Rata-rata pemimpin muda khususnya dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cukup terkenal dengan penampilan serta pidato ala Anwar Ibrahim.

Kehebatan Anwar bukan sahaja cara pidatonya tetapi pemilihan perkataan serta lontarannya menarik minat massa yang luar biasa.

Beliaulah yang mempopular istilah ‘mampan’ dan yang paling hebat adalah ‘reformasi’ akhirnya menjadi satu gerakan serta laungan pengikutnya hingga ke hari ini.

Aura kehebatan pidato Anwar masih kategori A+ ketika beliau tampil di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Bahkan ketika menyampaikan tazkirah di sebuah masjid, Anwar bijak memilih ayat suci al-Quran serta hadis yang dihafalnya ketika bertahun-tahun merengkok di dalam penjara.

Secara berseloroh Anwar berkata jika mahu menghafal al-Quran, masuklah penjara.

Selain cara berpidato, cara berpakaian Anwar menjadi ikutan dan jika zaman ABIM beliau sering berkain pelekat dan baju Melayu serta dilengkapi songkok, penampilan terkini sangat berbeza iaitu boleh dikatakan ala artis K-Pop Korea.

Dengan baju potongan mengikut badan dilepas keluar, begitu juga seluar yang ‘slim fit’ dan agak singkat kakinya serta dipadankan dengan stokin pendek ia adalah gaya anak muda masa kini.

Imej pemimpin berpengalaman, tetapi mesra serta ‘sporting’ dengan mudah menarik minat anak muda untuk mengikuti pidato politik beliau.

Bagaimanapun satu hal yang menarik minat saya dan pastinya orang ramai, ialah tenaga serta aura luar biasa Anwar.

Beliau berceramah setiap hari dan sudah masuk hari ketiga kempen. Pada sebelah pagi beliau berjumpa dengan orang ramai.

Dengan cuaca panas agak melampau lantaran kawasan pilihan raya ini adalah pantai, lawan Anwar yang jauh lebih muda dilaporkan kurang sihat dan terpaksa membatalkan semua program baru hanya selepas sehari berkempen.

Ada calon yang lebih memilih gelanggang media sosial daripada keluar berpanas dan berdepan dengan pengundi.

Ada yang hanya banting sahaja digantung, tetapi calon secara fizikal tidak muncul.

Keseluruhan masuk hari keempat kempen PRK Port Dickson sambutan positif diberikan kepada Anwar, hanya kehadiran Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sedikit memberi cabaran kerana beliau ialah pemimpin tempatan yang dikenali penduduk dan mempunyai jaringan kenalan politik yang luas.

Khabarnya seorang lagi calon Mohd Saiful Bukhari Azlan akan mula berkempen hari ini.

Kehadiran beliau pada PRK ini memberi impak signifikan kerana ia menyebabkan massa mula mengimbau kes yang membabitkan Anwar.

Apa pun kelebihan tetap pada Anwar kerana aura peribadi dan aura bakal Perdana Menteri kelapan. - UTUSAN ONLINE