Suami juga mengesyaki saya akan membolot segala hartanya dan tidak melayan saya dengan baik kerana prasangka tersebut.
Izyan, Negeri Sembilan.

UKE: Zakat adalah kewajiban suami kepada Allah apabila cukup segala syaratnya manakala nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami kepada isterinya.

 Allah berfirman: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (al-Thalaq:7).

 Dalam masalah pemberian nafkah kepada isteri, maka Islam tidak menetapkan dengan jumlah tertentu. Akan tetapi Allah memerintahkan suami agar bersikap kepada isterinya dengan makruf (baik, patut, adil). Nabi SAW sebagai ikutan kita, baginda juga telah menetapkan bahawa nafkah itu mencukupi untuk isteri dan anak.

 Ini yang dinamakan adil. Begitu juga suami hendaklah melayani isterinya dengan baik malah menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan bukannya untuk disakiti, diaib, atau diseksa jiwa dan raganya.
 Allah berfirman: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara patut." (al-Nisa’:19).

 Saya sarankan agar perbelanjaan rumah tangga anda serahkan semula kepada suami anda melainkan jika dia tidak mampu. Itu adalah kewajibannya untuk menanggung keluarga anda.

 Bila banyak perkara yang isteri tanggung, maka banyaklah kewajiban suami dilepaskan begitu sahaja. Anda juga boleh menuntut hak anda jika berasakan suami mampu memberinya tetapi dia tidak melaksanakannya.

 Bab hendak bolot harta itu, anda kena terangkan dengan elok-elok bahawa tiada keinginan untuk anda membolot hartanya. Jelaskan elok-elok.

 

Bisikan syaitan 

Ibu saya terkena gangguan. Dia selalu ada lintasan untuk mensyirikkan Allah. Contohnya seperti nampak kelibat salib termasuk terlintas dalam kepala. Apakah yang patut dilakukan?
Anak Risau, Kuala Lumpur.

UKE: Saya risau jika ibu anda melayan apa yang dia rasa atau terlintas di fikirannya yang boleh membawa penyakit was-was atau gangguan perasaan. Suka saya menyarankan agar anda mendapatkan rawatan daripada pusat rawatan Islam atau orang alim untuk membantu ibu anda agar dapat keluar daripada gangguan tersebut.
 Mungkin juga anda boleh membawa ibu anda menemui pakar kejiwaan yang mungkin dapat membantu dalam sudut kaunseling. Seterusnya, saya minta agar anda membantu ibu anda dengan beberapa kaedah seperti:
 a) Selalu mengamalkan solat berjemaah, 
b) Pastikan makanan dimakan bersih termasuk persekitaran luar dan dalam rumah, 
c) Biasakan agar ibu anda mandi dengan beberapa biji limau nipis setiap petang,
d) Jadikan Surah al-Mulk sebagai bacaan harian bagi ibu, 
e) Selalu amalkan ayat ke-56 daripada Surah Hud sebagai bacaan selepas solat.
 

 Rujuk semula selepas idah 

Jika pasangan suami isteri telah bercerai talak dua tetapi selepas idah mereka berkahwin semula dengan akad yang baharu. Apakah situasi begini dikira pernikahan baharu yang belum ada lafaz talak lagi?
Sue Abdullah, Senawang.

UKE:  Perceraian ialah perbuatan halal yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Ibn Majah).
 Di sebalik perbuatan halal yang dimurkai Allah itu, perceraian ialah penyelesaian masalah kepada pasangan suami isteri yang tidak dapat lagi hidup bersama atas pelbagai sebab.
 Namun begitu mereka boleh rujuk semula di dalam tempoh idah. Jika tempoh idah telah tamat tetapi mereka tidak juga rujuk maka jika mereka ingin bersama semula maka hendaklah dengan akad nikah yang baharu yang bermakna macam semasa bernikah dululah hukumnya.


Isteri tidak mahu anak 

Isteri saya hamil tetapi dia tidak mahu anak lagi. Dia cari ubat dan buah-buahan untuk gugurkan kandungan dalam perutnya. Apakah pandangan ustaz?
Suami kecewa, KL.

UKE: Kenapa isteri tidak mahu anak lagi? Sebab sakit? Doktor nasihat sudah cukup atau sudah banyak kali pembedahan semasa bersalin atau tidak mampu dari segi kewangan? Anda tidak menceritakan sebab musabab macam mana saya hendak jawab soalan anda? 
Mesti ada sebab kenapa dia enggan bersalin lagi dan anda kena jelaskan sebab tersebut. Apa pun anak adalah anugerah daripada Allah SWT.