Turut menarik perhatian ialah mereka berada di mana-mana dan dianggap kelompok paling rapat dengan masyarakat. Justeru gesaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad agar anggota pasukan itu menjadi mata dan telinga kepada agensi berkenaan adalah tepat.

Ini memandangkan anggota-anggota Rela dianggap mempunyai integriti yang tinggi dan lebih penting daripada itu mereka bersama rakyat boleh dikatakan sepanjang masa. Oleh itu, melalui hubungan berkenaan mereka boleh menjadi ejen paling berkesan untuk menyampaikan maklumat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa kepada SPRM.

Peranan Rela adalah penting dalam merealisasikan impian SPRM untuk merangkul semua peringkat masyarakat untuk bersama-sama dengan agensi itu memerangi rasuah. SPRM memerlukan sokongan semua pihak dalam `peperangan’ tersebut. Sebab itulah Dzulkifli mencetuskan gerakan `Pejuang Revolusi Gerakan Anti Rasuah (Gerah).

Gerakan itu adalah lambang ketegasan SPRM di bawah kepemimpinan Dzulkifli untuk membanteras rasuah habis-habisan tanpa rasa takut dan gentar di semua peringkat dan sektor. Bagaimanapun masyarakat tidak boleh melihat peranan Gerah hanya berkisar kepada pegawai dan anggota SPRM sahaja, sebaliknya seluruh rakyat dan agensi ter­masuklah Rela boleh menjadi pejuang Gerah.

Ini memandangkan rasuah adalah ancaman kepada semua rakyat negara ini. Bermula daripada pak tani di desa hinggalah tokoh korporat di kota, semuanya tidak akan terlepas diancam oleh puak-puak atau parasit-parasit yang mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram.

Atas sebab itulah Dzulkifli bersungguh-sungguh menyeru rakyat untuk bersama SPRM. Beliau melancarkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan matlamat untuk memastikan maruah jabatan dan agensi kerajaan terpelihara.

Pada masa sama, beliau mahu mewujudkan satu feno­mena benci rasuah dan sama-sama memerangi perbuatan jenayah berkenaan yang mungkin sebelum ini dianggap hanya menjadi tugas SPRM sahaja.

Sebab itu adalah penting jika kewujudan Gerah itu terus diuar-uarkan kepada orang ramai bagi membolehkan lebih ramai menjadi pejuang gerakan tersebut.

Dan sudah tentulah seruan Dzulkifli kepada Rela juga boleh dianggap `satu jemputan’ kepada pasukan itu memandangkan peranan Rela sekarang bukan seperti dahulu. Jika dahulu khidmat Rela hanya digunakan untuk menjaga kenduri kahwin atau majlis keramaian, tetapi Rela kini sudah diiktiraf antara elemen dalam pasukan keselamatan termasuklah akan ditugaskan menjaga sempadan.

Oleh itu, sudah pastilah mereka boleh memainkan ­peranan sebagai ejen `Gerah’ kepada SPRM. Melalui cara itu juga ia akan meningkatkan lagi integriti bukan sahaja Rela tetapi juga pihak-pihak lain khususnya penjawat awam.