Pemimpin itu berhujah setakat penangkapan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai selagi mereka yang terlibat belum dijatuhkan hukuman, malah pemimpin tersebut juga me­nulis; “Selagi belum bicara dan belum ada yang dihukum, belumlah dikira kita sudah betul-betul memeranginya. Selagi yang dicekup tidak dibuktikan dihukum, perang terhadap rasuah baru peringkat awal.”

Dalam soal hukuman biarlah mahkamah yang menentukan. Memandangkan perbicaraan untuk kes-kes salah guna dan rasuah melibatkan jumlah yang besar, bukan boleh di­selesaikan dalam masa sehari atau seminggu, bahkan mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Apa yang penting kesungguhan SPRM tidak harus diperkecilkan. Dahulu pihak pembangkang juga yang terjerit-jerit mahukan pembanterasan rasuah dilakukan habis-habisan, tanpa mengira siapa juga yang terlibat.

Kini SPRM di bawah kepemimpinan Ketua Pesuruhja­yanya, Datuk Dzulkifli Ahmad sudah melancarkan ‘perang’ tersebut. Tidak ada yang terlepas daripada orang yang memberi sehingga ahli politik yang menerima rasuah, semuanya kini berada dalam genggaman SPRM.

Agensi itu bertindak tanpa memilih bulu. Usah bercakap soal ‘jerung’ atau ‘ikan bilis’ kerana belum tentu yang dianggap ‘jerung’ itu benar-benar ‘jerung’ manakala yang dianggap ‘ikan bilis’ itu, ‘ikan bilis’. Apa yang pasti sekecil mana pun perbuatan rasuah tetap salah di sisi undang-undang.

Oleh itu tidak perlulah kita memberi pandangan sinis yang sudah tentunya dibuat atas perhitungan politik dalam bercakap soal rasuah. Seharusnya semua pihak tanpa me­ngira latar belakang politik perlu bersama-sama SPRM me­merangi gejala tersebut.

Sebenarnya kadang kala penulis tidak faham apa yang dimahukan oleh pemimpin pembangkang. Apabila SPRM tidak agresif mereka menuduh agensi itu mengikut telunjuk kerajaan, apabila SPRM agresif mereka persoal pula kalau sekadar tangkapan dan pendakwaan tetapi belum ada hukuman, ia belum memandai.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin pembangkang berterima kasih kepada SPRM kerana telah memenuhi impian mereka yang kononnya begitu tegar memperjuangkan pembanterasan rasuah melalui tindakan-tindakan kebelakangan ini.

Apapun penulis yakin SPRM tidak akan terganggu de­ngan pandangan sinis atau kritikan seumpama itu. Sebenarnya itulah perangai pembangkang, apa pun yang dilakukan, kalau boleh mendatangkan imej yang baik kepada kerajaan sudah tentu tidak akan memuaskan hati mereka.

Jika benar mereka mahu membanteras rasuah habis-habisan maka para pemimpin pembangkang perlu menyokong gesaan SPRM supaya salah guna kuasa dan rasuah dijadikan musuh nombor satu negara. SPRM memerlukan sokongan semua pihak bagi melaksanakan misi tersebut.

Hasrat SPRM sudah pasti sama sekali tidak bertujuan me­raih populariti tetapi demi memastikan gejala salah guna kuasa dan rasuah tidak terus bermaharajalela. Ketika ini SPRM sedang rancak melaksanakan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sudah banyak agensi, kementerian dan kerajaan negeri terlibat.

Bagaimanapun penulis belum melihat penyertaan daripada pihak pembangkang. Justeru adalah wajar jika benar pembangkang mahu mewujudkan sebuah negara yang bebas rasuah maka mereka juga perlu menggesa kerajaan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan turut menyertai ikrar berkenaan.

Perlu diingatkan pembanterasan rasuah oleh SPRM tidak mempunyai agenda politik atau apa-apa maksud tersirat. Sebaliknya usaha itu dilakukan semata-mata bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kerana bak kata Menteri Pertahanan yang juga Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein; “Saya anggap perasuah adalah pen­derhaka dan pengkhianat bangsa serta negara.”

Kalau itulah yang turut menjadi teras atau pegangan semua pihak termasuklah pembangkang maka mereka perlu bersama SPRM dalam ‘perang’ tersebut. Apapun penulis yakin Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) yang dicetuskan oleh Dzulkifli akan berterusan bagi memastikan ‘musuh nombor satu negara’ itu berjaya diranapkan sehingga ke akar umbi.