Walau bagaimanapun, dalam menelusuri era pembangunan fizikal dan digital negara di abad ke-21 ini, semangat patriotisme dalam kalangan rakyat khusus­nya anak muda boleh kita lihat semakin menipis.

Ini berlaku apabila kurangnya kefahaman seseorang itu tentang institusi yang memayungi negara, iaitu institusi diraja dan tulang belakang atau undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan yang adalah agen penyatupaduan negara.

Lebih buruk lagi apabila kini ada segelintir pemimpin atau individu yang berkedudukan seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan dan ada pula yang mempermainkan dan menghakimi Institusi beraja membuatkan rakyat semakin hilang rasa hormat terhadap elemen-elemen tersebut.

Kajian yang telah saya jalan selama tiga tahun dengan melibatkan 1,400 responden terdiri daripada golongan muda menunjukkan patriotisme golongan muda berusia 19 hingga 29 tahun semakin menurun dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Kewujudan dunia digital yang kini memberi akses meluas tanpa batasan kepada rakyat juga menjadi ‘pengancam’ sehingga soal institusi beraja, Perlembagaan Persekutuan dan nilai patriotisme sudah seakan-akan diketepikan malah dianggap ‘membosankan’ kerana terlalu ba­nyak content lain yang lebih menarik minat mereka di laman sosial.

Lebih-lebih lagi anak muda kini bukan lagi seperti generasi terdahulu yang sempat merasakan perit jerih untuk membentuk sebuah negara dan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah menjadikan jiwa patriotisme belia zaman ini dilihat lebih ‘ampuh’.

Bukan itu sahaja, Raja atau Sultan yang sebelum ini sangat dekat di hati rakyat dan mempunyai satu kedudukan istimewa dalam lapisan masyarakat kini sudah semakin dilupakan.

Menyedari kebimbangan ini, Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) merasakan wujud satu keperluan untuk kita mula ‘membuka langkah’ menyemarakkan semula nilai patriotisme yang kini lihat semakin jauh dari rakyat khususnya anak muda yang semakin goyah jati diri kenegaraannya.

Sebelum membuka langkah lebih besar, penganjuran Program Wacana Diraja: Raja Perlembagaan dan Patriotisme yang dija­dualkan berlangsung pada Rabu ini diharapkan dapat menjadi wadah pertama dalam usaha kita memartabatkan institusi beraja dan Perlembagaan Persekutuan sekali gus memupuk kembali semangat patriotisme.

Wacana yang akan diadakan di Hotel Grand Darul Makmur yang bakal dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mendapat kerjasama Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Institut Wasatiyyah Malaysia.

Wacana tersebut akan menampilkan individu yang pakar dalam bidang masing-masing antaranya Ketua Kluster Gover­nans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2000, Dr. Lim Swee Tin dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

Selain individu berpengalaman, wacana ini juga akan diser­tai oleh wakil golongan muda daripada Parlimen Mahasiswa, ahli Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) dan Aspirasi jadi kita harap golongan muda ini akan menjadi ‘orang tengah’ untuk menyampaikan isu ini kepada anak belia negara.

Dan lebih penting lagi, kehadiran pelbagai kaum semasa sesi wacana ini berlangsung di­harapkan dapat dijadikan platform untuk mewujudkan kesedaran tentang pentingnya perkara ini diambil serius oleh setiap warganegara Malaysia.

Melalui wacana ini, saya berharap anak muda dapat menilai semula kedudukan institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan serta sedar bahawa Raja yang ada kini bukan sekadar perhiasan tetapi merupakan tiang seri dan payung negara.

Kita juga akan membincangkan keperluan untuk mewujudkan Institut Rukun Negara seperti mana yang wujud di Indonesia iaitu Institut Pancasila bagi memastikan Rukun Negara tidak hanya dipandang sebagai sesuatu yang ringan.

Dalam konteks kita mahu memberi kesedaran berkenaan raja dan Perlembagaan, kita mahu mencapai anak muda dari pelbagai kaum, bukan hanya belia Melayu. Ini kerana Raja dan Perlembagaan Persekutuan adalah dua elemen penting yang menjaga keharmonian kehidupan hidup berbagai kaum di negara ini sejak negara Malaysia merdeka.

Konsep raja berperlembagaan yang mengimbangi kerajaan demokrasi pilihan rakyat membuatkan Malaysia sebagai negara yang unik dan stabil walaupun terdapat kepelbagai­an, itulah yang perlu disematkan dalam pemikiran anak muda. Tanpa salah satunya, mana mungkin Malaysia menjadi seperti hari ini.

Lafaz Rukun Negara seharus­nya diberikan lebih pemahaman kepada setiap rakyat Malaysia, bukan sekadar satu lafaz tiada makna di perhimpunan sekolah oleh anak-anak muda.

Kita mahu wacana ini menjadi wake up call kepada rakyat khususnya belia tentang bagaimana peranan institusi diraja dalam menjadikan bangsa Melayu dan Malaysia sebagai bangsa dan negara yang gemilang sejak turun temurun.

Dalam misi kita untuk merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50), perkara pertama yang perlu dipastikan adalah keutuhan sifat jati diri dan semangat patriotisme anak muda yang bakal menjadi pelapis negara.

Tanpa kesungguhan semua pihak untuk kembali menyemarakkan sifat patriotisme rakyat kepada negara, nescaya institusi beraja dan Perlembagaan Persekutuan satu hari nanti hanya menjadi lipatan sejarah yang tidak lagi disanjung.

TAN SRI DR. ABDUL AZIZ RAHMAN ialah Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).