Ini suatu perkembangan politik yang cukup menarik dan positif dalam landskap politik negara bagi merealisasikan suara, harapan, kehendak dan kemahuan suku kaum orang Asli di peringkat Parlimen serta proses pembangunan negara.

Tidak dapat dinafikan nasib dan masa depan orang Asli di negara ini kurang mendapat tumpuan, perhatian dan pembelaan yang sewajarnya. Pemimpin politik hanya memandang mereka ketika musim pilihan raya di mana suku kaum itu turut memiliki ‘kuasa penentu’ di beberapa kawasan Parlimen di negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Perlu diingatkan, setiap undi menjadi kuasa penentu tanpa mengira agama, bangsa dan suku kaum tertentu walaupun kempen bersifat politik perkauman dan kebencian sudah semakin menular secara agresif sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ya, trend ini semakin merisaukan, membimbangkan dan boleh mengancam proses perpaduan kaum di negara ini. Isu seperti ini kerap kali ‘berleluasa’ ketika musim pilihan raya. Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, mulalah permainan politik ‘tuding jari’ di antara parti politik untuk menutup ‘kelemahan’ masing-masing.

Pemimpin politik mahupun dari parti pemerintah ataupun pembangkang seharusnya bekerjasama antara satu sama lain sekiranya mahu membentuk proses politik yang matang dan berkarisma.

Lebih dari itu, nilai-nilai politik yang bersifat progresif dan dinamik perlu diutamakan demi menjamin harapan rakyat khususnya generasi akan datang. Pemimpin politik datang dan pergi, menukar parti, lompat sana-sini tetapi kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran dalam negara perlu dipertahankan.

DESPERADO

Pemimpin dan parti politik menggunakan nama rakyat untuk meraih undi kerana mahu menang bagi mendapatkan kuasa tapi janganlah sampai terlalu ghairah dan ‘desperado’ menggunakan soal agama dan bangsa untuk meraih undi.

Kepimpinan tertinggi parti politik perlu bertindak dan mengambil langkah yang ‘berbisa’ sekiranya wujud gejala seperti itu dalam parti masing-masing.

Bersihkan rumahtangga sendiri sebelum menuding jari terhadap pihak lain. Pembaharuan seperti inilah yang dituntut dalam era Malaysia Baharu. Bukannya kenyataan yang bersifat rasis seperti ‘orang Melayu tak beli kuih dari Orang Asli’.

PEMBACAAN POLITIK

Keputusan PRK Cameron Highlands turut menunjukkan beberapa elemen ‘pembacaan politik’ yang menarik khususnya kemenangan BN mempertahankan Parlimen itu dengan majoriti lima kali ganda lebih besar jika dibandingkan keputusan PRU-13 dan 14.

Ini merupakan satu petunjuk yang cukup signifikan untuk BN sendiri yang sedang melalui satu ‘dilema politik’ yang kritikal serta berada dalam keadaan kelam-kabut selepas hilang kuasa.

Ada juga pemimpin yang ‘menikam dari belakang’, bersuara tinggi dan lantang selepas BN kalah. Malah MCA pula menuntut BN dibubarkan. BN kini hanya diwakili tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Ramai juga menjangka nasib BN di Cameron Highlands agak ‘terumbang-ambing’. Malah ada juga analisis mengatakan PH melalui calon DAP mempunyai peluang cerah untuk merampas kerusi Parlimen itu yang diwujudkan sejak tahun 2003 kerana kerajaan pusat sudah pun ‘dikuasai’ .

DAP TERLALU YAKIN

Malah pemimpin DAP pula bertindak dan berfikiran terlalu drastik mahu menggunakan kemenangan di Cameron Highlands sebagai langkah pertama untuk menawan Pahang dalam PRU yang akan datang.

M. Manaogaran yang tersungkur di PRU ke-12 dan 13 sekali lagi diturunkan sebagai calon . DAP terlalu yakin bahawa calonnya dapat membuat kejutan berdasarkan kemenangan tipis BN di kawasan Parlimen itu dalam PRU-13 dan 14.

BN TENANG

BN pula nampak lebih tenang dan berhati-hati dalam soal pemilihan calon. Malah BN amat fokus dalam soal perancangan politik yang lebih terurus dan terancang termasuk di media sosial.

Pada PRK Cameron Highlands, BN dilihat bergerak sebagai gabungan pakatan yang efisien buat kali pertama berbanding empat PRK sebelum ini melalui sokongan anggota komponennya termasuk rakan politiknya Pas.

MIC pula terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan masa depannya walaupun parti itu bertanding di kerusi itu sejak PRU 2004 sebagai tradisi dan memiliki rekod ‘tanpa kalah’. MIC menerima tamparan yang kuat daripada kalangan masyarakat India khususnya di media sosial kerana ‘melepaskan’ kerusi itu di mana wujud tuduhan kononnya parti itu ‘tunduk’ kepada desakan UMNO.

Persoalannya, mampukah MIC mempertahankan kemenangannya jika calonnya dipilih mewakili BN? Sudah tentu faktor calon menjadi penentu. Kebenaran yang tidak dapat dinafikan, MIC belum bangkit lagi selepas PRU-14. Segala proses kebangkitan hanyalah ‘di atas kertas’ sahaja.

TERPERANGKAP

Sudah pasti BN sudah menilai, membaca dan merungkai senario politik Cameron Highlands sebelum membuat keputusan itu. Keputusan BN meletakkan calon dari suku Orang Asli tanpa mewakili mana-mana parti politik - direct candidate - merupakan satu strategi politik yang mantap seiring dengan perubahan politik semasa. Jelas sekali PH ‘terperangkap’ dengan keputusan tersebut.

Perlu diingatkan, fenomena politik di Cameron Highlands yang merangkumi dua Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Jelai dan Tanah Rata amat berbeza. Jelai dikuasai BN melalui calon UMNO sejak 2004 manakala DUN Tanah Rata sudah menjadi kubu kuat DAP sejak PRU-13.

DUN Tanah Rata pernah mencatatkan ‘kejutan politik’ pada PRU-12 2008 di mana calonnya, Ho Yip Kap bertanding sebagai calon bebas selepas dipecat daripada MCA. Beliau menang dengan majoriti 575 undi ketika itu menewaskan calon BN dan DAP. Selepas beliau menyertai Gerakan pada 2010, kerusi itu sering menjadi pertikaian antara MCA dan Gerakan. DAP berjaya menawan kerusi itu dalam PRU-13.

DUN Jelai masih lagi menjadi kubu kuat BN manakala DUN Tanah Rata masih sukar ditembusi BN khususnya dalam meraih sokongan pengundi dari kaum Cina dan India.

Malah di PRK Cameron Highlands, BN dilaporkan berjaya menguasai undi orang Melayu dan juga Orang Asli. Cuma BN masih lagi gagal meraih sokongan kaum Cina dan India manakala PH pula masih mencari-cari formula terbaik untuk meraih sokongan pengundi Melayu walaupun mendapat sokongan yang kuat dari kaum Cina dan India.

Bagaimanapun pendekatan kempen PH juga masih menggunakan ‘mentaliti’ pembangkang. Rakyat sudah bosan dan naik muak.

SINDROM PENAFIAN

Bagi BN dan parti komponennya pula, keluarlah dari sindrom penafian dan ‘syok sendiri’ . Cerita-cerita seperti kawasan tradisi, kawasan selamat serta hak kerusi sudah tidak terpakai lagi. Pemimpin BN dan partinya perlu membina semua gabungan tersebut melalui satu pendekatan politik yang realistik.

Sekiranya mahu buktikan BN masih relevan dalam kancah politik negara, ayuh buktikanlah! Ketepikan ego, berfikir secara rasional. Ingatlah, kebangkitan semula BN hanya ‘dapat dinilai’ selepas gabungan itu dapat ‘merampas’ kembali mana-mana kerusi yang dimenangi PH dalam PRU-14 serta pendekatan politik menambat hati rakyat.

Perjuangan belum selesai dan tiada lagi istilah dulu, kini dan selamanya! Peringatan ini sesuai untuk semua parti politik.

DATUK ANBUMANI BALAN ialah penganalisis politik dan perunding media.