Emosi atau perasaan adalah sebahagian daripada sifat manusia. Insan merujuk kepada faktor nasiyya/nisyan (lupa) dan ghaflah (lalai). Menjadi emosional menyebabkan hilang keseimbangan antara sifat objektif dan asas kebenaran.

Dalam memberi penilaian emosi, tanpa pedoman akal boleh menyebabkan salahlaku dan sikap melampau mengambil tempat. Tanpa rasionaliti, persepsi akan mendahului, sangka buruk akan berlaku dan nafsul amarah boleh terjadi.

Dalam tradisi Islam emosi yang tidak dipandu oleh sumber wahyu boleh menyebabkan berlakunya kesasaran kerana petunjuk daripada Allah tidak dijadikan sumber pedoman. Pedoman daripada Allah amat penting ke­rana ia memberikan pencerahan terhadap sesuatu isu dan perkara. Bergantung kepada akal semata-mata belum memadai untuk menemui kebenaran. Akal yang dipedoman oleh naqal (al-Quran) dalam memahami sesuatu menyebabkan kebenaran terserlah.

Rasio atau akal menjadi satu faktor bagi seseorang berfikir secara objektif berasaskan fakta dan data. Rasionaliti ialah suatu proses bagaimana akal menjana maklumat dan perkhabaran supaya manusia terbimbing ke arah hujah yang meyakinkan. Nilai-nilai Qurani yang bersama dengan hujah yang benar bakal menuju kepada kebenaran yang hakiki.

Mendepani sesuatu isu menuntut kecekalan dan ama­nah dalam berfikir supaya data dan fakta yang dikaji menjurus kepada hal-hal yang benar. Sekiranya ternyata ia palsu ja­ngan tular dan sebarkan kepada pihak lain kerana ia bersifat fitnah. Melakukannya menjadikan kita orang berpahala dan menyebarkannya menjadikan kita orang berdosa.

Berdosa dengan Allah keampunan-Nya boleh dimohon te­rus. Berdosa dengan manusia kesannya adalah peribadi. Mampukah kita mohon ampun kepada manusia atas kesilapan fitnah dan menyebarkan maklumat dan perkhabaran palsu. Hanya orang beriman mampu menjawab persoalan ini.

Orang yang beriman mempunyai hubungan menegak (hablumminallah) dengan Allah SWT. Hubungan menegak membina rasa taabudi yang tinggi kepada orang beriman. Rasa taabudi menjadikan insan memiliki jiwa takwa yang tinggi.

Jiwa muttaqeen ini apabila dihubungkan secara merentas (hablum minnan nas) dengan manusia lain bakal lahir rasa ukhuwah yang baik, keinsafan jamaah yang tinggi dan rasa amanah yang hebat.

Bayangkan seseorang yang tidak memiliki hubungan menegak dan merentas dengan Allah dan sesama manusia, nafsul amarah akan mengambil tempat, berfikir cara seronok-seronok dan melakukan tindakan sesuka hati dijadikan ukuran.

Amalan ini menyebabkan hubungan dengan Allah menjadi longgar dan hubungan dengan manusia bukan atas pertimbangan persaudaraan sesama Islam tetapi ia terjadi hasil dorongan nafsul amarah dan menyebabkan permusuhan berlaku. Inilah cara syaitan mempengaruhi akal dan hati kita tanpa pertimbangan iman dan takwa dan menjadikan kita tersasar.

Sebab itu rasionaliti semata-mata tidak mencukupi untuk mendapat maklumat dan perkhabaran yang benar dan sahih. Rasionaliti yang dipedoman oleh syariat menjadikan kita orang yang patuh dan taat ikut pedoman Allah.

Tidak merujuk pedoman daripada Allah sering membimbing emosi kita dalam keadaan ragu-ragu. Tidak menjadi masalah kita menyebarkan maklumat yang benar dan perkhabaran yang baik kerana dalam strategi dakwah ia­nya amat membantu.

Oleh itu sebagai orang yang beriman kita harus ada upaya yang selektif memilih yang benar dan bermanfaat supaya teknologi boleh memberi kesedaran kepada yang lain.

Dalam tradisi Islam teknologi selamanya alat bukan matlamat. Teknologi yang dikendalikan dengan etika yang tinggi sifatnya mencerahkan. Islam tidak menentang wujudnya teknologi tinggi (high-tech) tetapi menyantuninya memerlukan cara guna yang betul (high-touch) supaya wujud perimbangan antara alat dan cara guna supaya ia­nya memberi manfaat yang lebih.

Asas ini penting diketahui dan diamalkan supaya teknologi tidak digunakan sewenang-wenang dan menyebabkan kesasaran terjadi. Rasionaliti yang dipedoman oleh syariat menjadikan emosi terkawal dan terarah. Ia sangat penting kerana berfikir tanpa disiplin dan tidak menghubungkannya dengan kemurnian hati budi menyebabkan amal menjadi terpesong.

Keperluan asas-asas syariat menjadikan nilai guna terarah dan terpedoman. Kecanggihan teknologi dalam menyebarkan maklumat dan perkhabaran memerlukan ketelusan dalam aplikasi syariat supaya kebenaran menjadi tunjangannya. Tanpa kebenaran dijadikan matlamat dalam aplikasi teknologi ia boleh menyebabkan kepalsuan dan fitnah terjadi.

Jadilah pengguna teknologi yang berlandaskan syariat sebagai pedoman dalam menerima dan menyebarkan sesuatu supaya ia memberi manfaat kepada yang lain. Rasionaliti semata-mata belum sempurna untuk menjadikan sesuatu maklumat dan perkhabaran itu benar. Rasionaliti yang berasaskan syariat adalah pedoman terbaik dalam menggunakan teknologi.

Teknologi selamanya alat bukannya matlamat. Matlamat dalam penggunaan alat ialah menyebarkan kebenaran bukannya kepalsuan. Maklumat palsu yang tersebar dan dipercayai oleh sesetengah orang boleh menyebabkan emosi negatif menjadi subur.

Sebagai pengguna sistem maklumat, emosi positif amat dituntut supaya syak wasangka dapat diatasi, ragu-ragu dapat diimbangi, prasangka dapat dihilangkan dan persepsi dapat diperbetulkan.

Jadikan penerimaan dan penyebaran maklumat dan perkhabaran secara makruf supaya kita tidak terjebak dengan dosa. Menyebarkan maklumat yang benar adalah salah satu strategi dakwah. Dakwah mengajak manusia kepada kebenaran dan mencegah diri kepada kemungkaran.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).