Semua orang tahu segala-galanya kerana UMNO sudah tidak ada lagi kuasa. Itu sahaja sebabnya, tidak payahlah mencipta alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan untuk keluar parti. Penulis bersetuju dengan pandangan bahawa di peringkat kepemimpinan parti belum nampak agenda jelas bagaimana mahu bangkit semula selepas tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi itu bukanlah bermakna ia harus dijadikan alasan untuk meninggalkan parti.

Kalau mahu dikira tersungkur dalam pilihan raya, rasanya sudah lama parti-parti seperti PKR, Pas dan DAP ‘berkubur’. Tetapi tiada pemimpin kanan parti tersebut yang membuat keputusan meninggalkan parti apatah lagi berasa janggal dengan corak perjuangan parti mereka.

Mereka sentiasa istiqamah dalam perjuangan dan memburu kemenangan dalam pilihan raya. Mereka tidak melakukan tindakan yang boleh mengakibatkan ‘kecederaan’ yang dialami parti bertambah parah. ‘Luka’ akibat kekalahan dalam pilihan raya dijadikan ‘parut’ pencetus semangat untuk bangkit semula.

Tetapi malangnya hanya sekali kalah dalam pilihan raya dan buat pertama kalinya kehilangan kuasa selepas 60 tahun memerintah, sudah ada pemimpin UMNO yang terhakis jati diri biarpun selama ini berpuluh-puluh tahun menikmati pelbagai kesenangan ketika UMNO berkuasa.

Sebab itulah ujian sebenar sebuah kesetiaan ialah ketika sesebuah parti tidak lagi berkuasa bukannya ketika senang. Oleh itu tidak perlulah memberi alasan apabila membuat keputusan mahu meninggalkan parti, kalau mahu keluar, silakan sahaja. Biarlah UMNO meneruskan perjuangan dengan mereka yang mempunyai semangat pejuang sebenar bukannya sekadar mahu meraih kedudukan ketika parti berkuasa.

Memang benar kuasa adalah penting dalam perjuangan politik tetapi lihatlah apakah semangat perjuangan pemimpin dan ahli parti seperti PKR, DAP dan Pas luntur ketika mereka tidak menjadi kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri dahulu?

Penulis mengakui UMNO banyak kelemahan dan apa yang dialami ketika PRU-14 adalah sesuatu memeritkan, tetapi UMNO bukan parti picisan dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan untuk bangkit semula. Kalaulah UMNO sudah rosak kenapakah pemimpin-pemimpin parti itu yang bergelar Ahli Parlimen menjadi ‘buruan’ parti-parti tertentu bagi mengukuhkan kuasa politik mereka. Jika istilah ‘rosak’ mahu diambil kira, bukankah mereka menjadi wakil rakyat melalui sebuah parti yang dianggap ‘rosak’?

Jika benar berasa apa yang dilakukan parti sekarang sudah tidak sesuai dengan prinsip politik mereka, adalah lebih baik demi keadilan kepada pengundi yang memilih mereka dan mempraktikkan politik bermoral, mana-mana ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan UMNO harus meletakkan jawatan dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat. Ia memandangkan mereka berada dalam kedudukan tersebut disebabkan rakyat memilih mereka berdasarkan kepada parti. Namun kita percaya mereka tidak akan melakukan tindakan tersebut.

Bagaimanapun sementara kita ‘menonton drama politik’ yang membosankan itu, barisan kepemimpinan UMNO sendiri perlu ada kesedaran dan iltizam untuk melakukan sesuatu bagi mengukuhkan kembali UMNO.

Perlu diingat apabila ada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri sudah meninggalkan parti tersebut, ia bermakna ancaman untuk ‘melumpuhkan’ UMNO bukan sahaja dari luar tetapi juga dalaman. Dan penulis percaya masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO tidak kira di peringkat apapun sedang berkira-kira untuk meninggalkan perjuangan parti induk orang Melayu itu.

Mereka sedang mencari alasan termasuklah kononnya ‘tidak selesa’ dengan tindakan UMNO menjalin kerjasama dengan Pas. Selain itu kata mereka, perjuangan UMNO yang berteraskan Melayu sudah tidak relevan dengan politik semasa. Semua itu hanyalah alasan. Kalau mahu dikira tidak relevan, kajilah ke manakah sokongan pengundi bukan Melayu dalam PRU-14, apakah benar-benar mencerminkan sebuah politik majmuk?

Jika itu ukurannya kenapakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak memperoleh kerusi melebihi DAP? Kenapakah mereka tidak diletakkan di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu seperti mana UMNO membenarkan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu?

Kesimpulannya, memang benar barisan kepemimpinan UMNO perlu melakukan sesuatu. Jangan duduk diam sahaja seolah-olah tiada lagi suara untuk memperjuangkan nasib rakyat dan sudah ‘putus akal’ untuk menyusun kembali kebangkitan UMNO.

Maruah parti besar seperti UMNO tidak tercabar atau tercalar kerana bekerjasama dengan Pas, tetapi UMNO akan menjadi parti tidak bermaruah jika gagal melaksanakan mandat orang Melayu yang meletakkan UMNO menjadi parti pembangkang terkuat di Dewan Rakyat dan menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata mahu memburu sokongan kaum lain yang sebelum ini sudah terbukti tetap menolak UMNO biarpun menikmati pelbagai kesenangan ketika UMNO menjadi tonggak dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN).