Saya telah menerangkan pendirian kita dengan jelas bahawa tindakan EU ini tidak boleh di­terima sama sekali. Ini jelas me­ngancam periuk nasi para pekebun kecil sawit kita.

Kempen digital terbaharu Faces of Palm Oil yang diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan disokong sepenuh­nya oleh Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH), Felda, Lembaga Penyatuan & Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) telah memberi suara dan kekuatan kepada 650,000 para pekebun kecil di seluruh negara dan mendapat liputan meluas daripada media-media utama di Eropah.

Secara keseluruhannya, 3.2 juta rakyat Malaysia - merangkumi pekebun kecil, keluarga dan anak-anak mereka serta masyarakat luar bandar - bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup. Masa depan jutaan sahabat-sahabat kita ini akan terancam secara mendadak jika cadangan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit ini dikuatkuasakan kelak.

Penganjuran demonstrasi ini adalah tepat pada masanya ke­rana sehari selepas penyerahan petisyen ini, Parlimen EU telah bersidang untuk menyatakan pendiriannya tentang cadangan larangan ini. Walaupun pada sesi itu majoriti ahli-ahli Parlimen EU telah mengundi untuk menyokong cadangan larangan ini, jumlah undian yang menyokong telah berkurangan dengan ketara dari 640 yang diperoleh pada April 2017 lalu kepada 492. Setidak-tidaknya, ini merupakan indikator jelas bahawa demonstrasi oleh pekebun kecil ini dan usaha-usaha kita bukanlah ibarat mencurah air ke daun keladi.

Hujah serta tentangan lantang kita turut telah mendapat sokongan daripada beberapa ahli-ahli Parlimen EU dari Parti Konservatif di United Kingdom yang telah mengundi membantah cadangan larangan ini. Buktinya, menurut satu kenyataan rasmi yang telah mereka keluarkan, mereka bersepakat “tidak menyokong pengharaman ke atas minyak sawit yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya dan akan menyebabkan inflasi pada harga makanan dan keruntuhan ekonomi di negara-negara membangun”.

Tidak cukup dengan itu, Daniel Hannan, salah seorang daripada ahli Parlimen Kesatuan Parlimen Eropah telah mengkritik ahli-ahli Parlimen EU yang menyokong cadangan larangan bersifat diskriminasi ini dalam ucapannya semasa sesi Persidangan Parlimen EU tersebut.

Tambahan lagi, 57 ahli-ahli Parlimen ini dari Parti EPP, parti politik terbesar di Eropah telah mencadangkan agar larangan terhadap minyak sawit ini dimansuhkan. Ini menggambarkan sudah ramai antara ahli Parlimen EU yang kini seiring bersama dengan pendirian kukuh kita. Jutaan terima kasih kepada mereka di atas sokongan ini.

Walaupun ada pihak mereka di Malaysia yang cuba meremeh-remehkan serta sengaja mengelirukan dengan penggunaan jargon teknikal seperti perkataan ‘lara­ngan’, hakikatnya, keputusan rasmi pengundian daripada Parlimen EU membuktikan sebaliknya, “Ahli-ahli Parlimen EU mendesak agar penggunaan bahan bakar bio dari minyak sawit diharamkan bermula dari 2021”. Ini membuktikan bahawa institusi Parlimen EU bersifat antisawit dengan mengharamkan penggunaan bahan bakar bio berasaskan sawit.

Sekiranya EU komited tentang kemampanan, mereka sepatutnya berganding bahu dengan kita untuk mengukuhkan lagi skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mula diterima pakai oleh pekebun kecil sawit di Malaysia. Ketika ini, kita telah mencapai kemajuan yang baik dengan jumlah kawasan penanaman sawit yang diiktiraf di bawah skim MSPO telah meningkat sebanyak 135% kepada 518,794 hektar pada tahun lalu berbanding 221,322 hektar pada 2016. Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pekebun kecil sawit yang menyokong skim MSPO ini.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kepada 650,000 pekebun kecil di seluruh pelosok negara, kami mendengar rintihan anda. Kami bersama anda dan aami akan te­rus berjuang untuk anda.

Usul larangan EU ini adalah satu bentuk ‘apartheid tanaman’. Ini kerana cadangan larangan ini merupakan usaha yang sengaja diada-adakan untuk mengharamkan hasil tanaman yang dikeluarkan di Malaysia. Tetapi mengapa pula tanaman yang dihasilkan di Perancis, Jerman dan negara-negara EU yang lain boleh terus diterima dan digunakan sebagai bahan bakar bio. Ini merupakan satu bentuk diskriminasi yang pa­ling teruk yang pernah dilakukan.

Kerajaan Malaysia sedang me­lakukan segala-galanya untuk memansuhkan larangan ini. Kita sangat tegas dalam komunikasi dan tindakan kita mengenai isu ini. Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan bahawa Malaysia akan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan balas terhadap sebarang usaha EU untuk memperkenalkan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit.

Bagi pihak kerajaan Malaysia juga, saya telah menulis kepada semua Menteri Tenaga di Ke­satuan Eropah tentang pendirian Malaysia mengenai tindakan diskriminasi ini. Ini akan disusuli dengan pertemuan dengan mereka di Eropah. Dalam pertemuan ini nanti, kita mesti terus mengingatkan mereka bahawa minyak sawit keluaran Malaysia telah memenuhi piawaian-piawaian ketat yang diperlukan. Dan ia telah diperakui sebagai lestari oleh skim-skim kemampanan Eropah yang terkemuka termasuk Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) dari Jerman.

Malaysia mengeksport hampir dua juta tan minyak sawit ke Ke­satuan Eropah pada tahun lepas, iaitu kira-kira 12% daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawitnya. Daripada jumlah ini, 0.6 juta tan digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel di sana manakala 0.215 juta tan biodiesel berasaskan minyak sawit diimport terus dari Malaysia.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.