ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM

Walaupun Dr. Mahathir pernah berkata ayat yang sama pada tahun 1998 berhubung persetujuan beliau untuk melantik Anwar menggantikannya sebagai Perdana Menteri ketika itu, namun beberapa bulan selepas itu Anwar telah dipecat daripada UMNO dan Kabinet Barisan Nasional (BN).

Maka timbullah gelombang reformasi rakyat ketika itu yang marah dengan tindakan diambil Dr. Mahathir terhadap Anwar. 

Pada masa yang sama juga tertubuhlah Parti Keadilan Nasional yang tujuannya ketika itu untuk menjatuhkan pentadbiran Dr. Mahathir dan membebaskan Anwar.

Namun demikian, Awang berpendapat keadaan kali ini adalah amat berbeza dengan 20 tahun lalu.Anwar bukan sahaja mendapat sokongan daripada PKR tetapi juga sokongan penuh daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Dengan kenyataan ini juga, Awang percaya pelan pembangunan negara seharusnya berlangsung dengan lebih jaya dan lancar apabila proses peralihan kuasa berlaku kelak. Pelbagai perancangan yang direncana kerajaan baharu pastinya lebih mencabar dan penuh dinamik.

Kepada Anwar, tahniah Awang ucapkan. Pada masa sama, ramai yang mengharapkan beliau akan lebih berhati-hati supaya segala tindak-tanduknya tidak memberi padah di kemudian hari dan diharap pisang tidak berbuah dua kali. 

Awang rindu pelbagai inisiatif yang dibawa Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Antaranya termasuklah memperkenalkan konsep masyarakat madani, mempertingkatkan program wacana intelektual, memperkasakan sastera Melayu dan kesenian negara, dan lebih-lebih lagi ialah memartabatkan dasar-dasar Islam dalam konteks pentadbiran negara.

Selama lebih 20 tahun tertangguh, pasti ramai yang tertunggu-tunggu agenda baru yang akan dibawa  Anwar dan pada masa yang sama meneruskan kesinambungan yang dibawa Dr. Mahathir dan barisan kerajaan baharu PH. Kehebatan kedua-dua pemimpin ini tidak perlu disangkal lagi. 

Rakyat pasti mengharapkan kredibiliti dan aura yang dimiliki Dr. Mahathir dan Anwar mampu untuk melonjak kembali Malaysia terutamanya dalam arena ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Awang percaya dengan keadaan Anwar yang telah diuji dengan pelbagai ujian, duka dan lara serta pelbagai rintangan pastinya mematangkan beliau untuk berhadapan dengan apa jua situasi dalam proses untuk menjadi Perdana Menteri yang kelapan.

Bagi Awang, dalam apa jua keadaan jangan sesekali kita lupa kepada firman Allah yang bermaksud : “Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan ALLAH adalah sebaik-baik perancangan.” (Surah al-Imran : ayat 54). 

Selamat berjaya Awang ucapkan.


SAMBUTAN MERDEKA, TAHUN BAHARU HIJRAH
Proses transformasi negara boleh dikatakan telah lengkap sepenuhnya. Dengan perubahan pucuk pimpinan dari segi barisan Kabinet serta barisan kepimpinan pentadbiran awam, maka agenda pembangunan negara seharusnya terus bergerak ke hadapan tanpa timbul lagi sebarang spekulasi.

Tidak dinafikan, pelbagai cabaran besar perlu dihadapi oleh pentadbiran negara dalam usaha memastikan kelestarian rakyat adalah selari dengan pencapaian negara. Gabungan elemen modal insan yang kukuh menjadi tunjang kepada tanda aras kejayaan mahupun kemunduran sesebuah legasi. 

Mengambil semangat sambutan Hari Kebangsaan dan Tahun Baharu 1440 Hijrah, Awang ingin mengajak seluruh masyarakat untuk sama-sama kita menilai tiga cabaran besar berikut dalam mendepani pelan transformasi negara.

1. LAMBAKAN WARGA ASING
Isu kebanjiran warga asing bukan lagi isu baharu dalam negara. Menurut Kementerian Sumber Manusia, pada tahun 2017 dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini, dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah 'imigran haram’. Walaupun pelbagai inisiatif dan tindakan diambil oleh agensi penguat kuasa, namun usaha-usaha ini ‘bagai melepaskan batuk di tangga’ dan ‘mencurah air ke daun keladi.’

Ternyatalah bahawa kedatangan pekerja asing yang tidak terkawal akan mendatangkan masalah kepada negara dan rakyat secara amnya. Walaupun kita memerlukan tenaga buruh asing untuk menyumbang kepada pembangunan negara, namun tidak semestinya masa depan rakyat dan negara menjadi galang gantinya. 

Ketika kita sedang bergerak ke arah negara maju, penyakit berjangkit yang dulunya berjaya dikurangkan dan hampir mencapai angka sifar seperti penyakit wabak tuberkulosis (tibi), kusta, malaria dan filariasis (untut/kaki gajah), kini semakin menular dan menjadi penyakit yang boleh dianggap mengancam negara kerana peningkatan kesnya setiap tahun. Semestinya keadaan ini membantutkan usaha kerajaan terutamanya dari segi kesihatan yang dilihat kembali mundur ke belakang apabila kita gagal menangani masalah penyakit seperti ini.

Awang melihat isu ini semakin meruncing apabila ujian saringan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) hanya dijalankan kepada pekerja asing yang masuk secara sah, sedangkan kebimbangan sebenar adalah dalam kalangan pekerja asing tanpa izin dan pelarian.

Dalam isu ini, ramai melihat akan kelompongan agensi penguatkuasa kita yang gagal menghalang pekerja asing yang masuk secara tidak sah.

Awang menerima pelbagai rungutan yang mahukan penguat kuasa seperti polis, imigresen, Rela dan Kementerian Kesihatan sendiri meningkatkan tahap integriti mereka sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab dalam masalah ini. Ini belum diambil kira mengenai masalah sosial yang ditimbulkan oleh pekerja asing.Tentu banyak yang boleh diperkatakan lagi.

Eloklah kiranya kita dapat mempelajari dari negara jiran, Singapura yang begitu tegas mencegah penularan penyakit berjangkit sebelum menerima pekerja asing. Singapura menempatkan pekerja asing mereka dalam satu kawasan asrama yang diseragamkan dengan baik dan tersusun.

Ramai percaya semua permasalahan ini adalah terpalit dengan isu rasuah dalam kalangan penjawat awam serta sikap rakyat sendiri yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang. 

Apa jua yang dilakukan, asas baldatun thoyyibatun wa rabbhun ghaffur jangan dilupakan jika mahu menjadikan Malaysia negara bertamadun tinggi. Awang teringat akan bait-bait ucapan yang sering diungkapkan oleh Dr. Mahathir suatu ketika dahulu, ‘pemimpin bukan saja mesti kelihatan bersih tetapi perlu dilihat benar-benar bersih.’

2. PENDIDIKAN
DAlam sesebuah negara dan masyarakat, golongan  penting dan tidak boleh diketepikan ialah guru - kerana jasa merekalah generasi akan datang terbina.

Bagaimanapun, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) baru-baru ini wujud kemurungan dalam kalangan guru terutama di kawasan bandar amat membimbangkan Awang.

Stres dalam kalangan golongan guru disebabkan pelbagai faktor antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres.

Sekarang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bantuan sekolah persendirian menengah Cina serta pemakaian kasut hitam mendapat perhatian ahli politik dan rakyat. Tetapi, bilakah agaknya nasib guru mahu diperjuangkan?

Awang memahami bahawa guru tidak perlu bermewah dengan gaji besar atau peralatan canggih, cukuplah jika beban kerja mereka dikurangkan.Perkara inilah yang acap kali dibangkitkan oleh guru.

Tetapi bagaikan tradisi–‘sekali air bah, sekali pasir berubah.’ Apabila muncul Menteri Pendidikan yang baharu, ada sahaja perubahan mahu dilakukan.Pendidikan perlukan dasar untuk jangka masa panjang, bukan untuk dibuat eksperimen, jika tidak bagus boleh tukar sesuka hati.

Kasihan guru dan murid yang merupakan pihak yang menanggung beban terhadap perubahan yang dibuat kerajaan. Murid dan guru bukan bahan eksperimen. Setiap yang dilaksanakan oleh kementerian perlu melalui proses perancangan yang melibatkan pakar pendidikan dan sesi penglibatan awam secara meluas. Banyak negara maju boleh dijadikan contoh dalam mengkaji kaedah sistem pendidikan berkualiti. Tidak ada satu pun negara yang menjamin kejayaan singkat kepada mana-mana perkara baharu yang mahu dilaksana.

Awang percaya pada nilai estetika Perdana Menteri, Dr. Mahathir yang pernah menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1974 dan bakal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga pernah menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986, janganlah digadaikan nilai sesebuah pendidikan semata-mata untuk kepentingan perjuangan politik. 

Awang harap dalam hal pendidikan ini, janganlah kita tersilap langkah lagi.

3. MASYARAKAT SIVIL
Dalam mendepani transformasi negara ke arah negara maju, kita perlu mengubah sikap rakyat.Contohilah sikap orang Jepun walaupun majoriti penduduknya bukan beragama Islam tetapi dari segi etika ataupun sikap masyarakat Jepun cukup terpuji.

Kita sendiri sudah menonton klip video penonton Jepun di Piala Dunia  Rusia 2018 yang mengutip sampah di stadium selepas tamat perlawanan bola sepak. Begitu juga sikap yang ditunjukkan oleh jemaah haji mereka di tanah suci Mekah ketika mengerjakan haji baru-baru ini.

Teringat Awang kepada klip video yang memaparkan seorang jutawan yang digelar Mr. Yo, pelabur dari Korea Selatan yang memulakan aktivitinya seawal 5.00 pagi dengan mengutip sampah dan mengitar semula sampah tersebut di Manama, Bahrain. Sikap ini wajar kita contohi kerana walaupun dia bukan tinggal di bumi Bahrain, tetapi sanggup menolong untuk kebaikan dunia sejagat dan menyebarkan mesej bahawa kebersihan perlu dititikberatkan serta setiap agama menyuruh kita untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Bilakah kita dapat melihat  tandas di sekolah mahupun di tempat tumpuan awam yang amat bersih. Etika berkaitan kebersihan yang digalakkan dalam syariat Islam ini patut ada pada orang kita. 

Sikap dan disiplin beginilah yang mendorong Dr. Mahathir pada 1982 melancarkan Dasar Pandang ke Timur iaitu menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja bagi kakitangan kerajaan dan swasta.

Disiplin kalangan pemimpin Jepun cukup tinggi.Rakyat Jepun sebenarnya yang lebih berkuasa daripada pemimpin mereka sendiri. Sebab itu di Jepun mana-mana pemimpin yang korup akan disingkir atau mengundur diri dengan rela hati.

Awang mengharapkan tahun 2020 mungkin bakal menyaksikan Malaysia sebuah negara yang indeks kebersihan semakin meningkat dan seterusnya menjadi sebuah negara bebas sampah seperti Singapura dan Jepun.

Perubahan minda masyarakat perlulah selari dengan perubahan pencapaian sesebuah negara dan kita perlukan minda rakyat kelas pertama negara maju. Dalam tempoh setahun lebih sebelum tahun 2020, Awang ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia, kerajaan dan semua pihak untuk sama-sama berganding bahu bagi membersih dan mencantikkan negara kita yang tercinta ini. 

Jika kita boleh kumpulkan penyertaan yang besar untuk program seperti fun run, fit Malaysia dan sebagainya, kenapa tidak kita jadikan program gotong-royong mingguan yang melibatkan semua pihak di semua kawasan sebagai satu permulaan untuk menjadi negara maju yang bersih dan menjadi contoh.