Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ALI kehairanan kerana melihat pekerja pembaikan jalan nampaknya seperti bersungguh-sungguh. Seolah-olah ada dateline yang perlu ditaati. Rasanya sudah lama sungutan disuarakan oleh ramai pengguna tapi tiada pula tindakan segera dilakukan.

Risik punya risik, rupa-rupanya ada orang kenamaan bakal menggunakan laluan itu. Lantas terlintas di fikiran Ali, adakah hanya VVIP itu sahaja yang membayar cukai jalan, pengguna lain tidak?

Seingat Ali, dia tidak pernah sekalipun culas daripada membayar cukai jalan apabila sampai ‘idahnya’. Sebagai seorang warganegara berintegriti, dia ikhlas melunaskan tanggungjawabnya itu. Ini kerana dia sebagai rakyat biasa sedar duit daripada cukai itulah yang bakal digunakan bagi menyelenggarakan jalan. Itu yang difahami daripada maksud tersirat kenapa diberikan nama cukai jalan.

Namun Ali jadi was-was, adakah betul kutipan daripada cukai jalan itu digunakan untuk membaiki jalan? Ini kerana dilihatnya banyak jalan berlubang-lubang sana sini, malah ada juga yang kualiti jalannya seperti ‘sawah padi’ lepas dibajak!.

Sesekali kita dikejutkan dengan kes pemandu maut kerana terbabas setelah cuba mengelak lubang atau jalan rosak di jalan raya. Antaranya, 11 Julai lalu di Klang, Selangor. Mangsanya seorang pemandu jentera angkat susun maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas cuba mengelak lubang dalam kejadian di Jalan Perigi Nenas 8/7, Pelabuhan Barat.

Hanya kes terpencil! Itu mungkin jawapan lazim yang selalu terkeluar daripada mulut pihak berkepentingan apabila memberikan reaksi terhadap kes yang kecil peratusannya. Dalam kes melibatkan nyawa atau kecacatan kekal, ia masih tidak boleh dianggap sebagai remeh.

Cuba bayangkan jika nyawa yang melayang itu melibatkan konvoi ahli politik sedang memecut laju di tengah jalan raya dalam perjalanan memberikan perkhidmatan kepada rakyat! Adakah tetap mahu disenyapkan kerana hanya segelintir nyawa yang terbabit?

Selain lubang, terdapat juga satu pandangan biasa di jalan raya iaitu berseleraknya serpihan tayar-tayar pecah yang turut mempunyai dawai-dawai keras di atas jalan raya. Berapa banyak kenderaan terpaksa menekan brek kecemasan kerana cuba mengelak daripada melanggarnya? Kerana terkejut, tidak mustahil ada kenderaan belakang tersondol, maka statistiknya mungkin berubah, bukan kerana melanggar serpihan tayar tetapi kerana merempuh belakang kereta.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapannya di Parlimen beberapa tahun lalu menyebut bahawa statistik kemalangan jalan raya pada 2013 menyatakan hanya lapan daripada 30,458 kes kemalangan jalan raya membabitkan masalah tayar celup. Tayar jenis ini lazimnya banyak pecah dan berselerakan.

Sekadar menyebut beberapa kes, pada 10 Jun 2014 di Kilometer 18.7, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan berhampiran Kubang Pasu, Kedah, dua maut dan tiga lagi parah dalam nahas melibatkan tiga buat ken­deraan selepas dipercayai cuba mengelak serpihan tayar lori.

Rasanya masalah jalan rosak seperti kerja-kerja turapan dan baik pulih mungkin boleh diselesaikan secara bijaksana jika pihak berwajib mematuhi prosedur stan­dard operasi (SOP) yang ditetapkan mereka sendiri sebenarnya - bukannya oleh Ali, Ah Chong atau Ramasamy.

Kegagalan mematuhi SOP ini menyebabkan kerosakan jalan raya berulang. Antaranya, pastikan kesemua pera­latan keselamatan di kawasan baik pulih di letakkan di kawasan terbabit bagi memastikan pengguna mengetahui situasi laluan yang dilalui, sekurang-kurangnya mampu mengelak daripada kehilangan nyawa berlaku.

Penulis yang kurang arif mengenai isu undang-undang atau hak kepenggunaan ingin bertanyakan kepada yang lebih mengetahui. Adakah pengguna jalan raya boleh menyaman pihak berwajib kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebaiknya bagi menjaga ‘kebajikan’ jalan raya. Ini kerana pengguna seakan teraniaya, cukai jalan dibayar tetapi timbal balas perkhidmatannya tidak seberapa.

Ia seperti menempah baju raya, bayaran penuh dibuat tetapi semasa hendak di gayakan oleh pelanggan rupa-rupanya sebelah lengan baju tiada!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain