Koh Eng Tong merakam sejarah apabila muncul atlet pertama yang memenangi emas untuk Malaya menerusi acara angkat berat kelas Featherweight ketika temasya itu berlangsung di Auckland, New Zealand pada 1950.

Kejayaan beliau menjadi pendorong kepada pembangunan acara sukan angkat berat negara. Sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangan beliau dalam sukan negara, Koh Eng Tong telah dipilih untuk menjadi pelari pertama dalam Queens Baton Relay pada 13 April 1994.

Sejak 1950 sehingga 1990 hanya dua sukan yang menyumbangkan pingat kepada negara iaitu angkat berat dan badminton secara berasingan. Tahun 1994 merupakan pertama kali kedua-dua sukan tersebut menyumbangkan pingat.

Sukan Komanwel 1994 menyaksikan kontinjen negara memperolehi tujuh pingat iaitu 2 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa dengan enam pingat daripada sukan badminton dan satu menerusi angkat berat. Menerusi kutipan tujuh pingat, menjadikan jumlah keseluruhan berjaya diperolehi sejak tahun 1950 ialah sebanyak 36 pingat.

Kuala Lumpur ’98 bukan sahaja telah berjaya dianjurkan oleh negara dengan cemerlang tetapi lebih membanggakan ialah kejayaan para atlet negara mencipta sejarah dengan menduduki tempat keempat keseluruhan di antara 70 buah negara anggota Komanwel. Kontinjen Malaysia berjaya memperolehi 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa yang berjumlah 36 kesemuanya dan ini telah menyamai keseluruhan pingat yang diperolehi sejak dari tahun 1950 hingga 1994.

Sejarah juga tercipta apabila Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah membenarkan tuan rumah Sukan Komanwel 1998, Kuala Lumpur untuk turut mengadakan acara sukan berpasukan buat pertama kali dalam usaha menjadikan temasya itu lebih menarik dan kekal sebagai antara sukan yang popular di dunia. Ternyata keputusan itu telah mendatangkan kejayaan yang gemilang.

Prestasi atlet negara di Sukan Komanwel seterusnya meningkat dengan jumlah pungutan pingat bertambah dari satu temasya ke temasya berikutnya. Pada Sukan Komanwel Melbourne 2006, kontinjen negara memperolehi tujuh pingat emas menerusi sukan badminton (4), boling padang (2) dan satu angkat berat. Antara penyumbang pingat emas ialah pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei; atlet angkat berat, Mohd Faizal dan Siti Zalina Ahmad dari sukan boling padang.

Pada Sukan Komanwel New Delhi 2010 pula, atlet negara melepasi sasaran yang ditetapkan apabila memungut 12 pingat emas, pencapaian terbaik negara pada temasya berkenaan. Empat pingat emas disumbangkan menerusi badminton, sementara dua emas daripada menembak dan angkat berat, manakala sukan berbasikal, terjun, gimrama serta skuasy masing-masing satu emas.

Namun, ketika harapan lebih besar mula diletakkan, Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland menyaksikan kemerosotan ketara kontinjen negara apabila hanya mampu mengutip enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Pencapaian tersebut boleh dianggap sedikit mengecewakan berbanding dengan pencapaian temasya yang sama di New Delhi. Badminton menjadi penyumbang terbesar dengan tiga emas manakala skuasy, terjun dan angkat berat masing-masing meraih satu pingat emas.