Kalau dirumuskan, sudah pasti kemenangan besar Presiden PKR itu meraih majoriti 23,560 undi di Port Dickson, dengan lima lawannya dari Bebas kesemuanya hilang deposit, suatu bukti pengundi bersandar harapan kepada beliau.

Jika diandaikan pengundi Port Dickson itu mewakili seluruh rakyat Malaysia, pastinya penampilan Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu didambakan mampu menjadi kerajaan yang luar biasa dalam memberi khidmat kepada rakyat - untuk lebih baik dari Barisan Nasional yang berkuasa selama 61 tahun.

Anwar, 71, yang juga bakal Perdana Menteri kelapan, telah memberi jaminan tidak akan sekali-kali mengkhianati amanah yang diberikan. Undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan pe­nerimaan semua kaum terhadapnya.

Hakikatnya, tempoh lima bulan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu amat mencabar untuk negara ini.

Rakyat ternanti-nanti apakah Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen 2 November depan ada khabar menggembirakan.

Ramai risau dengan keadaan kewangan negara yang didakwa oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Sabtu lepas, pentadbiran terdahulu hanya meninggalkan ‘sisa wang’ bernilai RM450 juta.

“Dari, Oleh dan Untuk Rakyat”

Waima apa pun analisis dan statistik ekonomi negara, Tumpang lalu berharap ungkapan demokrasi tersohor, “Dari, Oleh dan Untuk Rakyat” terus dipertahankan.

Tidak kira dari pihak pembangkang mahupun kerajaan hari ini, masing-masing perlu pandang ke depan. Mana-mana salah laku, biarlah pihak mahkamah uruskan.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi

Pertama keluk kedua pantai

Kalau mencari pemimpin negeri

Pertama elok kedua pandai.

Tumpang lalu percaya rakyat te­lah membuat pilihannya 9 Mei lalu. Kini menjadi tanggungjawab besar untuk kerajaan memperbetulkan kesilapan yang lepas.

Cuma bagi seorang ahli politik, naluri dalam diri seorang wakil rakyat akan kekal sepanjang ha­yatnya. Ini bermakna selagi hayat dikandung badan, sebahagian diri­nya tetap menjadi ahli politik.

Antara syurga dan neraka

Mendiang Bob Hope, seorang penghibur Hollywood pernah bergurau ber­kenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, ‘hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang - tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak.

Sebaliknya seorang yang ekstrem dalam politik, perlu mempunyai ciri diplomasi yang lebih baik. Tidak ada sesiapa yang mahu ke neraka, tetapi cara seorang ahli politik berbicara membuat pendengarnya ingin ke sana.

Dalam politik, sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berte­rusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

‘Nasib politik’ sudah berlalu

Teringat Tumpang lalu bagaimana suatu ketika Putrajaya pernah ditohmah oleh pengkritiknya sebagai projek yang penuh dengan kemewahan semata-mata untuk satu orang.

Ini sehinggakan ada parti politik tertentu mencadangkan mungkin Putrajaya harus dilelongkan 'untuk menjaga kebajikan rakyat’. Itu adalah tahun 1998. Sejak itu, selepas beribu-ribu rakyat Malaysia yang datang dari dekat dan jauh melawat ke tempat itu, bantahan politik yang melaungkan isu 'mahal’ ini telah kebuntuan dan akhirnya senyap. Penjelasannya mudah - tempat kediaman Perdana Menteri adalah satu warisan awam.

Dan selepas keputusan pilihan raya kecil Port Dickson, ramai yang percaya bahawa 'nasib politik’ telah meninggalkan Anwar. Parti yang di­terajuinya, PKR, merupakan pemegang kerusi Parlimen terbanyak dalam Pakatan Harapan. Dari seorang pe­mimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tidak dikenali pada 1982 hinggalah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993. Beliau menduduki puncak kejayaan bagi tempoh yang lebih lama dari yang disangka ramai.

Dan suatu ketika, ia mungkin berlaku silap percaturan daripada pihak beliau atau daripada penasihat seperjuangan. Mungkin juga kerana tidak sabar. Bila dikelilingi dengan jeritan tidak henti-henti dan dorongan oleh penyokong, akhirnya Anwar 'tersadung’. Nasib tidak menyebelahinya waktu itu.

Tetapi nasib juga mempunyai dua hala dan ia boleh senyum semula kepada mereka yang terus mencuba. Anwar adalah orang yang tidak akan berhenti mencuba.

Anwar kini bebas semula untuk perjuangan politiknya di Parlimen.

Seperti tangan panjang jam, naik dan turun dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi.

Sama ada ya atau tidak, ia akan berbunyi untuk Anwar sekali lagi.

Dan ia bergantung kepada daya tahannya dalam mengharungi hari-hari mendatang ini sebelum me­langkah masuk Putrajaya.