Jadi mari lihat semula soalan di atas, apakah akan anda buat jika ada RM1 juta? Soal dari mana dapat duit, itu tidak berbangkit. Ini kerana ia sekadar soalan pencabar minda. Bukannya anda kena sediakan jawapan kepada SPRM atau LHDN.

Terdapat dua kategori di sini iaitu kategori A akan huraikan barang-barang yang dia hendak beli atau perkara yang mahu dilakukannya. Kategori B pula kata dia hendak simpan. Jadi sebagai peraturan Merrepak, kita tutup Kategori B. Buat sakit hati saja sembang jika orang itu asyik hendak berceramah sahaja metodologinya.

Jadi kita teruskan dengan Kategori A. Anda boleh fikirkan apa sahaja tetapi dengan syarat, kesemua perkara itu hendaklah dalam atau bertepatan dengan nilai RM1 juta.

Siapa yang kata dia hendak beli kapal terbang, itu ternyata temberang. Mana ada kapal terbang harga RM1 juta. Jadi hendak goreng sekali pun, biarlah muat kuali. Boleh ya? Kita mulakan:
 

1 Taja slot di radio

Beli satu slot, mungkin bernilai RM10,000 sejam selama sebulan. Dalam slot tersebut, anda wajibkan penyampai radio menggunakan bahasa Melayu standard. Haramkan mereka menggunakan perkataan 'korang’, 'diorang’ dan sebagainya yang bukan sahaja menyakitkan telinga tetapi juga perosak bahasa Melayu.


2 Deejay

Alang-alang menaja slot radio, elok beli terus stesen radio. Jika tidak cukup, tidak mengapa. Boleh ambil pinjaman TEKUN. Dengan menguasai stesen radio, anda boleh pastikan penyampai radio betul-betul berlatar belakangkan bidang penyiaran, yang memiliki asas-asas penyiaran.

Anda tidak perlu hirau hal ratings sehingga perlu menggajikan pelawak atau artis jadi deejay sebab yang akan melabur dalam stesen anda nanti ialah golongan dewasa yang benar-benar berkemampuan. Mungkinlah.


3 Upah pakar media sosial

Setiap kali anda tulis sesuatu dalam Instagram, pasti ada seorang dua jadi basher iaitu tibai anda dengan pernyataan yang menyiat perasaan. Walhal kita tidak kenal pun. Jadi cara terbaik ialah upah pakar media sosial yang boleh bash balik orang yang menyerang anda itu.

Setakat block itu tak cukup, sebab tukang basher ini ada pelbagai akaun dan anggota geng yang akan membantu dia. Jadi kita siapkan geng juga untuk perang besar-besaran.


4 Beli kamera kereta

Ini sudah menjadi trend sekarang. Kamera kereta yang diletak pada cermin hadapan bagi merakam pemanduan anda. Ia tidak mahal. Tetapi dengan duit yang banyak, anda boleh beli yang paling canggih, siap dengan aplikasi suntingan video beserta bunyi runut. Jadi apabila anda merakam kejadian kereta anda 'dirakam’ kamera AES, bolehlah anda jadikan bahan penghujahan di mahkamah nanti. Tapi duit banyak, bayar sahajalah saman.


5 Taja pertandingan nyanyian

Ya betul. Jika Datuk Sri Vida boleh, mengapa anda tidak boleh. Beliau memastikan penajaannya dibalas dengan masa penampilan semasa siaran langsung. Itu cara dia lariskan produknya. Anda tidak perlu buat sama sebab anda bukan ada produk hendak jual. Apa yang anda tuntut daripada penajaan anda itu ialah pemilihan lagu ditetapkan oleh peminat dan penghakiman dibuat oleh juri-juri berbeza setiap minggu.

Ini untuk mengelakkan keadaan seperti berat sebelah atau pemberian 'lagu pembunuh’ sehingga peserta kejang keras di atas pentas dan kemudiannya terkeluar daripada pertandingan.


6 Menyampah kesesakan jalan raya

Ada orang kata kalau tidak mahu sangkut dalam kesesakan lalu lintas, duduklah di dalam kota. Beli kondominium. Jadi anda boleh jalan kaki sahaja di dalam bandar raya seperti Kuala Lumpur. Itu tidak cukup. Dengan duit yang banyak, anda beli jalan raya itu terus. Setiap kali anda hendak guna, pengawal tahan kereta lain sehingga anda habis lalu, Pengguna tidak boleh marah. Memang jalan anda punya.


7 Buka kelab veteran

Ramai orang suka merungut sekarang. Tidak salah. Barang mahal. Minyak mahal. Ini betul-betul kejadian. Bagi mereka, serba-serbi di Malaysia ini tidak betul. Ini peluang anda. Tubuhkan satu kelab eksklusif untuk memenuhi keperluan golongan ini. Mereka ini terdiri daripada bekas ahli politik, pesara kerajaan, bekas wartawan dan artis tidak laku. Buka di lokasi tercantik tepi tasik di Putrajaya.

Keahlian percuma. Di dalam kelab ini disediakan sofa, meja makan dan WiFi percuma. Di situ, mereka boleh berkumpul dan bertukar-tukar idea bagaimana hendak memburukkan lagi negara kepada audiens mereka. Set karaoke jangan lupa.

Di atas ini hanya tujuh perkara yang saya pilih sebagai bahan Merrepak hari ini. Selepas ini, anda dibenarkan untuk meneruskan lagi cerita mengikut cita rasa anda, sehingga anda puas hati dan tertidur lena. Silakan.