Turut disertakan segala emoticon muka marah, tukul besi, kepala setan dan halilintar.

Setahu Seri, teman yang seorang ni memang jarang marah. Cakap pun lemah-lembut dan tak berapa nak berbunyi.

Jadi Seri pun buka YouTube Malaysia dan seperti yang Seri jangka, ada satu video Perhimpunan TURUN 2013 dimuat naik dan dipaparkan paling atas.

Seri tak ambil pot sangat pasal perhimpunan ni. Seri tak ada masa nak layan.

Tapi Seri memang tahu sangat tempat perhimpunan itu iaitu di Dataran Merdeka memang sentiasa ada acara sambutan tahun baharu yang diadakan. Saban tahun tanpa gagal.

Dan teman Seri ni memang akan turun ke KL dari rumahnya di utara - Hulu Klang (UK) semata-mata untuk meraikan sambutan ambang tahun baharu di sana.

Seri kurang faham kenapa teman Seri ni suka tempat yang sesak dan ramai orang macam tu. Sebab kalau diikutkan personalitinya yang lemah-lembut, seolah-olah tak kena.

Tapi apabila dia beri alasan percuma tetapi meriah, Seri agak fahamlah.

Walaupun Seri tak suka tempat sesak, Seri juga agak faham kenapa teman ini marah-marah apabila perhimpunan TURUN sabotaj kemeriahan sambutan tahun barunya.

Yang Seri tak faham kenapa penganjur perhimpunan tu tak pilih tarikh dan tempat lain?

Daripada namanya TURUN, Seri agak tentulah nak minta turunkan harga, turunkan tambang, turunkan yuran dan segala yang boleh diturunkan.

Tak mungkin mereka buat perhimpunan nak minta turunkan gaji?

Jadi kalau nak buat bermacam-macam permintaan dan tuntutan, bukankah lebih baik diadakan di dalam dewan, ada speaker atau pembesar suara, bersuaralah selantang mana pun, tentu boleh didengar.

Di Dataran Merdeka, dengan pekik lolong orang ramai, raung-tangis kanak-kanak, derum kenderaan yang lalu-lalang, apa yang boleh didengar?

Sepatutnya carilah tarikh lain. Kenapa hendak sabotaj hari istimewa teman Seri ni dan ramai lagi orang lain yang macam teman Seri mencari sedikit keseronokan malam tahun baru dengan melihat pertunjukan bunga api dan konsert artis kesayangan mereka.

Kalau hendak sangat berhimpun di tempat sama, kenapa tak buat sahaja keesokannya? Bukankah hari itu cuti umum, tidaklah mengacau orang lain.

Cukuplah, Seri tak mahu cakap banyak pasal perhimpunan ni nanti tak pasal-pasal BP Seri naik.

Lebih baik Seri layan MMS seorang lagi teman Seri di Pulau Pinang.

Menurut teman Seri ni ada supplier di Pulau Mutiara jual Mercedes baru separuh harga, siap dapat pengecualian cukai lagi. Wah! tawaran menarik tu.

Kalau dah diskaun 50 peratus, bolehlah Seri beli dua biji. Lalala...