Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KESUNGGUHAN Kamarul yang disokong oleh puluhan ilmuwan meresahkan DAP dan kawanan mereka.
KESUNGGUHAN Kamarul yang disokong oleh puluhan ilmuwan meresahkan DAP dan kawanan mereka.

Beberapa bulan kebelakangan ini nama Dr. Kamarul Zaman Yusoff mendadak menjadi bualan hangat dalam kalangan politikus pembangkang dan sekutu mereka. Kehabisan hujah mereka dibuatnya dalam berhadapan dengan ilmuwan yang seorang ini.

Ilmuwan ini memang bukan calang-calang. Setiap pende­dahan dibuat berdasarkan fakta yang diperincikan satu persatu. Penuh tertib dan tersusun. Rasanya belum pernah ada seorang penyelidik yang begitu tekun dan berani mendedahkan perilaku sebenar politikus pembangkang terutamanya dari DAP. Yang selalu berlaku adalah sebaliknya.

Kali ini buku bertemu ruas. Kamarul, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia juga tidak gentar dengan gertakan tindakan undang-undang yang biasa diguna kumpulan ini untuk membungkam suara pengkritik. Hujah-hujah dan tindakan balas Kamarul tetap bersandarkan fakta. Tidak lebih dan tidak kurang berlandaskan peruntukan undang-undang. Barangkali ini yang menyebabkan politikus pembangkang dan sekutu menyergapnya secara beramai-ramai. Ala-ala buli begitu.

Sekadar memberikan contoh, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad dilaporkan menyifatkan beliau sebagai bodoh tahap maksimum. Setiausaha DAP Wilayah, Lim Lip Eng mem­pertikaikan kualiti kesarjanaan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin turut mempersoalkan kredibilitinya sebagai ahli akademik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dikenal politikus licik bertanyakan sama ada Kamarul cocok dan sesuai untuk menjadi pensyarah universiti awam. Kamarul bahkan dilabel dengan bermacam label negatif termasuk ekstremis dan pelampau. Akibat ketandusan hujah, UUM dan unversiti awam lain pun turut dijadikan sasaran serangan.

Matlamat mereka mahu menghumban Kamarul ke longkang tetapi pensyarah kanan yang baru dua tahun berkhidmat di UUM ini bukan mudah untuk ditakluk. Sederet pencapaian akademik Kamarul membuatkan pengkritiknya berfikir banyak kali untuk terus berhujah dengan beliau.

Alumni Diploma Kajian Pentadbiran dan Undang-undang UITM ini mendapat ijazah dari Indiana University at Bloomington (IUB), Amerika Syarikat. Beliau membuat dua pengkhususan sekali gus dan mendapat kepujian tertinggi iaitu purata nilai gred kumulatif antara 3.90 ke 4.00.

Kamarul juga adalah penerima Senior Achievement Award iaitu anugerah dikhususkan kepada pelajar yang mempunyai rekod akademik cemerlang yang diiktiraf sebagai mempunyai potensi luar biasa dalam bidang mereka. Ijazah sarjana dan Ph.D pula dibuat di Universiti Malaya dengan pengkhususan sejarah politik Malaysia.

Punca kelam-kabut yang ditimbulkan DAP dan kawanan mereka ini satu - beliau mendedahkan secara ilmiah sesuatu yang telah menjadi perhatian umum selama ini. Kamarul mendedahkan pengakuan Speaker DUN Selangor daripada DAP, Hannah Yeoh dalam buku tulisannya sendiri bertajuk Becoming Hannah (Menjadi Hannah).

Bertentangan

“Di dalam buku ini, Hannah Yeoh secara terbuka mengakui bagaimana penglibatan beliau di dalam bidang politik dibantu oleh pihak Kristian, baik dari segi dana mahupun kempen. Bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik beliau untuk berdakwah mengenai agama Kristian dan sebagainya.

“Lebih daripada itu, beliau juga menyeru ahli-ahli Felo Kristian Seberang Laut khususnya dan penganut agama Kris­tian umumnya mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian,” tulis Kamarul dalam posting bertajuk 'Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP'.

Hannah kemudiannya membuat laporan polis. Tindakan ini dianggap bertentangan dengan prinsip DAP yang selalu mereka agung-agungkan iaitu membuka ruang dialog. Hannah boleh saja menjawab satu demi satu perkara yang dibangkitkan Kamarul. Beliau mempunyai begitu banyak platform untuk menjawab.

Ini tidak, ADUN Subang Jaya ini memilih untuk membuat laporan polis. Mengapakah agaknya? Laporan polis beliau itu pula tidak memperincikan tuduhan mana daripada Kamarul yang tidak benar. Hanya penafian secara umum dan kononnya keselamatannya terancam.

Sebaliknya, Kamarul membuat laporan polis balas de­ngan kenyataan lebih spesifik: mengenai betapa beliau meng­gunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; mengenai betapa beliau menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; dan menge­nai betapa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.

Semua ini, tegas Kamarul, ada termaktub dalam buku Becoming Hannah. Seperti juga yang selalu berlaku, serangan jentera pembangkang ini tidak kenal erti lelah. Mereka sepakat beramai-ramai mendesak Kamarul menarik balik laporan polis tersebut. Ada yang bahkan sampai ke peringkat tidak masuk akal apabila mendesak Kamarul meminta maaf kepada Hannah.

Sungguh, memerlukan semangat dan daya juang tinggi untuk menghadapi gempuran tersusun mereka ini. Jelas sekali, sepatutnya Hannah yang memohon maaf. Beliau yang mencetuskan konflik dan beliau juga yang terlebih dahulu membuat laporan polis.

Kamarul turut memperincikan kesalahan yang mungkin dilakukan oleh Hannah di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No. 1/1988). Seksyen ini menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu”.

Satu lagi kemungkinan kesalahan ialah di bawah Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

Inilah politik mereka. Bekas-bekas pemimpin DAP telah mendedahkan identiti sebenar parti ini. Sebut sahaja Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Zulkifli Mohd. Noor, Rahmad Isahak dan terbaharu para pimpinan Pas yang secara terbuka mendakwa parti itu anti-Islam dan Melayu.

Kali ini, DAP khasnya menghadapi asakan yang tidak terduga. Kemampuan dan kesungguhan seorang Kamarul yang disokong oleh puluhan ilmuwan meresahkan DAP dan kawanan mereka. Kamarul ibarat penyakit angin merah (strok) yang kini sedang menggerogoti tubuh DAP. Barangkali sebab itu, parti tersebut kini semakin ditakuti sekurang-kurangnya oleh orang Melayu.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain