Tiada siapa boleh mendabik dada menyatakan dirinya tidak memerlukan bantuan sesiapa pun sejak kecil sehingga dikebumikan di liang lahad. Setiap kita memerlukan bantuan orang lain, bantuan yang berpaksikan oleh pengorbanan yang bukan hanya mengharapkan balasan semata-mata. Jika hanya mengharapkan balasan, maka natijahnya orang sakit mungkin sahaja tidak akan dijaga oleh mereka yang sihat manakala mereka yang tidak bernasib baik dibiarkan begitu sahaja menjalani kehidupan yang tidak terurus.

Dalam hal ini, kita diingatkan agar menjadi orang yang bijaksana. Bijak bukan bermaksud mendapat markah 100 peratus dalam peperiksaan di sekolah mahupun di universiti. Itu hanyalah salah satu daripada kepintaran. Manusia dicipta oleh Allah SWT dengan pelbagai kepintaran dan kelebihan. Sebaliknya, tidak ada manusia yang pintar dalam semua bidang.

Kita perlu lihat dalam konteks yang lebih holistik betapa orang yang bijaksana ialah orang pintar manakala orang yang pintar tidak semestinya bijaksana. Natijahnya, ramai yang pintar tetapi tidak bijaksana kerana sanggup `berkorban’ masanya untuk menyebarkan perkara-perkara yang tidak sewajarnya kepada masyarakat. Misalnya, mengada-adakan cerita dan melakukan provokasi semata-mata untuk melaga-lagakan satu pihak dengan pihak yang lain. ‘Pengorbanan’ ke arah perkara yang tidak memberi sebarang manfaat kepada orang lain, malah boleh memudaratkan diri sendiri dan masyarakat.

Namun, inilah yang berlaku dewasa ini. Lebih-lebih lagi dengan teknologi moden melalui media sosial sekejap sahaja ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh golongan seperti ini boleh memudaratkan kehidupan masyarakat. Mereka ini tidak ­bertingkah laku secara bijaksana. Hal ini kerana orang yang bijaksana tidak akan sanggup `berkorban’ untuk perkara-perkara yang memudaratkan hidupnya dan orang lain.

Misalnya, orang yang bijaksana akan sentiasa berfikir terlebih dahulu dan memeriksa ayat-ayat yang digunakannya sebelum menghantar atau membalas sebarang kata-kata dalam media sosial. Malah, orang yang bijaksana tidak akan sesekali mengeruhkan keadaan masyarakat yang hidup dengan harmoni.

Sebab itulah terdapat hubung kait antara mereka yang bijaksana dan erti sebenar pengorbanan. Usahlah kita terlalu berkira untuk memberi manfaat kepada orang lain. Berkira masa, ilmu, wang ringgit mahupun harta benda. Mana mungkin ilmu yang bermanfaat mampu disebarkan jika ilmuwan-ilmuwan terdahulu terlalu berkira untuk mengajar orang lain. Ilmuwan yang sebenar akan sentiasa didekati oleh orang lain bukan hanya kerana mereka itu memiliki ilmu yang tinggi tetapi juga memiliki kebijaksanaan dengan sanggup berkorban tidak kira masa dan wang ringgit untuk menyebarkan ilmu.

Bagi golongan hartawan, mereka yang bijaksana akan sentiasa menderma harta untuk memanfaatkan masyarakat. Mana mungkin golongan fakir dan miskin dapat menjalani kehidupan seperti orang lain jika tiada langsung golongan hartawan yang bijaksana menderma harta mereka demi kebaikan orang lain. Malah, mereka yang bijaksana pastinya mengetahui betapa harta mereka tidak akan habis hanya kerana didermakan kepada orang yang benar-benar memerlukan.

Kita diberikan kelebihan akal yang wajar digunakan untuk tujuan kebaikan. Dewasa ini ramai manusia yang tidak menggunakan kelebihan yang diberikan oleh-Nya untuk mendamaikan kehidupan. Manusia lebih gemar melabel-labelkan orang lain, bergaduh, berperang dan memusnahkan muka bumi ini.

Mereka ini mungkin sahaja pintar tetapi sebaliknya yang nyata tidak bijaksana. Mereka yang bijaksana akan sentiasa berkorban mengikut ajaran agama Islam dengan bertingkah laku yang menyenangkan kehidupan manusia lain. Tidak berlagak sombong atas kelebihan yang dimilikinya. Ingatlah, segala kemewahan harta, wang ringgit, pangkat dan kekuasaan itu hanyalah sementara. Semuanya akan kembali kepada-Nya apabila tiba masanya. Bijak di dunia akan mendapat nikmatnya di sana (akhirat), kelak, Insya-Allah. Selamat Hari Raya Aidiladha.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Perakaunan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).