Paling menjadi tumpuan apabila ada pegawai dan anggota polis ditahan kerana didakwa terlibat dalam rasuah. Akibat segelintir yang membuat onar, hampir seluruh pasukan menjadi ‘mangsa’.

Semalam, penulis menerima satu coretan yang dihantar oleh seorang sahabat yang bertugas dalam PDRM. Tulisan agak menarik. Ia bagaikan curahan hati terhadap apa yang berlaku kepada pasukan itu sejak kebelakangan ini dan apa pilihan yang mereka ada.

******

Semalam aku membaca kisah seorang pegawai polis yang meninggal dunia di Kelantan akibat tembakan di kepalanya. Kalau ikut laporan akhbar, arwah pernah memberitahu keluarganya yang dia tertekan dengan tugasannya. Siasatan sebenar punca kejadian macam manapun sedang berjalan.

Semalam juga aku membaca kisah sepasukan anggota khas polis diserang sebelum mereka berjaya menembak mati tiga penjenayah tegar dalam insiden berbalas tembak di Tangkak, Johor.

Dan beberapa hari sebe­lumnya aku membaca kisah ketua polis daerah dan pegawai kanan polis di Melaka ditangkap oleh SPRM kerana disyaki mengambil rasuah.

Baik, antara rasuah, stres dan pengorbanan... Menjadi ang­gota polis, sama ada di Ba­tang Lupar, Sarawak atau di Los Angeles, Amerika Syarikat, da­ri Tasek Malaya, Indonesia membawa ke Vladivostok, Rusia - bukan satu pekerjaan yang mudah. Selain menjadi sasaran penjenayah, mereka juga menjadi sasaran ‘persepsi’ daripada orang awam.

Kalau berharta sedikit, dikata makan rasuah. Kalau garang sedikit, dianggap samseng. Kalau kasar sedikit, dianggap kurang ajar. Kalau menembak, dianggap ‘penjenayah berlesen’. Kalau bersopan-santun, dianggap lembik. Kalau bertolak-ansur, dianggap ‘boleh kawtim’, kalau berdiplomasi, dianggap penakut. Kalau bertegas dengan orang Melayu, dikata tak bantu bangsa sendiri. Kalau bertegas dengan kaum lain, dianggap perkauman.

Tetapi nak salah masyarakat sepenuhnya pun tak boleh juga. Di saat ada pegawai dan anggota polis berkorban masa dan nyawa untuk membanteras jenayah, ada juga rakan mereka yang masih ‘makan suap’. Di saat ada pegawai dan anggota mereka yang jujur dan berhemah, masih ada yang lalai dan cuai. Di saat ada pegawai dan anggota mereka yang bertugas dengan penuh integriti dan berdedikasi, masih ada yang membuat onar dan memalukan panji pasukan sendiri.

Sebenarnya dalam mana-mana organisasi pun masalah yang sama tetap ada. Namun, masalahnya masyarakat tak boleh menerima perkara tersebut jika terjadi dalam PDRM. Masyarakat mahu PDRM tegas, adil dan berhemah! Masyarakat mahu PDRM mesra, cepat dan betul! Jadi pada yang dah ada dalam pasukan atau berkira-kira hendak menjadi sebahagian daripada mereka yang dalam panji Sang Saka Biru, inilah cabaran paling besar buat mereka.

Bekerja dalam tekanan, bekerja dalam imbuhan yang tak seberapa, bekerja dalam bahaya, bekerja dalam suasana yang tidak selesa...itu adalah ramuan dan rempah-ratus yang terpaksa mereka lalui kalau mahu bergelar polis. Namun percayalah, inilah tugas yang sangat mulia dan besar ganjarannya di sisi Tuhan. Jadi tepuk dada tanya selera.

Teruskan berjuang demi agama, bangsa dan negara atau undur diri saja, andai itu pilihan terbaik yang ada. Wallahualam.

******

Semoga coretan ini akan memberi kita pengertian bahawa biar apapun melanda, semangat PDRM tidak pernah luntur kerana sejarah sudah membuktikan kelompok yang me­langgar sumpah Sang Saka Biru pasti kecundang akhirnya!