Proton

Industri automotif negara bermula ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1979. Hanya setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, baharulah impiannya dapat direalisasikan.

Wawasan beliau adalah untuk memperkasakan Malaysia daripada segi keupayaan perindustrian bagi menyaingi negara maju dan kerana itulah, industri automotif menjadi satu daripada kuncinya.

Projek Kereta Nasional dimulakan pada 1982 setelah menerima kelulusan Kabinet dan pada 7 Mei 1983, syarikat Perusahan Otomotif Nasional Berhad atau Proton ditubuhkan.

Kereta sedan pertama Proton iaitu Proton Saga dilancarkan ke pasaran pada 9 Julai 1985. Kereta ini sebenarnya menggunakan kaedah rebadging iaitu dari model Mitsubishi Lancer Fiore 1983.

Selain versi sedan empat pintu, turut ditawarkan ialah varian hatchback lima pintu. Jenama Saga ini mencatat rekod unik dalam dunia automotif kerana ia terus menerus dikeluarkan selama lebih 31 tahun.

Selain matlamat memajukan sektor perindustrian negara, Proton Saga dilahirkan oleh Dr. Mahathir sebagai sebuah kenderaan yang mam­pu dimiliki semua lapisan rakyat Malaysia. Matlamat ini me­ne­rima sokongan padu rakyat kerana memiliki kereta nasional menepati semangat patriotisme.

Pada 1986, sebanyak 10,000 buah telah dihasilkan. Mencecah 50,000 buah, kereta ini telah dieksport ke Singapura dan disusuli negara seperti Bangladesh, Brunei, New Zealand, Malta dan Sri Lanka. Dan paling dinanti, United Kingdom pada 1988.

Percaya atau tidak, Proton memperkenalkan dirinya pada pameran Motor Antarabangsa British 1988 dan meraih tiga anugerah bagi kualiti, coachwork dan ergonomiks. Memang ada terdengar rungutan ketika itu, kualiti Proton yang dieksport lebih bagus daripada varian untuk pasaran tempatan.

Proton membina Kilang Pemasangan Transmisi di Shah Alam dalam usahanya meningkatkan keupayaan teknologi. Pada 1992, Proton disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Pada 1996, Proton menghasilkan keretanya yang ke-sejuta. Dalam sedekad kelahiran Proton, pelbagai model sudah diperkenalkan ke pasaran, menjadikannya pilihan utama rakyat Malaysia.

Tahun yang sama juga, Proton membeli kepentingan majoriti kereta Lotus yang berpusat di Norwich, England. Lotus terkenal sebagai kereta berprestasi tinggi, bukan untuk kegunaan rakyat ramai. Objektif pembeliannya adalah untuk meraih pengetahuan teknologi Lotus yang boleh diguna pakai ke dalam kereta Proton.

Perodua

Perodua ditubuhkan pada 1992, yang rasionalnya belum ada penjelasan rasmi daripada kerajaan sehingga kini. Satu-satunya jawapan yang diingati ialah Perodua ditubuhkan bagi mengisi kekurangan dalam segmen kereta kecil atau mini, yang tidak dikeluarkan oleh Proton. Malah ada catatan menyatakan 'Perodua yang melancarkan model Kancil pada 1994, dirujuk dengan nama kod 'M2' untuk memastikan projek kereta kedua itu kekal 'rahsia besar'.

Betapa anehnya jawapan itu bila rakyat menyaksikan kedua-dua jenama kereta nasional ini menampilkan model yang saling berlawanan antara satu sama lain. Contoh klasik ialah Myvi dengan Savvy. Kemahsyuran Myvi bukan saja menewaskan Savvy tetapi juga Iriz kemudiannya.

Persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa bersusah-payah menubuhkan Proton, untuk menghancurkannya dengan pengenalan Perodua? Ramai yang tahu bahawa Perodua menggunakan teknologi Daihatsu dan aspek ini menjadi bahan utama oleh ejen jualan untuk mempengaruhi pelanggan dan mengelak membeli Proton, kereta buatan anak Malaysia sendiri yang kononnya, lemah dari segi kualiti dan teknologi.

Seandainya anda pantas berkata, ini semua salah kerajaan Barisan Nasional sehingga wujud dua jenama kereta nasional yang berlawan sesama sendiri, mungkin sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan baharu memberi penjelasan kenapa ia berlaku dan ke mana arah tuju selepas ini.

Naza

Malah, penjelasan tersebut harus merangkumi apa rasional pemberian status nasional untuk jenama kereta Korea iaitu Kia yang diimport oleh Kumpulan Naza. Ingat Naza Kia Carnival? Isu ini meletup pada 2005 dengan Dr. Mahathir menyoal perkara ini secara terbuka kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Rafidah Aziz.

Dr. Mahathir mengaku tidak tahu menahu bagaimana kereta itu mendapat status kereta nasional, sedangkan beliau sebagai Menteri Kewangan ketika itu telah menolak permohonan tersebut, menurut laporan The Star pada 15 Oktober 2005.

Inokom

Begitu juga kewajaran status kereta nasional untuk Inokom iaitu syarikat usahasama yang juga ditubuhkan pada 1992 terdiri daripada Berjaya Group, Koperasi PDRM, Renault dan Hyundai Motor.

Jadi hasrat Dr. Mahathir untuk melancarkan satu lagi projek kereta nasional dalam era keduanya sebagai Perdana Menteri Malaysia, bukan sesuatu yang mustahil kerana ternyata penghasilan Proton telah membuktikan manfaatnya kepada rakyat Malaysia.

Namun, kejatuhan penguasaan pasaran Proton atas pelbagai faktor seperti kualiti, teknologi dan persaingan dari kereta asing yang menerima status kereta nasional, harus diberi perhatian sewajarnya oleh penggubal dasar automotif negara hari ini.

Ramai memahami betapa luluhnya hati Dr. Mahathir bila Proton kini dikuasai oleh entiti automotif China iaitu Zhejiang Geely Auto Group dan kita tahu bagaimana beliau 'dihalau keluar' dari jawatannya sebagai pengerusi syarikat. Kejadian itu amat melukakan ibarat bapa diusir oleh anaknya sendiri.

PeroTiga

Sejak Dr. Mahathir menegaskan hasratnya untuk memulakan semula projek kereta nasional, banyak pihak menyatakan tentangan, termasuk pakar automotif luar negara yang menggelarkannya 'Perotiga'.

Ada desas-desus berlegar dalam industri automotif mengatakan sebuah kumpulan automotif tempatan telah membentangkan kertas cadangan bagi Perotiga ini membabitkan entiti kereta global sudah 'diluluskan'. Entahlah. Kita tunggu dan lihat.

Walau apapun, eloklah rakyat memberi peluang kepada Tun Dr. Mahathir untuk membangunkan ideanya sekali lagi. Lagi pun kita yang mengundinya untuk kembali menerajui negara, maka berilah beliau peluang membuktikan keupayaannya.

Matlamat kereta nasional baharu ini boleh dicapai dengan komitmen Dr. Mahathir yang telah terbukti selama ini, dan diharapkan isu kereta asing yang senang-senang diberi status kereta nasional tidak lagi berulang agar kereta nasional baharu ini tidak menerima nasib serupa yang dialami Proton.