ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN

Susulan itu, terdapat spin doctor pihak tertentu menyunting rakaman tersebut dan mengaitkan kenyataan Anifah itu dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Apa motifnya? Bagi penulis, amat jelas bila mana sudah tidak ada modal politik untuk meraih undi, apa sahaja akan cuba dilakukan.

Cuba renungkan perkara-per­kara berikut:

Salahkah pendapat Anifah?

Bagi penulis tidak. Malah ia selari dengan perjuangan banyak pihak di Sabah berhubung hak dan kepen­tingan pribumi/orang asal. Anifah tidak mempertikaikan status kewarganegaraan mana-mana individu secara spesifik. Tidak perlu diperjelaskan panjang lebar, sebagai anak Sabah, sesiapa pun tahu realiti yang berlaku di negeri itu termasuk ancaman luar yang sedang dihadapi. Dan sebagai Menteri Luar, Anifah pastinya lebih arif. Hakikatnya, memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah itu bukan sekadar dalam konteks Sabah dalam Persekutuan Malaysia malah termasuklah melindungi kedaulatan dan tampuk pemerintahan negeri.

Wajarkah pendapat itu datangnya daripada Anifah?

Selain kepemimpinan kerajaan negeri, penulis melihat Anifah antara pemimpin nasional yang konsisten dalam perjuangan hak dan kepentingan Sabah. Beliau mungkin tidak berbicara isu ini di pentas politik sebagaimana retorik sesetengah pemimpin.

Namun beliau menggunakan platform dan pendekatan yang lebih bersesuaian. Penulis melihat Anifah adalah Menteri Persekutuan pertama masa kini yang cuba membawa semua pihak (terma­suk badan bukan kerajaan dan tokoh pembangkang) untuk duduk bersama bagi memurnikan hala tuju perjuangan hak dan kepen­tingan negeri khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pelbagai siri diskusi beliau pelo­pori sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi melihat hak-hak Sabah.

Ini disusuli dengan kenyataan terbuka Najib untuk memelihara hak dan kepentingan Sabah yang termaktub dalam undang-undang dan sekiranya ada yang ‘terambil’ oleh pemimpin/pentadbiran yang lalu, beliau sedia mengembalikannya. Oleh itu, wajar atau tidak bagi penulis bukanlah persoalan, tetapi itulah Anifah dan itulah perjuangan beliau - konsisten dalam melin­dungi kepentingan Sabah.

Perjuangan demi kepentingan Sabah

Mohd. Shafie telah mempertikaikan ucapan Anifah dan telah menyebut dua perkara, pertama, menyimpulkan Anifah mempertikaikan status beliau (walaupun Anifah tidak menyebut nama beliau) dan kedua, bertanyakan di manakah kubur nenek moyang Anifah. Bagi beliau, status beliau tidak wajar dipertikai dan tidak wajar juga perjuangannya tentang Sabah diperkecilkan.

Sesiapa sahaja wajar memperjuangkan kepentingan negeri selagi mana ia menjunjung sema­ngat patriotisme dan kecintaan kepada negara, sememangnya tidak wajar dipertikaikan. Apa yang penulis musykil adalah kaedah dan pendekatan yang diguna pakai kerana setelah hampir 55 tahun kita bersama membentuk Malaysia, warga Sabah memerlukan lebih daripada sekadar retorik dan strategi kepentingan politik diri dan kelompok dalam memperjuangkan kepentingan negeri.

Pertama, sejak bila Mohd. Shafie bersuara tentang hak dan kepentingan Sabah? Pernahkah kita mendengar beliau bercakap memperjuangkan hak-hak Sabah ketika menjadi Menteri Persekutuan sejak 2004? Ketika Anifah memulakan secara terbuka diskusi berkaitan kepentingan Sabah, di manakah suara Mohd. Shafie yang ketika itu masih berada dalam kerajaan?

Kedua, hari ini Mohd. Shafie lantang mempertikaikan UMNO dan BN tidak memelihara kepentingan Sabah. Persoalannya, Mohd. Shafie keluar daripada UMNO bukan kerana hak dan kepentingan Sabah, tetapi marah kerana beliau digantung keahlian UMNO dan kecewa digugurkan daripada Kabinet kerana isu lain dan bukannya kepentingan Sabah. UMNO dan BN buruk di mata beliau kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Mohd. Shafie dalam parti dan kerajaan?

Ketiga, salah satu strategi penting dalam memperjuangkan kepentingan Sabah adalah untuk memposisikan anak Sabah di peringkat nasional kerana kita tidak boleh sekadar menjadi ja­goan di kolam sendiri. Dua cabang penting eksekutif kerajaan adalah ‘anggota pentadbiran’ dan ‘perkhidmatan awam’.

Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir, hari ini Najib bukan sahaja menambah jumlah perwakilan Sabah dalam cabang anggota pentadbiran termasuk menteri dan timbalan menteri, malah beliau meletakkan pemimpin Sabah ini dalam portfolio yang strategik daripada sekadar Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi. Satu cabang eksekutif lagi adalah perkhidmatan awam.

Di sini pemimpin-pemimpin Sabah di peringkat nasional seharusnya memainkan peranan memposisikan anak-anak Sabah. Sejak menjadi Menteri Luar pada 2009, Anifah telah memposisikan bukan sekadar seorang dua, tapi ramai anak Sabah dalam posisi strategik menjadi duta dan pesuruhjaya tinggi di luar negara daripada pelbagai bangsa di Sabah.

Kepemimpinan Rahman mengangkat anak Sabah yang pertama dalam sejarah menjadi ketua setiausaha sebuah kementerian, Madius membawa anak Sabah menjadi timbalan ketua setia­usaha dan Salleh membawa anak Sabah menjadi Timbalan Ketua Pengarah sebuah jabatan. Semua ini mereka lakukan dalam tempoh kurang dua tahun menjadi Menteri Persekutuan.

Soalan penulis yang terakhir, sejak menjadi menteri penuh dari 2004 hingga 2015 di tiga kementerian, siapakah dan adakah anak Sabah yang Mohd. Shafie posisikan dalam jawatan kanan strategik dalam perkhidmatan awam Persekutuan?

DATUK ARMIZAN MOHD. ALI ialah Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Papar.