Cuma operasi ketenteraan bagi menghapuskan dan menghalau keluar penduduk Islam Rohingya yang dilakukan sejak 25 Ogos lalu adalah dalam skala besar sehingga tidak dapat disembunyikan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ), dalam tempoh dua minggu sahaja, sekurang-kurangnya 270,000 orang Rohingya sudah melarikan diri dari Myanmar.

Bagi mengetahui secara lebih dekat apa yang berlaku di Myanmar sekarang, ikuti temubual wartawan Mingguan Malaysia AMI ZUL TUNI ZAR AHM AD TERMI ZI dengan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia
(Mehrom), ZAFAR AHM AD ABDUL GH ANI manakala MOHD . RAFIE AZIMI mewawancara Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah, Yusof Ali.

MINGGUAN: Boleh saudara berkongsi tentang situasi terkini di Rakhine?

ZAFAR: Sebenarnya sejak tahun 2012 sampai hari ini, penduduk Rohingya tidak pernah selamat tinggal di Myanmar. Pada tahun ini, dari 25 Ogos lalu hingga sekarang, kira-kira 160,000 orang Rohingya sama ada kanak-kanak, wanita, orang dewasa dan orang tua telah dibunuh.

Di tiga bandar di Rakhine iaitu Buthidaung, Maungdaw dan Rathedaung, lebih 35 buah kampung orang Rohingya telah dibakar. Beribu-ribu rumah musnah. Orang perempuan dirogol dan disembelih. Kanak-kanak dan orang dewasa pun dibunuh.

Tentera Myanmar merogol wanita Rohingya di dalam masjid. Mereka kata, siapa boleh ambil tindakan terhadap Myanmar? Tentera Myanmar juga membakar orang Rohingya hidup-hidup dalam satu lubang besar.

Saya difahamkan bahawa tentera Myanmar memanggil ketua-ketua kampung Rohingya dari Buthidaung, Maungdaw, Rathedaung dan mengarahkan mereka membakar rumah orang Rohingya. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, tentera akan membakar rumah orang Rohingya.

Tentera Myanmar juga memaksa ketua kampung orang Rohingya mengaku bahawa mereka yang membakar rumah dan membunuh orang Rohingya. Ini dibuat bagi menyembunyikan kezaliman kerajaan Myanmar.

Apabila ketua-ketua kampung itu tidak mahu berbuat demikian, tentera Myanmar meminta orang Buddha dan Hindu menyamar dengan memakai pakaian seperti orang Islam dan membakar rumah orang Rohingya. Mereka mahu membakar semua rumah dan merampas harta benda kami.

Orang Rohingya di Raknine sekarang tidak selamat. Dalam tempoh seminggu ini, lebih 90,000 orang sudah melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

 

Kenapakah orang Rohingya menjadi mangsa penindasan?

ZAFAR: Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf penduduk Rohingya kerana Rakhine merupakan sebuah negeri kaya sumber asli. Di situ banyak gas dan petroleum. Kayu-kayan di situ juga berkualiti dan berharga tinggi.

Tanaman padi juga ada di situ. Dahulu Rakhine maju dan banyak pelaburan. Orang Rohingya banyak terlibat dalam perniagaan besar. Mereka mahu membunuh orang Rohingya dan merampas harta kami.

Baru-baru ini, Kaunselor Myanmar yang juga ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi mendakwa masyarakat antarabangsa mendapat maklumat salah tentang situasi di Rakhine, pandangan saudara?

ZAFAR: Sampai sekarang Suu Kyi mengatakan orang Rohingya dan Bengali Muslim tidak ada di Myanmar. Minggu lepas, Suu Kyi dan pemimpin tentera mengadakan sidang akhbar. Dalam sidang akhbar itu, beliau mengatakan semua ketua etnik perlu ada tanggungjawab menjaga amanah. Suu Kyi tak cakap hendak selamatkan bangsa Rohingya.

Bagi saya, Suu Kyi dan kerajaan Myanmar adalah pengganas yang membunuh orang Rohingya. Suu Kyi dan ketua sami adalah pengganas. Mereka terlibat dalam penghapusan etnik. Orang luar tidak boleh mengharap dan mempercayai Suu Kyi untuk membela bangsa Rohingya.

Kerajaan Myanmar mendakwa etnik Rohingya pelarian dari Bangladesh dan tidak menerima kewujudan mereka di negara itu. Komen saudara?

ZAFAR: Kami bukan orang Bangladesh dan tidak datang dari luar negara. Kami adalah penduduk asal Rakhine yang dahulu dinamakan sebagai Arakan. Kerajaan Islam Arakan sudah lama wujud sebelum penubuhan Myanmar. Bangsa Rohingya adalah penduduk asal di Rakhine.

Sampai sekarang, tidak ada orang luar yang masuk jadi bangsa Rohingya di Rakhine. Yang ada cuma orang Rohingya yang keluar dari Rakhine. Dahulu orang Rohingya adalah penduduk majoriti di Rakhine. Sekurang-kurangnya 39 operasi ketenteraan dilakukan terhadap penduduk Rohingya di Rakhine sehingga kita menjadi bangsa minoriti di situ.

Kami dinafikan kerakyatan dan segala hak sebagai rakyat Myanmar termasuk tiada bekalan makanan dan air bersih. Sekiranya penindasan terhadap bangsa Rohingya tidak dihentikan, orang Rohingya mungkin pupus dari bumi Myanmar.

Penindasan ke atas bangsa Rohingya sudah lama berlarutan tanpa pembelaan. Bagaimana saudara melihat kesudahannya?

ZAFAR: Orang Rohingya sudah lama memperjuangkan hak mereka. Kami sudah letih. Mehrom juga sudah letih. Saya pun sudah letih hendak buat sidang akhbar. Sehingga sekarang, orang Rohingya sendiri yang berjuang mempertahankan bangsa mereka daripada kekejaman kerajaan Myanmar.

Kalau dunia terus buat tidak peduli dan gagal menyelesaikan isu ini, jangan salahkan orang Rohingya sekiranya kumpulan militan al-Qaeda atau Daesh masuk membantu orang Rohingya. Kami sudah lama beri masa kepada dunia untuk menyelesaikan isu ini.

Jika itu berlaku, kalau militan sudah masuk, jangan cakap orang Rohingya pengganas kerana kami sudah penat. Kalau militan luar masuk ke sini, Myanmar sudah lama habis. Sekiranya dunia tidak mahu berbuat sesuatu, orang Rohingya akan menjadi militan.

Orang Rohingya dari luar pun akan masuk berjuang ke Myanmar bagi membela nasib saudara-mara mereka. Sekarang bangsa Rohingya cuma meminta hak kerakyatan dan hak-hak lain sebagai rakyat dan warganegara. Kalau kerajaan Myanmar tidak boleh beri, kami akan berjuang untuk menuntut kemerdekaan dan menubuhkan negara Islam. Kami akan berjuang sehingga berjaya.

Saya tidak takut kalau orang hendak bunuh saya. Apa gunanya saya seorang hidup di Malaysia kalau ratusan ribu bangsa saya dibunuh di Rakhine? Kamu boleh tulis semua yang saya sebut ini.


MINGGUAN: Boleh ceritakan latar belakang bangsa saudara?

YUSUF: Bersandarkan sejarah, kami merupakan bangsa yang berjaya dan berpegang kuat kepada agama. Kami bukan bangsa miskin dan melarat seperti apa yang anda lihat hari ini kerana bangsa Rohingya sememangnya dikenali sebagai bangsa yang bijak berniaga selain cekap bertani.

Boleh dikatakan hampir setiap rumah mempunyai tanah bendang sendiri yang menjadi sumber pendapatan utama kami.

Jadi bagaimana bangsa anda boleh ‘jatuh’ hingga ke tahap sekarang?

YUSUF: Kerana kami dihapuskan secara ‘sistematik’. Para pemimpin dan orang bijak pandai dalam kalangan kami dibunuh manakala anak-anak tidak dibenarkan mendalami ilmu sehingga ke peringkat tertinggi sejak lama dahulu. Jadi apa yang berlaku kepada kami hari ini?

Kami jadi manusia yang tidak berilmu dan tidak mempunyai pemimpin. Kami mempunyai bahasa sendiri tetapi kebanyakan kami tidak tahu menulis dalam bahasa itu malah tidak mampu untuk menulis nama sendiri pun.

Saya berani katakan, kebanyakan kami di Malaysia lebih cekap menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berbanding menulis dalam bahasa Rohingya sedangkan kami bertutur dalam bahasa itu sejak kecil. Ada yang persoalkan kenapa kami tidak melawan seperti kaum minoriti lain yang turut ditindas di Myanmar. Jujur, kami tak berdaya.

Kami tak ada ilmu pengetahuan, tiada pemimpin yang mampu merangka strategi, tiada senjata, Kami dikongkong dengan tentera kerajaan datang hampir setiap hari melakukan bancian serta memeriksa rumah. Tapi kami tidak dibenar menyimpan pisau pun. Jadi bagaimana nak melawan?

Bagaimana anda melihat penghinaan dilakukan terhadap bangsa Rohingya sejak sekian lama?

YUSUF: Sejujurnya, harga diri masyarakat Rohingya bagi pemerintah di sana jauh lebih rendah berbanding seekor anjing. Biar saya beritahu anda, di sana kalau anda membunuh seekor anjing, maka anda akan ditangkap kerana perkara itu dianggap melanggar undang-undang.

Tetapi kalau anda membunuh Rohingya, itu bukanlah apa-apa bagi pihak berkuasa di sana. Ketika ini mayat saudara mara kami yang terbunuh tidak langsung dihormati. Kami sehingga kini masih berhubung dengan rakan-rakan dan saudara mara di Arakan jadi kami tahu apa yang berlaku.

Video-video dihantar kepada kami melalui rangkaian media sosial serta aplikasi di telefon bimbit dan kami dapat lihat bagaimana mayat saudara kami hanya dibungkus di dalam guni dan dicampak ke sungai.

Sejak bertahun-tahun lalu, saudara-mara kami mati tanpa dikapankan. Kami melihat perkara itu hampir setiap hari di media sosial tetapi apa yang kami mampu lakukan? Tiada apa selain berdoa untuk keselamatan mereka yang masih hidup!

Anda katakan masih berhubung dengan rakan-rakan dan saudara mara di sana. Boleh ceritakan apa yang sedang berlaku kebelakangan ini kerana laporan daripada media antarabangsa mengatakan keadaan semakin teruk.

YUSUF: Betul, memang keadaan sekarang semakin teruk. Rumah-rumah kampung masyarakat Rohingya dibakar, segala harta benda termasuk binatang ternakan dicuri dan mereka semakin mencari alasan untuk melakukan pembunuhan terhadap kami.

Malangnya pihak kerajaan mendakwa kami yang membakar rumah-rumah sendiri untuk meraih simpati masyarakat antarabangsa. Mereka tunjukkan juga video di media-media sosial kononnya ada dalam kalangan kami berbuat demikian.

Apa yang perlu anda tahu adalah ada dalam kalangan masyarakat bukan Islam di sana menyamar menjadi sebahagian daripada kami dan datang membakar rumah-rumah kami. Kemudian ada dalam kalangan puak tertentu yang memang bersedia untuk mengambil gambar dan video lalu disebarkan ke Internet.

Selain itu, mereka mengugut orang-orang Rohingya yang tinggal di kampung-kampung untuk membakar rumah sendiri. Jika tak mahu, akan ada dalam kalangan ahli keluarga ditembak. Jadi mana yang perlu saudara mara kami pilih? Melihat anak mati dibunuh atau membakar rumah sendiri?

Berdepan dengan kegilaan puak kerajaan kebelakangan ini, ramai yang cuba menyeberang ke Bangladesh tetapi itu pun bukan sesuatu yang mudah. Mereka terpaksa melalui sungai, laut dan tidur dalam selut selama berhari-hari sehingga ada yang lemas dan mati akibat penyakit.

Kalau air pasang, anda dapat lihat bagaimana seorang ibu menjunjung anaknya ketika air sampai ke paras leher. Kalau terjumpa dengan pihak tentera di tengah jalan, anda akan diarah masuk ke hutan. Hanya Tuhan yang tahu apa akan berlaku.

Pandangan anda mengenai Aung San Suu Kyi?

YUSUF: Saya berani katakan dia penipu. Sebelum beliau berkuasa, seluruh masyarakat Rohingya memberi sokongan kepadanya kerana percaya dia mampu membawa perubahan. Kami percaya dia mampu memperjuangkan kerakyatan untuk kami tetapi akhirnya kami terus ditekan.

Sekarang ini tiada lagi pemimpin di Myanmar yang dipercayai orang Rohingya. Kami hanya bergantung kepada Tuhan dan masyarakat antarabangsa untuk memperjuangkan nasib bangsa Rohingya. Memang kami sudah putus harapan terhadapnya.

Anda dan rakan-rakan masih berharap pulang ke tanah air?

YUSUF: Sudah tentu. Arakan adalah tanah air kami dan seboleh-bolehnya kami mahu mati di situ. Kami berangan-angan supaya Arakan menjadi aman seperti di Malaysia supaya kami dapat menjalani kehidupan seperti rakyat di sini.

Tetapi bila semua itu akan dapat dicapai? Entahlah, kami sendiri pun tak tahu.