Deadpool

Filem terbitan 20th Century Fox’s lakonan aktor Ryan Reynolds itu dilaporkan telah mencatat kutipan AS$492 juta iaitu lebih RM2 bilion di seluruh dunia, mengatasi kutipan filem X-Men: Days of Future Past’s dalam tempoh hanya 10 hari.

Filem adaptasi komik Marvel itu diramalkan bakal merampas takhta filem kategori ‘R’ paling laris di dunia daripada The Matrix Reloaded yang mengumpul AS$742.1 juta pada 2003.

Ya, betul! Filem Deadpool diletakkan di bawah kategori ‘R’, atau di Malaysia diklasifikasikan ‘18’ iaitu hanya untuk tontonan orang dewasa 18 tahun ke atas, kerana bahasa kasar, lucah dan sama sekali tidak sopan, yang digunakan.

Berbanding filem semangat Ola Bola! yang sepatutnya ditonton oleh semua rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang, tidak semua yang layak dan sesuai menonton Deadpool apatah lagi kanak-kanak.

Memandangkan filem ini diklasifikasikan ganas, berunsur seksual dan hanya untuk dewasa, sudah pasti Deadpool bukan untuk tontonan sekeluarga.

Justeru baru-baru ini apabila melihat ada ibu bapa yang ‘menyeludup’ anak bawah umur menonton filem kategori ‘18’ ini, penulis jadi terpinga dan tertanya-tanya ke mana perginya pertimbangan mereka?

Hendak dikatakan tidak tahu, di kaunter tiket tertera peringatan. Petugas di kaunter tiket pun lazimnya akan mengingatkan yang filem hendak ditonton itu tidak sesuai untuk kanak-kanak dan akan bertanya, “adakah kanak-kanak dibawa bersama?”

Persoalannya, apa jawapan kita sebagai orang dewasa, apatah lagi ibu bapa yang sepatutnya ‘berfikir’ untuk anak kita? Mungkinkah pasangan yang ‘menyeludup’ anak kecilnya tidak kisah akan kesan membiarkan kanak-kanak itu menonton bersama filem untuk orang dewasa? Mungkin juga mereka tidak kisah anak itu mendengar dialog tidak sopan dan melihat aksi tembak-menembak hingga pecah kepala.

Baru-baru ini kecoh di akhbar apabila ada pihak mempertikaikan peranan Lembaga Penapis Filem (LPF) ‘melepaskan’ filem ini untuk tayangan di dalam negara kita. Respon LPF - sebab itulah filem ini diklasifikasikan sebagai ‘18’ iaitu ‘R’ jika di Amerika.

Bagi LPF, dia sudah menjalankan tugasnya. LPF tidak ada kuasa ‘menangkap’ sesiapa yang melanggar peraturan ‘18’ itu.

Pihak panggung wayang pula mungkin ada sedikit kuasa untuk menghalang penonton bawah umur daripada melepasi pintu masuk, namun bagaimana jika ibu bapa sendiri yang ‘menyeludup’ anak mereka, di bawah selimut mi­salnya?

Isu ini kecil sahaja bunyinya namun berkait rapat de­ngan banyak perkara termasuk tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan orang dewasa yang sepatutnya menjadi role model kepada anak-anak, khususnya dalam zaman digital yang serba mencabar. Di kala pengaruh budaya kuning dan ancaman keganasan berleluasa dalam Internet dan media sosial, wajarkah kita sebagai ibu bapa menyumbang sama menjerumuskan anak kita ke arah itu?

Pada masa sama, insiden kecil ini juga menyerlahlah sikap rakyat Malaysia yang memandang remeh peraturan dan undang-undang.

Peraturan lazimnya diperkenalkan untuk kebaikan. Tidak kiralah sama ada ditujukan kepada individu, kelompok atau organisasi, tidak mungkin sama sekali pihak yang membuat peraturan itu saja-saja merangkanya tanpa alasan, atau memperkenalkannya untuk tujuan memudaratkan.

Walaupun mungkin peraturan tersebut hanya memberi manfaat kepada kumpulan kecil, pokoknya ia tetap dibuat untuk kebaikan pihak yang disasarkan. Sebab itu logiknya, peraturan perlu dipatuhi.

Peraturan sekolah, kolej dan universiti misalnya dilaksanakan bagi menjamin disiplin murid, pelajar dan mahasiswa. Peraturan pejabat, kilang atau mana-mana premis pekerjaan pula diperkenalkan bagi menjamin produktiviti dan mengelak pembaziran. Manakala, peraturan jalan raya atau lalu lintas sudah pasti dikuatkuasakan bagi mengelak kemalangan.

Pendek kata, ada sebab-musabab kenapa sesuatu peraturan itu dibuat, diperkenalkan dan dilaksanakan. Daripada yang formal, wajib, bersalah dan berdosa jika tidak dipatuhi sehinggalah kepada yang tidak rasmi, yang menjadi amalan kerana adat, budaya, fahaman atau ikutan.

Yang pasti, sebagai manusia, kita hidup dengan peraturan. Sebagai warganegara yang baik, menjadi tanggungjawab kita untuk mematuhi peraturan formal yang termaktub di bawah undang-undang.

Jika tidak, bersedialah menerima implikasi sama ada diberi amaran, dikenakan kompaun, disaman mahupun didakwa di mahkamah, sekiranya ‘tertangkap’ melanggar peraturan itu. Bagi peraturan yang dibuat tanpa penguatkuasaan, di sinilah letaknya ‘ujian akal’ untuk kita menimbang sendiri buruk baik mematuhi peraturan, walaupun tidak ada pe­nguat kuasa atau sesiapa yang melihat.

Walau minat sekali pun dengan Ryan Reynolds, sebagai ibu bapa sepatutnya kita mampu berfikir lebih matang daripada remaja bawah 18 tahun.

Lagipun bukan susah sangat hendak memilih yang mana satu di antara Deadpool dan Ola Bola! yang lebih sesuai ditonton bersama keluarga.