U-turn atau pusingan U yang bukan main si pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kerana dendam kesumat pada musuh yang baharu (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak), yang diludah dahulu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) biar ter­kena batang hidung sendiri pun buat selamba, tak ‘mengerti’.

Apabila Mahathir menggesa pembebasan Anwar dan menyifatkan pendakwaan dan pemenjaraan pemimpin PKR itu bermotifkan politik, rakyat Malaysia pun hairan. Ini rancangan Maharaja Lawakkah?

Bukankah Mahathir sewaktu jadi Perdana Menteri memecat Anwar dengan menuduh bekas timbalan perdana menteri itu sebagai homoseksual dan me­nyalahgunakan kuasanya?

Pada Januari 2006, BBC melaporkan Anwar menyaman Maha­thir kerana men­dakwa beliau sebagai gay seba­nyak dua kali, pertama pada 1998 dan sekali lagi, September 2005.

“Bayangkan mempunyai seorang perdana menteri yang gay. Tiada siapa yang akan selamat,” kata Mahathir pada September 2005, sambil menambah, beliau memecat Anwar bagi mengelakkan Malaysia terutamanya Islam daripada mempunyai pemimpin homoseksual, menurut laporan itu.

Setelah hampir 20 tahun sudah terbalik kot pula.

Sebenarnya, isu jenayah liwat melibatkan Anwar bukan peristiwa kecil. Akibat daripada itu, negara menjadi kacau-bilau. Masyarakat Melayu berpecah-belah termasuklah adik beradik tidak bertegur sapa.

Dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO semasa perhimpunan parti itu pada 1999, setahun setelah Anwar dipecat dari UMNO dan kerajaan, Dr. Mahathir berkata:

“Saya cuma mempercayai akan kebenaran tuduhan terhadap Anwar apabila polis, selepas siasatan awal terhadap buku 50 Dalil susulan kepada laporan yang dibuat oleh beliau sendiri, melaporkan kepada saya bahawa ada kebenaran dalam tuduhan buku itu. Polis memberi ketera­ngan yang jelas. Saya tidak boleh menolak lagi tuduhan terhadap Anwar.

“Tetapi untuk lebih meyakinkan diri saya bahawa tidak ada niat tidak baik oleh sesiapa terhadap Anwar, saya sendiri memang­gil beberapa orang yang disebut dalam laporan polis untuk saya soal sendiri. Selepas itu saya tidak lagi dapat menafikan kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Anwar.

“Penyingkirannya disebabkan oleh perbuatannya yang sebenar.

“Saya tidak menganiayakannya, saya tidak berkonspirasi untuk menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Moralnya dan kelakuannya yang menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO, bahkan daripada menjadi ahli UMNO.”

Saiful Bukhari Azlan yang menjadi mangsa Anwar, percaya Mahathir masih percaya tuduhannya pada 2008 yang dia diliwat bekas ketua pembangkang itu.

Tegas Saiful Bukhari lagi, Mahathir telah dibutakan dengan kuasa dan cita-cita politik sehingga sanggup membuang segala prinsip yang diperjuangkan selama ini.

“Pada Oktober 2014, Tun Mahathir menzahirkan simpatinya kepada saya sebagai mangsa (Anwar) apabila saya menziarahinya di pejabat Yayasan Perdana, bersama isteri dan anak saya yang baru lahir.

“Benarlah di dalam politik, tiada kawan sebenar atau musuh, yang ada hanyalah minat. Namun dek kerana kepentingan, boleh menjadikannya lebih buruk, menodai keadilan atau kebenaran jika lebih berkuasa,” kata Saiful Bukhari.