Ia menjadi perkhabaran terbaik kerana akhirnya BN mampu memberi pilihan politik terbaik untuk rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ini kerana ramai yang berpandangan kerjasama UMNO dan Pas akan hanya memfokus pada satu kaum sahaja. Dan ramai juga yang melihatnya sebagai agak ekstrem dan membahayakan agenda politik nasional.

Namun MCA dan MIC sekali lagi membuktikan mereka ini berjiwa besar dan sanggup berkorban menjadi pembangkang sedangkan boleh sahaja mereka melompat parti seperti segelintir orang UMNO.

Selepas hampir berpatah arang akibat keputusan pilihan raya lepas yang tidak memihak kepada BN, MCA dan Mic akur akan pentingnya mereka kekal sebagai komponen BN.

Khabar gembira ini perlu dikongsi semua rakyat Malaysia yang berpaksi pada realiti Malaysia yang berbilang kaum. Malaysia bukan hanya dimiliki sesuatu kaum sahaja dan keharmonian tidak akan berlaku jika terlalu di dominasi kaum tertentu.

Namun semua kaum di Malaysia juga perlu akur bahawa orang Melayu sebagai kaum teramai dan orang asal selain orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak perlu dipertahankan hak mereka bersandarkan Perlembagaan yang semua warganegaranya perlu menjunjung tinggi.

Dalam soal ini MCA dan MIC ternyata tidak berkompromi tetapi lantang dan tegas memperjuang hak kaum mereka.

Berdasar kenyataan media dikeluarkan MCA kelmarin, Ahli Jawatankuasa Pusat mereka bersetuju untuk kekal dalam BN dan akan memperkukuh kerjasama pelbagai kaum di negara ini serta memastikan tidak ada kecenderungan politik berasaskan kaum keterlaluan.

Menjiwai

Sikap MCA sebegini harus dipuji kerana jika wujudnya kecenderungan politik berasaskan kaum yang melampau maka asas yang telah dibina kukuh sejak merdeka lagi akan terperosok tidak bermakna.

Toleransi ni yang berjaya menjiwai watak politik perkauman antaranya dalam DAP yang sering berselindung di sebalik demokrasi dan kebebasan bersuara.

Malah DAP sendiri tidak boleh menafikan agenda kaum lebih utama selain prinsip liberal dan terbuka yang disanjung menjadi asas perjuangan selama ini.

Bezanya dengan MCA mereka lebih mudah untuk berkompromi dan bekerjasama dengan parti sekutu BN terutama UMNO.

Tidak dinafikan sikap sebegini juga adakalanya menghantui UMNO yang terpaksa menjadi jaguh untuk orang Melayu dan akhirnya terpalit dengan retorik perkauman yang adakalanya keterlaluan. Namun itulah lumrah politik apabila melibatkan perkauman.

Apatah lagi isu seperti kaum, etnik dan agama adalah sangat popular untuk dijual mahupun digadai.

Sejarah sudah membuktikan antara punca BN tumbang akibat keengganan untuk akur kehendak rakyat dan keangkuhan ketika di puncak kuasa. Banyak kesilapan dilakukan walaupun pahit untuk ditelan.

Hakikat ini tidak ada siapa boleh merubahnya, pasca PRU-14. Tidak ada yang sempurna di dunia ini, namun orang yang berjaya dan berjiwa besar adalah kerana mengambil pengajaran dari kesilapan masa lalu.

Realiti ini walaupun pahit itulah yang bakal menjadi resam jika BN mahu bangkit sebagai sebuah parti pelbagai kaum seperti mana sejarah awal penubuhannya.

Pihak UMNO sendiri sudah mula mengakui kelemahan dan kesilapan yang dilakukan. Segala kebobrokan dahulu perlu diteladani supaya ia tidak berulang kembali.

Kesilapan UMNO dan rakan komponen dalam BN perlu dipelajari dan dijadikan sempadan. UMNO terutamanya kini telah sedar kesilapan mengabai kerjasama dengan Pas sejak sekian lama.

Ini hakikat yang perlu diambil pengajaran kerana jika kesepaduan ini kekal sejak tahun 70-an atau 50-an, tidak mustahil kedudukan orang Melayu lebih baik dalam pelbagai sudut.

Realistik

Walaupun sudah mula belajar dari kesilapan mengabai perpaduan Melayu sejak sekian lama namun masih belum terlambat, better late then never.

Alangkah indah jika perpaduan sebegini telah disepadukan dari dahulu kerana ia kunci kehidupan lebih makmur dan sejahtera.

Begitu juga penyatuan dengan MCA dan MIC, yang juga punca kekuatan BN selama ini. Tidak bolehlah MCA dan MIC diabaikan kerana mereka telah menjadi tulang belakang BN sejak sebelum merdeka, walaupun ada yang berkata mereka ini tidak berapa menyumbang sejak beberapa PRU lepas.

Janganlah bersikap seperti habis madu sepah dibuang, atau bahasa kasarnya. Sikap sebegini bukan kelaku UMNO dan rakan-rakan dalam komponen yang masih setia. Walaupun kerjasama UMNO dan Pas kini semakin dominan tetapi ia tidak bermakna kaum-kaum lain akan dipinggirkan malah jauh sekali dilayan seperti musuh.

Perpaduan Melayu melalui UMNO dan Pas kini diperkukuhkan dengan kerjasama lebih realistik dan progresif dengan MIC dan MCA. Tiada sesiapa boleh menafikan politik berasaskan kaum dan agama masih penting di Malaysia.

Tidak perlu bersikap hipokrit dan bermuka-muka wenafikan ia sesuatu yang hodoh dan tiada makna. Ini kerana sama ada BN mahupun PH masih tetap mengamalkan sikap sama dalam tindak tanduk politik mereka.

Namun sayangnya pakatan dalam BN lebih kukuh dan jujur berbanding PH kerana semangat setiakawan yang erat sesama mereka.

Walaupun PH kini adalah kerajaan tetapi dalam banyak tindak tanduk antara komponen adakalanya dilihat terlalu dicurigai.

Mungkin kerajaan Malaysia Baharu perlu lebih jujur sesama sendiri kerana itu jugalah peluru yang sentiasa digunakan BN sebagai modal politik mereka. Maka belajarlah untuk menjadi lebih jujur dan setia.