Siapa yang tidak mahu wakil rakyat kawasannya seorang PM? Sudah pasti dengan 17,710 undi majoriti yang diraih Pakatan Harapan di situ 9 Mei lalu, lawan Pakatan Harapan akan ‘bungkus’ 13 Oktober ini.

Tapi rakan penulis, Saifulizam Mohamad di muka surat 19 sebelah ini mengingatkan yang Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad juga bukanlah lawan sebarangan untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dengan saudara-mara, anak penakan dan penyokong bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang meliputi sebahagian pengundi dalam salah satu dari lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Port Dickson iaitu Bagan Pinang yang pernah dimenanginya dalam Pilihan Raya Kecil 2009, Mohd. Isa ada ‘sengatnya’.

Empat kawasan DUN lagi adalah Chuah, Lukut, Sri Tanjung dan Linggi. Pengundi di Chuah dan Lukut terdiri daripada majoriti pengundi Cina.

Sri Tanjung merupakan kawasan campuran pelbagai kaum dan terletaknya industri minyak dan gas di Port Dickson.

Kem tentera Segenting

Linggi selain Bagan Pinang, penduduknya terdiri daripada majoriti pengundi Melayu dan merupakan kawasan bagi penginapan percutian di Port Dickson. Kem tentera Segenting juga terletak di Bagan Pinang. Sejak 2008, BN hanya dapat bertahan di DUN Bagan Pinang dan Linggi.

Adakah Mohd. Isa, 68, akan menjadi giant killer di Port Dickson? Atau calon Pas, bekas tentera Lt. Kol (B) Mohd. Nazari Mokhtar tiba-tiba muncul pemenang?

Laluan Anwar, 71, tidak mudah juga setelah memasuki kempen hari keenam ini bila mana kelibat seorang lagi calon, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33, difahamkan, sentiasa menjadi perhatian orang di sana.

Senario politik hari ini termasuklah di Port Dickson realitinya tidak sama lagi seperti era pilihan raya-pilihan raya yang lepas. Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 menjadikan kempen bersemuka, menjenguk atau singgah dari rumah ke rumah atau bertemu berkumpulan terpaksa bertindak-balas dengan mesej-mesej atau video yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp atau Facebook dan alat-alat media sosial lain.

Jika Anwar atau sesiapa pun dalam kalangan tujuh calon yang bersaing mahu memenangi gelanggang Port Dickson, mereka mesti mampu ‘bertahan’ sehingga pagi hari pengundian 13 Oktober.

Dalam politik sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pula tak boleh terlalu nipis, apabila dipersendakan mudah melenting.

Survival

Anwar barangkali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang. Beliau yang muda baru berkeris masuk UMNO pada 1982 melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa. Selama 16 tahun diasuh oleh pucuk pimpinan UMNO waktu itu, meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain hingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi ‘tersadung’ hanya selangkah ke pangkalan.

Maka pastinya, Anwar lebih ‘mengerti’ pertarungan besar di Port Dickson bukan lagi sekadar siri PRK biasa. Ini adalah survivalnya.

Realiti hari ini juga, tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mencongak, meramalkan, waima mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik. Pengalaman dalam hal ini memanglah merupakan guru yang paling berkesan. Apatah lagi buat Anwar.

Politik dan demokrasi berkait rapat dengan parti, sama ada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Kedua-duanya mesti berlandaskan sokongan rakyat. Setiap wajah berkisah, setiap madah bererti.

Di Indonesia, seseorang ahli politik biasanya digelar politikus, satu-satunya istilah yang digunakan sebagai persamaan kepada istilah bahasa Inggeris, politician. Tetapi panggilan atau istilah politikus ini amat kurang sopan bunyinya - seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang sentiasa menyental barang makanan orang. Maka panggilan ahli politik lebih sesuai di negara ini.

Dan sesekali, kita akan diingatkan dengan ungkapan siasah yang diketahui ramai ‘politik itu kotor’. Ungkapan itu tidak mengandungi buah fikiran yang benar. Yang kotor ialah pengamalnya, bukan politik.

Siasah atau politik adalah amalan manusia semenjak dunia terbentang. Politik mencari kerukunan dan kebaikan. Sedangkan Nabi pun ada pengalaman siasahnya. Dalam Islam, politik sebahagian daripada kehidupan dan perjuangan, tetapi hanya untuk kebaikan, bukan untuk keburukan.

Maka, seseorang yang berhajat hendak menjadi wakil rakyat dan digelar Ahli Yang Berhormat mesti menerima tuntutan khidmat sebagai inti sari cita-citanya. Khidmat dan kedudukan tidak dapat dipisahkan dalam dunia politik moden di Malaysia.

Perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sendiri sebenarnya walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari akan hal itu. Elemen pengorbanan tetap ada dalam perjuangan.

Berubah wajah

Apa-apa yang kita ambil dari sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang kita sumbangkan dalam bentuk khidmat. Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ daripada sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Bolehlah dikatakan bahawa ini semacam karma politik yang sebenar.

Berdasarkan data PRU-14, kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.

Pengundi kawasan ini terdiri daripada pelbagai etnik, manakala kesemua parti politik - UMNO, MCA, MIC, PKR, DAP dan Pas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen berkenaan pada 9 Mei lalu.

Adakah Port Dickson - kawasan parlimen merangkumi pantai di Negeri Sembilan dari Sungai Sepang yang bersempadan Selangor dan Sungai Linggi bersempadan Melaka - akan berubah wajah selepas 13 Oktober ini.

Anwar sudah pun membariskan tiga projek besar di Port Dickson. Antaranya, hotel lima bintang, program pendidikan untuk kanak-kanak dan program penerbangan untuk bandar tepi laut itu.

Segalanya terserah kepada pengundi Port Dickson.