Seorang kawan saya pula memuat naik status dalam akaun laman sosialnya - Selagi kita bernafas, selagi itu peluang tetap ada. Jangan pernah mengalah. Dan macam-macam lagilah kita boleh baca setiap kali melayari Facebook, Instagram atau Twitter.

Betul, adakalanya hati kita akan cepat ‘tertangkap’ dan terpesona dengan kata-kata motivasi tidak kiralah yang menyebutnya adalah seorang pakar motivasi atau kata-kata yang dipetik daripada seseorang yang terkenal atau kawan-kawan kita sendiri yang cuba memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada orang lain di laman-laman sosial.

Kadang-kadang kita terfikir bagaimana mereka dapat ­menulis kata-kata motivasi yang baik-baik dan indah-indah itu? Pandai mengatur kata-kata positif dan tidak pernah kita nampak ada aura negatifnya dalam setiap kata-katanya itu. Tetapi berapa ramai juga yang memberi motivasi dan nasihat itu sebenarnya, betul-betul melakukan apa yang diperkatakan itu. Ini pun menjadi satu persoalan juga.

Sebabnya, kita sering memerhatikan tidak semua yang memberi kata-kata semangat, perangsang, nasihat dan sebagainya itu, membuat apa yang dikatakan. Bila ­menghadapi sedikit masalah, habis semua aura positif­nya lari entah ke mana. Kita pun kadang-kadang boleh terkejut dengan perubahan sikapnya.

Namun, itu bukan isu yang mahu saya katakan di sini. Kadang-kadang kita cuma mahu mengambil semangat daripada orang yang terkenal atau lebih baik daripada kedudukan kita. Sedangkan ramai di sekitar kita adalah seorang pejuang. Berjuang untuk terus hidup.

Seorang sahabat saya, Mazlinda Mohd. Nor menghidap kanser payu dara tahap empat. Saya mengikuti setiap perkembangannya dalam laman sosial dari mula doktor mengesahkan dia menghidap penyakit itu, membuang kedua-dua belah payu daranya, berjaya melalui kesemua siri kemoterapi dan sehingga sekarang dia melakukan pembedahan sekali lagi apabila sel-sel kanser itu merebak ke tempat lain.

Ternyata wanita yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil itu begitu tabah. Dia tetap pergi ke pejabat bekerja seperti biasa di Kumpulan Karangkraf, menjalankan kerja-kerjanya sebagai seorang pengarang. Bekerja mungkin lebih kuat dan rajin daripada orang yang sihat. Wajahnya sentiasa terukir senyuman dan selalu ketawa. Tidak sesekali pun dia mengalah dan mengeluh dalam melawan penyakitnya itu.

Ya, dia tidak perlu menulis kata-kata motivasi yang indah-indah. Ketabahannya sahaja membuatkan semua orang mahu menjadi kuat sepertinya. Mari kita mendoakan agar dia cepat sembuh dan menjadi sihat se­perti ­sediakala untuk anak-anaknya.

Tetapi adakalanya sesetengah daripada kita, ketika didatangkan ujian yang sedikit pun, sudah gelabah dan ­me­ngalah. Mengadu itu ini dan sindir-menyindir di laman sosial. Sedangkan orang lain diberikan ujian yang berat-berat dan mereka melaluinya dengan tabah kerana ketabahan itu saja pilihan yang ada.

Seorang rakan saya memberitahu, melihat seorang anak kecil yang baru berjalan jatuh, itu saja membuatkan diri­nya seolah-olah sudah mendapat satu motivasi dalam diri.

Katanya, cuba lihat anak kecil yang baru hendak belajar berjalan. Dia tetap bangun bila terjatuh dan cuba ­berjalan semula. Apatah lagi ketika ibu bapa ­memandangnya, dia akan bangun dan berjalan untuk membuatkan ibu ­bapanya gembira dan bangga dengan keupayaannya.

Sebenarnya, sedar atau tidak di sekeliling kita ini penuh dengan pejuang. Mereka tidak perlu bercerita tentang kepayahan dan kesusahan yang dihadapi kepada semua orang atau menjadi ‘pakar’ motivasi bercerita bagai­mana tabah dan kuatnya mereka. Memang betul, menjadi inspirasi kepada orang lain adalah lebih baik tetapi lebih baik lagi kalau kita memahami kesusahan orang lain dan mengambil iktibar atau belajar daripadanya.