Bukan main lagi orang lelaki ada yang siap bergambar dengan pita ukur, mengukur jarak tiga meter untuk merokok dari kedai mamak dan memuat naiknya dalam media sosial sebagai bahan gurauan dan ejekan. Habislah, tali pengukur isteri yang menjahit baju di rumah, dibawanya ke hulu ke hilir. Tak siap jugalah tempahan baju si isteri tu.

Teringat Miss Kitty pada Bro Tompok, yang selalu dilihat merokok di ruang yang disediakan dalam pejabat Miss Kitty. Memang Bro Tompok ikut peraturan. Berkepul-kepul asap di ruang itu apabila Bro Tompok merokok sambil termenung. Mungkin tengah berangan duduk di alam kayangan dengan asap ala kabus itu.

Miss Kitty agak, Bro Tompok pun ada simpan pengukur itu sejak masuk tahun baharu ini. Manalah tahu, mahu sembang-sembang di luar dengan kawan-kawan di kedai mamak. Tentu Bro Tompok pun akan sibuk mengukur jarak tiga meter, bila hendak merokok. Miss Kitty memang tahu, Bro Tompok lelaki yang paling patuh dengan undang-undang. Sampah pun dia tak berani buang. Masuk dalam poket.

Tetapi Miss Kitty akuilah, Bro Tompok bukan kaki upload gambar dalam akaun Facebook (FB). Tak macam orang perempuan, minum teh tarik dan makan roti canai pun nak masuk dalam FB.

Yalah, sejak Jose Mourinho `menjahanamkan’ sekejap Manchester United yang dianggap Bro Tompok sebagai team paling `terer’ dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan di muka bumi ini dulu, kini dan selamanya, Bro Tompok dah hilang daripada radar FB. Mungkin selepas Mou disingkirkan ini, dia aktif balik. Itu mungkinlah. Miss Kitty agak-agak saja. Sebab kawan-kawan Miss Kitty, peminat tegar Manchester United ni sekarang, tiba-tiba saja dah berani pakai jersi kelab itu. `Menganjing’ pula Arsenal yang kena belasah 5-1 dengan Liverpool. Masa dia kalah dengan Liverpool, senyap, tak berbunyi apa pun. Sejak Mou tersingkir dan team itu berjaya membelasah beberapa team bawahan EPL, bukan main lagi mengepak `dak-dak Menyu’ ni.

Berbalik pasal cerita merokok, alah orang lelaki ni, dia peduli apa dengan larangan merokok. Dan sepatutnya mereka pun tak boleh bising-bising dengan zon larangan merokok. Sebabnya, mereka ini bukan jenis `makan saman’ pun, yang dilarang itulah yang mereka paling suka buat.

Lagipun, boleh saja merokok di mana-mana. Macam yang selalu mereka buat. Dalam tandas, dalam rumah, dalam kenderaan, bawah meja atau dalam almari pun boleh kalau mahu. Apa ada hal bab-bab tiga meter ni!

Jadi kenapa mahu bising-bising? Rokok naik harga pun orang lelaki beli juga. Sebenarnya, jika difikir-fikirkan apa saja yang kerajaan lakukan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini tidak menjadi kesan apa-apa pun pada mereka. Bukan setakat tiga meter, tiga kilometer pun dia orang tak ada hal.

Ceritalah pasal penyakit-penyakit kronik dan statistik kematian setiap tahun akibat merokok, tak payahlah. Tak gerun langsung. Paling tidak pun yang keluar daripada mulut mereka - `Kasihan betullah’ dan ayat standard perokok - “Tak hisap rokok pun, mati juga.”

Miss Kitty agaklah kalau ditutup kilang rokok dan diharamkan penjualan rokok di negara ini pun, mereka seludup pula masuk rokok dan merokok diam-diam dalam rumah pula. Orang lelaki ini memang macam-macam akalnya. Tak percaya? Tanyalah Bro Tompok.

Miss Kitty - Ukur temberang lelaki.