercayai dan mesti ada roh dan jiwa Islam.

Kalaulah dalam ucapan dasar saya sebut prinsip wala', saya nak lengkapkan prinsip itu dengan konsep tabayyun atau pun penelitian, yang disebut oleh beberapa orang jurucakap seperti surah al-Hujurat ayat keenam yang kita tahu, kalau datang apa-apa khabar kita tak boleh terima bulat-bulat.

Kita perlu apa? Selidik (disambut sorakan), siasat (sorakan), teliti (sorakan perwakilan) supaya jangan terjadi fitnah-memfitnah. Dengar cerita entah dari mana eh (terus) terima, 1MDB rugi RM42 bilion entah mana dia dapat, terima. Tak ada bukti, tukar cerita (jadi) RM27 bilion. Ya, bila orang tanya ada bukti? Tak ada, sebab itu saya tak buat laporan polis, sebab apa? Tak ada bukti.

Tapi dah sebut, ini ayat al-Quran mengingatkan pada kita jangan kita terima yang jadi masalah bila kita kata bahawa dalam perbahasan, jurucakap kata ini perang persepsi, tapi Islam dah beritahu kita kalau kita teliti, perang persepsi tidak akan mempengaruhi kita sebenarnya.

Dahsyatnya fitnah ini, kita tahu orang boleh kena bunuh kerana fitnah. Khalifah yang ketiga, Khalifah Uthman Ibn Affan yang sangat santun, lemah lembut dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah sesama bangsa.

Sebab itulah, prinsip wala’ taat setia dan juga tabayyun penting, sebab kita tahu, dalam sejarah peradaban Melayu, kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Kerana apa? Kerana permusuhan dalaman. Runtuhnya empayar besar Othmaniah, dianggap oleh para ahli sejarah tak mungkin, kalau ikut hukum akal tak mungkin runtuh tapi akhirnya hancur berkecai kerana apa? Kerana masalah dalaman menyebabkan empayar besar pun runtuh.

Sebab itulah kalau kita sebut UMNO ini apa? UMNO ini satu institusi politik, UMNO inilah tempat orang Melayu berteduh bergantung harap, tempat inilah untuk perlindungan anak cucu cicit kita. UMNOlah parti yang akan menentukan kegemilangan bangsa Melayu kita (disambut sorakan dan tepukan gemuruh).

Sebab itulah kalau tidak ada tanzim disiplin, tidak ada ketaatan, kalau kita tak ada kesetiaan UMNO juga boleh rebah. Nauzubillah. Sebab itulah ahli sejarah yang tersohor George Santayana, berkata "If you do not learn from history, history will condemn you". Kalau tak faham, faham sahaja tak payah ulas.

Perhimpunan kita ini kalau perhimpunan dulu, tahun sudah, soal pokok, soal Akta Hasutan, yang persidangan pada kali ini dua perkara penting. Yang pertama, disebut-sebut soal ekonomi rakyat, sara hidup, perumahan, dan soal dalaman kita UMNO.

Saya nak cakap sikit tentang soal ekonomi rakyat sebelum saya sentuh soal dalaman UMNO, soal ekonomi rakyat ini ia berkait rapat dengan faktor luaran dan faktor dalaman, tapi walaupun kita berdepan dengan faktor luaran yang tidak menentu, harga minyak jatuh dan sebagainya, ekonomi China menguncup, macam-macam sebab. Tapi yang kita harus bangga, ekonomi Malaysia masih boleh berkembang lagi. Lima peratus insya-Allah pada tahun ini ataupun hampir lima peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Kita banyak lagi kita nak buat! Tapi realitinya kita ada kekangan, kita ada kekangan bila harga minyak jatuh dengan ketaranya, tahun depan lebih daripada RM30 bilion hasil berkurangan. Cuba bayangkan kalau ada RM30 bilion lagi, macam-macam boleh kita buat, tapi dalam pada itu saya nak sebut bahawa kita akan buat sedaya upaya kita.

Saya dengar rintihan rakyat, saya dengar kehendak para perwakilan supaya kerajaan lebih prihatin akan masalah kos sara hidup rakyat, sebab itu kita akan buat beberapa perkara.

Ini saya nak sebut di sini, perkara-perkara yang dalam kemampuan kita, antaranya soal syarikat ERL yang disebut-sebut, sebab marah naik (tambang). RM35 naik kepada RM55, tinggi. Tapi tuan-tuan tak tahu perjanjian ini ditandatangani pada tahun 1997 lagi, bukan setahun dua ini, 1997. Konsesi jangka panjang. (Sorakan My Way daripada perwakilan). My way? My or no way.

Tahun 1997 ditandatangani, dalam perjanjian itu, di mana syarikat YTL menguasai perjanjian yang sifatkan sebagai berat sebelah, harga berdasarkan pada bukan trafik sebenar, tetapi jangkaan trafik. Harga bergantung kepada jangkaan trafik, dalam perjanjian lima tahun naik. Tandatangan dah, kerajaan tak benarkan. Saya naik jadi Perdana Menteri tak benarkan naik, 14 tahun tak naik.

Tapi pampasannya berapa? RM2.9 bilion. RM2.9 bilion, tak naik, RM2.9 bilion. Sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan, kita terpaksa naik sikit, RM55 baru-baru ini. Kalau tidak, parah kita, RM2.9 bilion. Kita berunding semula... kena sambung pula lagi 30 tahun. Sebab perjanjian dah ditandatangan, jadi sebab itulah saya nak terangkan kepada sidang perwakilan, saya terima masalah legasi atas bahu saya.

Tapi, kita akan betulkan perkara ini sebab saya tahu rakyat marah. Dan untuk ini, bagi ERL, saya nak umumkan ada beberapa langkah yang kita akan ambil antaranya pelajar-pelajar yang menggunakan Kad Siswa 1Malaysia akan dapat diskaun sebanyak 30 peratus untuk perkhidmatan ERL Transit termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas manakala bagi pengguna awam sektor Putrajaya, ERL telah bersetuju untuk kurangkan kenaikan harga pas bulanan.

Semalam, saya telah arahkan KTMB mengumumkan kadar tiket Komuter bagi pelajar berumur 7 hingga 8 tahun diberi diskaun sebanyak 50 peratus termasuk pelajar universiti dengan hanya menunjukkan kad pelajar. Dalam masa terdekat ini, KTMB diminta membuat pengumuman berkenaan diskaun-diskaun lain yang akan kita berikan kepada rakyat.

Tentang soal harga naik, kita mesti tangani isu harga naik ini dengan dua pendekatan. Satu, gaji kena naik sebab menjurus kepada sebuah negara maju. Bila naik jadi sebuah negara maju, pendapatan kita bertambah, mesti kita tambah.

Sebab itulah kerajaan naikkan gaji minimum, bila gaji minimum naik, yang pertengahan pun naik. Negara maju, 40 peratus lebih daripada KDNK merupakan sumber gaji. Di Malaysia, 32 peratus. Dulu, 28 peratus, dalam masa lima tahun ini, kita dah naik 32 peratus, nak sampai 40 peratus dalam masa beberapa tahun akan datang.

Gaji naik, gaji penjawat awam pun dinaikkan, gaji minimum RM1,200, saya umumkan dalam bajet tahun ini. Pertengahan tahun depan, ada satu kenaikan tahunan khas kita beri kepada penjawat-penjawat awam, gaji mesti naik, tapi produktiviti mesti bertambah, tak kan naik saja. Pencen pesara itu kena tengok dahulu, saya faham, bukan saya tak faham. Saya kata masalah kita RM30 bilion ini dah terlepas daripada tangan kita, itu yang jadi masalah. Tapi saya faham pencen, banyak bekas-bekas wakil rakyat ini, yang tepuk tu wakil rakyat lah...bekas, termasuk Pengerusi Tetap pun dapat.

Saya juga minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pergi periksa lagi, buat lebih lagi, turun, jangan bagi naik harga sewenang-wenangnya. Rambut dia dah putih, biar putih lagi, periksa, tambah lagi penguatkuasaan di lapangan. Kawalan harga akhir tahun ini kita ada 25 barang sampai bulan Februari, kalau kita nak lanjutkan lagi, kita kekalkan harga, jangan bagi harga naik senang hati oleh sesiapa pun. Barang-barang keperluan harga kawalan.

Baik, itu tentang kos sara hidup. Soal ekonomi bumiputera macam mana pula. Saya tak payah ulas sebab dalam beg persidangan, dah ada laporan berkenaan dengan pemerkasaan ekonomi bumiputera, tengok laporan tu. Saya nak beritahu bahawa saya dah isytiharkan bahawa agenda bumiputera adalah agenda nasional dan saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada tiap-tiap bulan, fikir apa cara nak tolong bumiputera, tambah ini, tambah itu. Jadi laporannya pun dah ada, saya tak payah ulas satu persatu.

Satu sebab banyak laporan itu kita dah nampak ada perubahan positif, tapi makan masa sebab kelemahan struktur pada orang Melayu, masalah struktur. Melayu dan bumiputera dalam perniagaan ini masih lemah. Jadi dia akan makan masa, tetapi yakinlah bahawa kita amat komited untuk terus bantu kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Baik, sekejap tentang masa depan kita. Kita tak lama lagi akan sampai pada tahun 2020 dan mungkin tahun depan kita kena mula bincang selepas 2020. Maka lepas tahun 2020 apa dia, apa dia bentuk negara Malaysia. Bagaimana kedudukan orang Melayu, bumiputera nanti. Saya nak mulakan perbincangan itu tahun depan supaya Malaysia selepas 2020 akan ditentukan oleh parti UMNO, sama-sama dengan rakan dalam Barisan Nasional dan juga masyarakat awam.

Kita bincang. Supaya kita dapat gambaran bila orang tanya hala tuju, apa hala tuju UMNO, kita mesti ada hala tuju yang jelas. Dan, kita pun berbangga. Saya nak sebut di sini walaupun banyak orang sebut indeks kompetitif ini tak ada kena mengena dengan kami, tapi ini menunjukkan kejayaan kita sebagai sebuah negara. Kalau kita lebih efisien, kalau kita lebih kompetitif, kita akan berjaya dalam persaingan. Lebih banyak pelaburan masuk. Bila lebih banyak pelaburan masuk, eksport kita bertambah dan sebagainya, kita untung. Anak-anak kita dapat pekerjaan, betul tak tuan-tuan?

Sebab itulah saya hendak kalau hari ini mengikut World Competitiveness Yearbook, kedudukan Malaysia kita 14 daripada 61 buah negara. Global Competitiveness Report, World Economic Forum, kedudukan Malaysia 18 daripada 140 buah negara. Ease to doing Business World Bank, kita kedudukan 18 daripada 189 buah negara. Boleh tahan Malaysia ini di bawah pimpinan UMNO, kejayaan kita, kejayaan kita bersama, betul? Betul dan saya hendak kita jadi 10 terbaik dalam masa beberapa tahun yang akan datang, kita boleh, kita boleh capai, kita ada sasaran.

TPPA ikut terma

Nak sebut sikit tentang TPPA pula. Tidak banyak, TPPA ini Datuk Seri Mustapa Mohamed punya baby. Tapi TPPA ini jangan kita takut, sebab saya dah kata daripada mula, kita hendak TPPA tapi ikut terma kita.

Seperti mana saya sebut dalam ucapan dasar, setelah kita beritahu, kita berunding, saya jumpa dengan Presiden Obama dua kali, saya jumpa Ahli Kongres, Mustapa juga berjumpa dengan pelbagai pihak, formal dan sebagainya. Kita kata bahawa agenda bumiputera adalah keutamaan bagi kita. Maknanya kalau dia tidak terima, kita akan keluar dari TPPA.

Begitu tegas sekali akhirnya dia terima. Akhirnya 11 buah negara TPPA termasuk Amerika Syarikat bahawa agenda bumiputera ini mesti dimasukkan sebagai sebahagian daripada terma TPPA. Jadi apa yang kita takut. Tak ada dah.

Kita takut bersaing dengan orang lain. Macam mana kita takut. Vietnam pun berani. Vietnam yang musuh Amerika pada tahun 1960-an itu yang beribu orang mati, dia tak takut. Brunei yang macam tu (negara kecil), dia pun masuk TPPA. Dia pun tak takut. Takkanlah kita tak berani bersaing dengan orang lain.

Boleh, janganlah kata Malaysia boleh, bila nak lawan tak berapa nak angkat tangan.

Malaysia boleh berjaya di persada antarabangsa di bawah pimpinan parti UMNO yang dikasihi. Yakinlah tuan-tuan. Dalam pada itu saya minta Mustapa, SME Corp, tolong IKS bumiputera, tolong. Dia hendak bersaing, nak bersaing di peringkat antarabangsa, tolong dia, bantu dia capacity building. Kita hendak dia berjaya. Berjaya, nanti bila pergi Kanada tengok ada muka orang Melayu di sana. Pergi Jepun nampak orang Melayu berjaya. Bukan setakat pelajar di Korea Selatan sahaja.

Jadi, kita mesti ada semangat. TPPA ini akan kita pertahankan agenda bumiputera dan kedaulatan negara kita insya-Allah, yakinlah.

Dan saya hendak beritahu banyak perjanjian perdagangan kita dah tandatangani.

Mula-mula kita ingat betul ke kita buat tetapi kita tengok dia punya hasil lebih daripada jangkaan kita. Saya tanya Mustapa, kita tandatangan dengan Turki. Dalam masa tiga bulan ini sahaja, kita punya eksport dah bertambah dua kali ganda, 100 peratus pertambahan dalam masa tiga bulan dengan Turki, selesai, ini bagus.

Presiden Erdogan pun senang hati. Erdogan dah kawan baik saya. Dulu dia kawan baik dengan orang itu, sekarang dengan saya ok, amat baik, selalu telefon. Jadi inilah pendekatan yang mesti ada pada kita. Kita mesti berjaya, berani. Kita mesti membuat persediaan, insya-Allah kita bina keupayaan orang kita. Kita bagi sokongan yang cukup. Kita hantar orang kita supaya mereka boleh bersaing membawa panji-panji UMNO di persada antarabangsa.

Saya hendak sentuh pilihan raya sikit. Sikit sahajalah nanti pemberita tahu sangat, tidak boleh juga. Kita mesti buat persediaan. Saya tengok, kita ada naziran, kita turun ke bawah dan kita agak dingin sikit. Tidak berapa menjadi lagi dekat bahagian kita ini, perlahan sikit. Minta maaflah saya cakap, perlahan sikit. Boleh ya, buat sesuatu sikit, bagi suntikan.

Jadi kena buat kerja, daftar pengundi, kena buat kerja. Kita ini dengan orang ramai kena tambah sikitlah. Rating kita turun sikit tapi akhir-akhir ini dah bertambah baik dan kita tengok di IPTA pun semuanya dikuasai oleh pro-Aspirasi. Maknanya kalau kena gaya, strategi kita kena, kita buat yang betul, komunikasi kita betul boleh, penulis-penulis blog kita buat kerja, jangan cari makan sahaja. Penulis-penulis blog kena buat kerja betul-betul dan kita pun kena buat kerja. Boleh!

Janganlah berserabut cerita banyak-banyak dalam kepala. Jernihkan apa yang ada dalam kepala kita, insya-Allah. Oh, orang Perlis kata clear. Mana Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) selalu sebut clear. Jangan masa bertanding sahaja clear.

Buat kerja, buat kerja. Masa dua tahun lagi melainkan saya dapat ilham... buat cepat. Tapi jangan terlalu cepat. Masa ini buat kerja, petugas-petugas mesti ada. Ada negeri macam Melaka, Datuk Seri Idris Haron. Tiap-tiap DUN ada pegawai pendaftar sepenuh masa. Ada KPI, kalau tidak penuhi KPI kena pecat ganti dengan orang lain. Sudah ada, siap ada sasaran semua. Saya harap negeri-negeri lain buatlah, masa inilah kena beri tumpuan kepada kerja-kerja yang akan menjamin pilihan raya kita.

Ok, itu sahaja dan kursus Keris 2314 amat berjaya, tahniah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi, tahniah, berjaya. Saya dijemput, saya tengok semangat luar biasa, saya pun naik takut, bagus. Tahun depan kita buat himpunan besar-besar insya-Allah. Ini barisan kita. Tahun depan jangan lupa 70 tahun usia UMNO.

Bab keselamatan ini kita serahlah pada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Zahid, mereka akan terangkan bab IS semua ini. Semua cerita, tak apalah ya. Kita cari forum lainlah cerita ini habis-habis.

Hishammuddin, Ahmad Zahid ceritalah habis-habis tentang ancaman dan sebagainya. Sebab IS ini dahsyat, kita dah tangkap 130 orang. Baru ini dari Syria balik, ada pakar buat bom. Jaga sikit. Kita tidak (mahu) terjadi sesuatu, Alhamdulillah sebab apa? Sebab kita cekup dia sebelum dia sempat berbuat sesuatu.

Jadi jangan kita apologetik. Cekup dia, tangkap dia masuk. Saya dah minta Ketua Hakim Negara buat Mahkamah Khas, kalau nak bersidang malam pun tak apa. Janji orang ini jangan buat jahat, angkara, hingga mengakibatkan ramai orang terkorban di Malaysia.

Tengok apa dah jadi Tunisia? Sharm el-Sheikh, Paris dan macam-macam. Jadi Malaysia Alhamdulillah, setakat ini tak ada berlaku kerana kecekapan kita, kerana tindakan tegas kita, dan saya juga hendak jaga Sabah. Sabah ini mesti kita jaga. Lagi-lagi Sabah paling ramai ahli UMNO, tatap bah. Jaga Sabah ya, tatap.

Baik, bab agama itu saya serah kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom tengok Indeks Jenayah Syariah apa semua itu. Kita nak buat tahun depan insya-Allah. Indeks Syariah kita yang pertama... tahu! Maqasid Syariah, Indeks Syariah itu, kita negara Islam yang pertama di dunia buat ini. Nak tengok apa yang dikatakan Islam tak cukup lagi? Apa bab yang tak cukup? Kita perlengkapkan tetapi mestilah berdasarkan penilaian yang betul-betul objektif. Inilah yang kita nak bentangkan supaya kita akan tahu di bawah kepemimpinan UMNO, Islam dimartabatkan di bumi Malaysia. Itu projek yang dekat di hati saya.

Baik, yang bab pendidikan pun saya serahkan kepada Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Mahadzir Khalid. Dia dah kata semua suami isteri tidak berpisah lagi okay-lah. Bila selesai bab itu, pendidikan tinggi, soaring upwards (majukan ke hadapan) dan macam-macam slogan. Soaring upwards dia punya mantera. Itulah saya nak sebut dan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah berucap.

Lantas, seperti mana yang saya sebut dalam ucapan dasar, sebagai mengambil sempena ajaran Islam yang suci menurut alim ulama, saya nak beritahu bahawa saya, Najib Razak, sebagai Presiden UMNO, memilih untuk berjiwa besar.

Saya memilih jiwa besar untuk membuka pintu serta jendela hati saya, menghulurkan silaturahim, kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan UMNO ini (perwakilan memberi tepuk sanjungan yang gemuruh dan ketika ini Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin meminta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal supaya bangun).

Namun, dengan tegas saya mahu menyatakan, jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ertinya, faham baik-baik! Faham baik-baik!

Kini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak Presiden parti, bahkan sebenarnya ternyata mereka telah tolak untuk mencari titik-titik perdamaian dan menolak keputusan syura, parti atau jemaah UMNO kita ini.

Apa guna kita bermusuh? Berpatah arang dan berkerat rotan, kerana yang menang akan jadi arang dan yang kalah pula jadi abu, nanti orang lain pulalah yang dapat untung.

Sebagai kesimpulannya, begitulah realiti kehidupan masa kini. Ada pasang, ada surutnya. Ada masanya susah, ada waktunya gemilang. Meminjam falsafah hidup pemikir ulung Nusantara, Hamka.

Katanya, hidup ini pertengahan antara pahit dan manis. Jika selalu sahaja manis, hati tentu berasa bosan. Kalau selalu pula pahit, jiwa pula pasti menjadi rawan.

Walau rentung dibakar difitnah, walau bercerai anggota daripada badan, walau bercacak panah dan lembing, panji-panji UMNO kita tegakkan juga. Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat lutut, there should be no retreat, no surrender, no retreat, no surrender.

Wabillahitaufik Walhidayah Warahmatullahhiwabarokatuh.