Saya agak terkejut dengan soalan ini kerana pada pendapat saya sebarang usaha untuk me­ningkatkan penguasaan apa jua bahasa perlu disokong kerana ia sudah pastinya memberikan ba­nyak kelebihan.

Namun apabila saya membaca pendapat yang diutarakan di dada-dada akhbar, jelas kelihatan kebimbangan sebenar menjurus kepada nasib bahasa Malaysia yang juga adalah bahasa kebangsaan. Amat malang sekali kedudukan bahasa kebangsaan masih menjadi isu yang hangat diperdebatkan sedangkan kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-61 tidak lama lagi.

Sepatutnya setiap rakyat Malaysia menghormati bahasa kebangsaan kerana ia adalah alat penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak sekian lama. Setiap kita tidak mempunyai pilihan selain menguasai bahasa Malaysia dengan baik dan boleh memahami serta membaca dan menulis dengan lancar.

Jika penguasaan bahasa Malaysia kita amat baik, sudah tentu usaha untuk mempelajari bahasa lain tidak akan menjejaskan bahasa kebangsaan yang adalah sebahagian daripada jati diri kita sebagai anak Malaysia.

Contoh paling baik ialah Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman yang mampu bertutur de­ngan baik dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dan Perancis selain mempunyai pe­ngetahuan asas bahasa Mandarin, Tamil, Hindi, Sepanyol, Itali, Portugis, Greek dan Jepun.

Namun ini tidak langsung mengubah jati diri beliau sebagai rakyat Malaysia kerana mampu menguasai bahasa Kebangsaan dengan cemerlang sehingga menjadi pembaca berita yang amat dikenali serta ikon pengacaraan negara.

Kita juga ada ramai lagi tokoh daripada pelbagai kumpulan etnik yang mempunyai tahap pe­nguasaan bahasa Malaysia yang amat cemerlang sehingga mampu berbicara, berpidato atau berdebat dengan baik sekali. Mereka ini termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang amat petah berbahas dalam bahasa kebangsaan yang teratur dan menepati laras bahasa.

Sebenarnya semua ini datang dari dalam diri kita sendiri. Jika ada kemahuan sudah pasti ada jalan. Pembelajaran bahasa ini bersifat berterusan dan tidak akan ada titik noktah.

Saya sendiri sentiasa belajar untuk memperbaiki bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris selaras dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Setiap hari saya akan mencatatkan perkataan yang pertama kali saya terbaca dan mencari makna serta cara ia digunakan di dalam ayat.

Mungkin cara saya amat ­ketinggalan zaman namun ini terbukti mampu menambah perbendaharaan kata dan membolehkan saya mempelbagaikan penggunaan perkataan dan ayat dalam penulisan dan ucapan harian.

Pada pendapat saya, penguasaan bahasa Malaysia ini perlu ditekankan di peringkat sekolah terutamanya di sekolah-sekolah jenis kebangsaan agar para pelajar mampu berkomunikasi de­ngan baik sama ada secara lisan atau melalui penulisan.

Apa yang sepatutnya kita sama-sama perangi adalah penggunaan ‘bahasa rojak’ yang semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan generasi muda. Lebih membimbangkan, bahasa rojak ini juga menjadi hidangan harian kerana ia turut digunakan dalam banyak rancangan televisyen, radio dan filem.

Pengalaman saya berkomunikasi dengan anak-anak muda kadangkala amat memeningkan apabila mereka sering mencampur-adukkan bahasa Malaysia dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Adakalanya mesej yang dihantar langsung tidak difahami kerana mereka turut menggunakan ejaan ringkas atau ciptaan mereka sendiri.

Sebagai contoh, saya terpinga-pinga apabila menerima mesej sebegini - “Blh TS cmt the latest isu psl AG rpt x?” Apa yang menakjubkan pembantu saya yang masih muda mampu mentafsir mesej tersebut walaupun pada pandangan saya ia kelihatan ­seperti kod bahasa rahsia!

Saya percaya isu bahasa rojak ini amat penting dan perlu dita­ngani dengan kerjasama semua pihak. Tidak dapat saya bayangkan dugaan yang dihadapi golo­ngan guru yang perlu berhadapan dengan masalah ini kerana pastinya ada di antara pelajar yang terbawa-bawa dengan gaya percakapan dan penulisan bahasa rojak ini ke sekolah termasuk ketika menjawab kertas peperiksaan.

Dalam hal ini saya amat bersetuju jika kita mengambil langkah tegas kerana masalah ini bukan sahaja mampu merosakkan bahasa kebangsaan tetapi bakal menyebabkan generasi akan datang hilang kemahiran berbahasa dengan betul.

Mereka yang memperjuangkan bahasa Malaysia seharusnya melihat isu ini dengan serius dan mencari jalan untuk mena­ngani penggunaan bahasa rojak yang semakin berleluasa dewasa ini. Antara langkah yang boleh diambil termasuk mengadakan kempen penggunaan bahasa kebangsaan yang betul serta melarang penggunaan bahasa rojak di dalam rancangan televisyen, radio dan filem.

Pihak sekolah juga perlu menekankan penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain agar pelajar mampu berbicara sepenuhnya dalam bahasa yang dipilih dan tidak mencampur-adukkannya. Penggunaan bahasa yang betul juga perlu digalakkan dalam media sosial walaupun mungkin ada pihak yang akan mendakwa ia adalah sesuatu yang amat janggal.

Saya amat bimbang jika tiada langkah konkrit diambil untuk menangani isu bahasa rojak ini, ia akan menjadi suatu kebiasaan dan berkemungkinan bertukar sebagai bahasa utama untuk rakyat Malaysia berkomunikasi di masa hadapan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.