Tekanan kepada UMNO sungguh ketara sekali. BN menganggap PRU pada kali ini sebagai bapa kepada segala pilihan raya. Oleh itu, ia menjadi pilihan raya yang terpenting dalam sejarah politik negara. BN memaparkan track-record program transformasi dan prestasi ekonomi negara sebagai justifikasi atau hujah untuk diberikan semula mandat oleh pengundi untuk terus memerintah.

Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang melalui Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR, PPBM, dan PAN telah menonjolkan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memimpin mereka bagi mencabar BN. Parti-parti dan pemimpin mereka pada satu masa dahulu merupakan musuh-musuh ketat kepada Dr. Mahathir.

Kejadian sebeginilah yang menyebabkan orang mengatakan bahawa dalam politik, perkara yang tidak disangkakan boleh terjadi. Saya sendiri tidak terfikir perkara itu akan jadi satu kenyataan.

Perlakuan Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang telah menolak sebuah parti yang sudah berjasa kepada agama, bangsa dan negara, adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali.

Mana-mana pemimpin sememangnya ada kelemahan dan ketidaksempurnaan, tetapi wadah perjuangan itu sukar untuk diketepikan. Perjuangan kepada saya, semestinya dilaksanakan dan dimartabatkan melalui parti, kerana pemimpin akan bersilih ganti.

Tindakan Dr. Mahathir mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menguburkan UMNO menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan penganalisis serta pemerhati politik dari dalam dan luar negara dan juga dalam kalangan ahli-ahli UMNO.

Ada yang mempersoalkan tujuan dan agenda sebenar beliau. Ada yang bertanya, mengapa beliau tergamak mengambil keputusan sedemikian?

Apa sekali pun niat dan tujuan PH dan Dr. Mahathir, ia kelihatan seperti mereka bersungguh-sungguh mahu mengalahkan BN dengan menawarkan Dr. Mahathir Perdana Menteri interim sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim.

Lantaran itu, pilihan raya ini sangat unik disebabkan pertembungan sengit dan ganas yang berlaku antara tokoh dan ahli politik kedua-dua parti dengan taktik dan strategi politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pas pula berada di tengah-tengah, dengan harapan mereka boleh menjadi pengimbang kuasa setelah berakhir PRU-14 dan tiada parti yang mendapat majoriti mutlak. Apa yang jelas ialah perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam menjadi lebih parah dan semakin meruncing.

Persoalan perpecahan ini harus dijawab dan dihuraikan agar bangsa Melayu terus bersatu, agama terus teguh dan negara tidak tergadai. Pencerahan isu ini mungkin menjadi perkara yang akan menentukan siapa pilihan rakyat yang bakal memimpin negara.

Peranan media sosial dan teknologi maklumat juga makin berleluasa, sehinggakan kebenaran dan kepalsuan tersebar dengan lebih pantas lagi, sehingga nama baik dan imej negara juga turut tercalar.

Ketika zaman saya menjadi pemimpin kerajaan dan politik, kita tidak mahu ada campur tangan dari luar; tetapi kini kita dapati tanpa segan silu, negara luar dan media mereka turut memainkan peranan.

Oleh sebab itu strategi dan persediaan BN terpaksa disusun lebih rapi termasuklah melalui pendekatan dasar, persediaan calon-calon yang akan bertanding dan promosi melalui media utama dan sosial oleh kedua-dua parti amat menyerlah.

Kriteria utama yang ditekankan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi BN ialah mereka akan memilih calon-calon yang berpotensi menang dengan seteliti mungkin bagi menjamin kemenangan BN.

Saya mengandaikan penyataan sedemikian tidak seharusnya mencetuskan isu perebutan atau mensabotaj calon parti sendiri ataupun penukaran calon di saat-saat akhir pada hari penamaan calon, yang sering berlaku pada masa lampau berdasar pengalaman saya.

Tambahan pula, sistem saringan melalui bahagian, negeri dan di peringkat kebangsaan oleh BN akan menjamin kemenangan mereka.

Jumlah ahli parti di setiap kawasan DUN dan Parlimen seharusnya menjadi modal permulaan untuk menjamin kemenangan. Siapa juga yang dipilih bertanding atau jadi calon perlu diberikan sokongan oleh ahli-ahli parti jika berpegang kepada slogan 'Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.'

Terperinci

Semangat itu hendaklah dijunjung dengan luhur bagi memastikan parti lawan tidak berupaya untuk menewaskan BN.

Namun demikian, jika kesetiaan tergadai dan perasaan tidak puas hati wujud ataupun sokongan tidak diberikan kepada calon-calon yang dipilih, ia menjadi kekuatan buat parti lawan dan cita-cita mereka untuk mengambil alih kuasa akan berjaya. Lebih-lebih lagi dengan suasana di mana ada isu-isu yang ditimbulkan dengan cara dan kaedah luar biasa untuk menarik pengundi mengubah selera.

Justeru, pilihan raya ini tidak boleh dipandang ringan dan parti pemerintah seharusnya keluar dari zon selesa mereka. Tidak syak lagi pilihan raya adalah institusi utama dalam kesuburan demokrasi sesebuah negara.

Demokrasi ini pula harus kelihatan berlandaskan ketulusan dan integriti. Apa yang penting mengikut kajian akademik, setiap parti perlu memahami selera semasa pengundi, justeru calon yang dikemukakan mestilah bersesuaian bukan sahaja dengan parti, tetapi juga para pengundi.

Era yang mana kekuatan parti sahaja boleh menjamin kemenangan sudah berakhir dan tidak wujud lagi. Hari ini segalanya mudah terbongkar dan terdedah, oleh itu latar belakang, peribadi dan akhlak calon adalah amat penting.

Pandangan dan sikap pengundi perlu diambil kira kerana pengundi mahukan calon yang memenuhi cita rasa mereka serta akan memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada mereka semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat di peringkat negeri atau nasional.

Manifesto dan dasar parti yang dijanjikan mestilah selaras dengan kehendak pengundi. Pengundi memilih calon yang mereka rasakan boleh memberikan impak positif kepada mereka. Ia juga penting untuk pengundi merasakan bahawa calon bertanding mewakili parti mampu memperoleh kemenangan dan akan membentuk kerajaan.

Bila ada persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding, kredibiliti kepimpinan parti, pandangan mereka terhadap isu-isu urus tadbir dan ketelusan serta akhlak akan menjadi persoalan besar untuk para pengundi memilih sesuatu parti.

Ada kajian yang menunjukan faktor-faktor lain seperti minat mereka terhadap calon, kemesraan calon dengan rakyat, personaliti dan wibawa serta pandangan mereka dalam isu agama, budaya ataupun kaum dalam konteks masyarakat berbilang bangsa, budaya dan agama di Malaysia.

Adalah perlu untuk mengambil kira secara terperinci profil pengundi, sama ada golongan muda ataupun tua. Bila saya bertanya kepada pengundi muda, siapakah calon yang mereka minati, jawapan ringkas yang mereka berikan selalunya, adalah mereka yang telus dan semasa, serta tidak terlibat dengan rasuah.

Jelas bahawa rekod calon boleh memainkan peranan utama dalam mencari calon yang hendak mewakili pengundi. Dalam lain perkataan, mereka mahukan calon yang jujur, membela kepentingan rakyat, bercakap benar, boleh berkomunikasi secara efektif dan berkesan, memiliki kebijaksanaan dalam isu-isu semasa serta tawaduk dan tidak sombong.

Ternyata ada wakil-wakil rakyat yang mungkin terlepas pandang kriteria-kriteria ini, lantas mempamerkan sikap bongkak, sombong serta tidak bijak menonjolkan parti dan akhirnya mencemarkan nama baik parti dalam pilihan raya seperti ini.

Pendek kata permintaan dan tuntutan kepada calon lebih tinggi pada masa ini kerana pengundi muda hidup di era ledakan media sosial dan IR 4.0 dengan lambakan medium seperti WhatsApp, FaceBook, Instagram dan Twitter yang menjadi sumber rujukan.

Tekanan cabaran pada parti dan calon pada hari ini adalah lebih kerana tiap-tiap parti ada manifesto terperinci dan dasar yang mereka ketengahkan yang perlu diyakinkan kepada pengundi. Ia adalah yang terbaik daripada semua perspektif.

Saya berpendapat pertimbangan yang kuat akan diberikan kepada sentimen, sikap dan tidak semata-mata mematahkan hujah daripada parti lawan ataupun retorika.

Yang paling signifikan adalah untuk memenangi hati dan sikap pengundi. Kalau dahulu adalah mudah untuk menjual calon melalui lambang parti sahaja.

Namun kini pengundi-pengundi yang mempunyai akses kepada maklumat terkini, mahukan platform untuk mempersoal dan mengkritik dasar dan pemimpin. Oleh itu, BN tidak terkecuali daripada keperluan untuk memahami kehendak dan menghayati kemahuan pengundi.

Oleh sebab election mode sudah bermula, pada masa yang kritikal ini, ahli parti tidak boleh "menembak kaki mereka sendiri" atau berselisih sesama sendiri di depan khalayak ramai serta melakukan kesilapan dalam memberi kenyataan, percakapan ataupun perbuatan mereka.

Dalam suasana genting yang mewarnai pilihan raya bakal menjelang ini, tidak ada zon selamat dan BN tidak boleh menjangkakan kemenangan seperti dahulu. Inilah pilihan raya yang paling luar biasa kerana parti lawan membentangkan kepincangan kerajaan kepada rakyat dan menampilkan kepada pengundi mereka memiliki kredibiliti untuk mengambil alih kuasa dan merupakan alternatif baharu yang boleh diberikan mandat memerintah negara.

Para pembangkang menggunakan slogan "inilah masa untuk berubah." BN mesti berupaya mencerminkan mereka boleh mempertahankan kesinambungan pembangunan negara, justeru pengundi perlu memilih BN bagi terus mengemudi negara.

Oleh itu, semua parti komponen BN mesti bergerak seiring dan sejalan sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak bagi memastikan kemenangan BN. PH juga mahukan kemenangan. Dengan itu tiada jalan mudah meraih kemenangan atau tiada ruang melakukan kesilapan.

PENULIS ialah bekas Menteri Kabinet.