Ketika berucap di hadapan 55 pemimpin dari negara Arab dan Islam, Trump mengakui agama Islam bukan punca sebenar keganasan dan mengajak negara Islam lain bekerjasama dengan AS bagi memerangi fenomena radikal dan ekstremis. Tidak kedengaran di Riyadh mengenai retorik Islamofobia Trump yang sering menu­ding agama Islam sebagai punca keganasan global.

Begitu berbeza sekali hala tuju Trump ketika berada di Sicily dan Brussels kerana apa yang dipegang oleh Trump terutama yang berkaitan dengan isu perubahan iklim, dasar perdagangan, pela­rian dan tanggungjawab pertahanan tetap dipertahankan oleh beliau.

Dalam mesyuarat G7 dengan enam negara lain iaitu Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada, kelihatan AS bersendirian tanpa sokongan enam negara lain dalam kebanyakan agenda mesyua­rat kecuali yang membabitkan Laut China Selatan dan Laut China Timur kerana isu tersebut melibatkan China yang pada pandangan Trump adalah musuh utama AS.

Umpamanya Trump tidak mahu memberi kata putus mengenai isu perubahan iklim terutama sekali sama ada akan menghormati persetujuan bekas Presiden Barack Obama dalam memenuhi kehendak Perjanjian Paris. Pada pemikiran Trump fenomena per­ubahan iklim hanyalah rekaan dan khayalan oleh beberapa kumpulan saintis semata-mata.

Begitu juga dengan kepercayaan Trump bahawa berlakunya lebihan dagangan yang merugikan AS adalah kerana manipulasi negara ter­tentu dan pendirian sebegini kurang disenangi oleh beberapa ahli G7 seperti Jerman, Perancis, Itali dan Jepun yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS. Apabila didesak supaya AS turut memikul tanggungjawab secara bersama dengan Eropah dalam hal kebanjiran pela­rian dari Asia Barat, Trump seperti biasa cuba mengelak.

Begitu jua ketika Sidang Kemun­cak NATO, Trump tetap dengan pendirian bahawa tidak adil membebankan AS dengan pertahanan rantau Eropah kerana hanya lima daripada 28 anggota NATO yang memenuhi kehendak bajet pertahanan dua peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masing-masing.

Ketika di Riyadh, Trump bersama-sama dengan Raja Salman dan Presiden Mesir Abdel Fatah al-Sisi telah merasmikan Pusat Global bagi Memerangi Ideologi Ekstremis yang berpangkalan di Riyadh. Se­nario perasmian ini walaupun simbolik tetapi memberi makna yang begitu besar iaitu AS bersama-sama dengan negara Arab dan Islam lain bekerjasama memerangi ideologi ekstremis yang berkait rapat de­ngan keganasan.

Tetapi amat ketara perbezaan hasil mesyuarat di Riyadh berbanding dengan apa yang telah berlaku di Sicily dan Brussels kerana beberapa hari lepas Canselor Jerman Angela Merkel telah mengeluarkan kenyataan yang mampu mewarnai percaturan geopolitik pada masa hadapan.

Ketika berkempen di Berlin beberapa hari lepas, Merkel mene­gaskan waktu untuk bergantung harap di antara satu sama lain demi kebaikan Eropah sudah ber­akhir dan kenyataan tersebut sebenarnya ditujukan khusus terhadap sikap Trump terutama apa yang berlaku di Sicily dan Brussels.

Kenyataan Merkel itu dianggap bakal memberi impak yang besar di antara hubungan merentas Atlantik kerana selama ini AS dan Eropah saling membantu bukan sahaja dari segi pertahanan tetapi juga ekonomi. Kerjasama seperti ini telah berjaya buat sekian lama membantutkan pengaruh Rusia di rantau Eropah.

Apa yang disuarakan oleh Merkel tidak boleh dianggap sebagai retorik kempen semata-mata kerana pada Selasa lepas beliau telah menerima kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan semalam pula Perdana Menteri China, Li Keqiang berkunjung ke Berlin.

India dan China yang dianggap sebagai gergasi Asia adalah manifestasi kepada perubahan selera Eropah yang selama ini amat bergantung kepada AS, kini mula mencari rakan yang lebih dipercayai selepas AS di bawah pentadbiran Trump seolah-olah mahu memencilkan diri ha­nya kerana ingin memenuhi dasar ‘Amerika didahulukan’.

Perlu ditekankan kedua-dua pertubuhan NATO dan G7 adalah khusus untuk menjalin kerjasama antara AS dengan Eropah dan tidak keterlaluan digunakan sebagai asas untuk mengekang pengaruh Rusia dan China terutama sekali berkaitan dengan keselamatan dan ekonomi.

Tidak perlu diperbesarkan tingkah laku Trump seakan kebudak-budakan terutama sekali yang berlaku di Brussels, hasil daripada kedua-dua mesyuarat G7 dan NATO adalah manifestasi kepada hubungan yang renggang di antara AS dan Eropah.

Hubungan yang retak di antara AS bukan sahaja isu besar yang perlu dihadapi Eropah kerana Britain sebagai ahli NATO dan G7 yang bakal meninggalkan Kesa­tuan Eropah (EU) juga adalah masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan.

Hakikatnya ketika negara Arab dan Islam berjaya mengikat Trump untuk bekerjasama berhadapan dengan isu keganasan menggunakan kaedah yang lebih efektif, negara Eropah pula gagal menong­kah retorik Trump. Sena­rio sebeginilah yang ditakrifkan era Trump mampu mengubah geopolitik global.