Malaysia telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah acara gilang-gemilang ini yang baru kali kedua diadakan di luar Korea Selatan selepas Kyocera Dome, Osaka di Jepun pada tahun lepas.

Golden Disk Awards atau singkatannya GDA ini diiktiraf sebagai acara penganugerahan muzik paling berprestij di Korea Selatan.

Majlis 'Grammy Korea' ini dimulakan pada 1986 dan sejak itu terus menjadi tumpuan penggiat hiburan negara itu untuk merebut anugerah yang dipertandingkan sebagai bukti pengiktirafan dan pencapaian terhadap hasil kerja seni mereka.

Tahun lalu, anugerah tertinggi Digital Daesang dimenangi oleh Girls Generation tetapi nampak gayanya kumpulan artis wanita popular itu tidak akan mempertahankan kedudukan itu memandangkan nama mereka tidak terdapat dalam senarai artis yang akan berhimpun di Litar F1 Sepang pada minggu depan.

Tanpa kelibat Girls Generation bagaimanapun tidak bermakna majlis anugerah kali ini kurang menyengat kerana nama-nama besar seperti Super Junior, FT Island, Kara, CNBLUE, Beast, T-ara, Infinite, Secret, Sistar, SHINee, 4Minute dan Miss A, selain artis solo K-Will, G-Dragon (Big Bang) dan Huh Gak, sudah pun mengesahkan kehadiran. Juga bakal hadir kumpulan yang semakin meningkat naik, B1A4, Teen Top, B.A.P, duo rap Epik High serta artis baru Lee Hi, Ailee dan Juniel.

Difahamkan tiket-tiket berharga RM688 sudah pun habis dijual manakala yang berharga RM199 di zon Hallyu hanya tinggal sedikit, begitu juga tiket-tiket di zon Samsung Galaxy bernilai RM999 sekeping.

Penulis percaya, ramai yang telan air liur mahupun geleng kepala apabila melihatkan harga tiket untuk ke acara ini. Bukan konsert pun, cuma menjadi penonton acara penyampaian anugerah artis-artis ini.

Namun inilah penangan K-pop!

Demam K-pop ini hampir sama dengan demam Bollywood yang pernah melanda negara kita tidak berapa lama dulu.

Tentu ramai yang masih ingat bagaimana artis Hindi berbondong-bondong ke Genting Highlands untuk menghadiri majlis penyampaian anugerah sebelum ini. Ketika itu, ramai juga rakyat Malaysia yang memanjat bukit Genting itu untuk meninjau pelakon Hindustan pujaan mereka antaranya Shah Rukh Khan, Kajol, Kareena Kapoor dan ramai lagi.

Nampaknya demam Hindustan dah kebah dan sekarang demam K-pop pula melanda, tak tahulah sama ada berpanjangan atau bermusim juga.

Berbanding peminat bintang filem Hindi yang kebanyakannya golongan dewasa, peminat K-pop rata-ratanya ialah remaja belasan tahun dan golongan muda belia. Kelompok ini belum ada kuasa beli namun mereka ini cukup kuat daya memujuk dan mempengaruhi.

Memandangkan belum mampu membeli tiket sendiri, mereka mengharapkan tajaan emak bapa. Kerana belum boleh pergi sendiri (sebab kebanyakannya masih bawah umur), mereka 'mengheret' emak bapa sekali. Akhirnya emak bapa yang tadi tidak mengenal K-pop (sebab lebih suka K-drama) ikut sama menjadi peminat Korean Wave.

Difahamkan kalangan promoter kini berebut-rebut menganjurkan konsert artis Korea ini, setidak-tidaknya acara bertemu peminat sebab hampir pasti mendapat sambutan dan buat untung.

Maklumlah, penulis dimaklumkan setiap kali konsert diadakan di Kuala Lumpur, peminat yang datang bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor atau negeri-negeri lain bahkan dari negara jiran Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Baru-baru ini, saluran Discovery Channel cuba meninjau sejauhmana pengaruh artis K-pop ini. Bagi menguji fan base atau kekuatan peminat, anggota Super Junior yang juga pelakon kacak, Siwon memuat naik gambarnya sedang diwawancara dalam akaun Twitter kumpulan itu. Tidak sampai 15 minit, kira-kira 2,000 peminat telah retweet gambar tersebut.

Penangan K-pop telah pun kita lihat buktinya pada video Psy-Gangnam Style dalam laman perkongsian YouTube yang tidak perlulah hendak diceritakan lagi tentang jumlah tontonannya.

Penulis tahu ramai yang kurang senang dengan kehadiran terlalu ramai dan terlalu kerap artis K-pop ini ke negara kita. Artis tempatan tentu ada yang berbulu, maklumlah fenomena ini sedikit-sebanyak menjejaskan periuk nasi mereka. Sudahlah selama ini artis seberang merajai corong-corong radio, kini datang pula artis Asia Timur.

Namun memandangkan ia sudah menjadi fenomena dunia, hendak menyekat kehadiran mereka pun tidak ada gunanya. Lebih-lebih lagi dalam dunia teknologi maya yang merentas negara ini, sebarang tindakan untuk meletakkan batu sempadan hanyalah sia-sia.

Mahu tidak mahu, kita perlu menerima kehadiran artis-artis luar ini.

Persoalannya, perlukah artis kita terus gundah-gulana? Masihkah kita mahu mempertahankan yang ini gelanggang kita, sedangkan orang lain sudah mula menakluk dunia.

Tepuk dada, tanyalah ilmu dan bakat yang kita ada untuk bersaing dengan mereka.