Kata Abdul Hadi, Pas mempunyai 195 kawasan di seluruh negara termasuk mempunyai jentera yang kuat untuk melaksanakan kerja-kerja dalam menghadapi pilihan raya akan datang, sedangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Dr. Mahathir itu terus bergelumang dengan masalah dalaman.

Dalam nada menyindir, Abdul Hadi turut mempersoalkan Dr. Mahathir bagaimana hendak mentadbir negara sedangkan soal pengagihan kerusi dalam PPBM sendiri masih belum selesai sehingga mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.

Sindiran Abdul Hadi itu sememangnya ada asasnya, PPBM sehingga hari ini masih belum mampu menyelesaikan soal pengagihan kerusi sehingga ada dalam kalangan ahli mereka membuat kecoh kerana tidak berpuas hati dalam isu berkenaan.

Malah Dr. Mahathir sendiri juga dilihat semakin terdesak untuk memenangi pilihan raya dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup meminta campur tangan asing apabila bertemu dengan 16 duta dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Secara logiknya, Pas dilihat lebih bersedia menghadapi pilihan raya meskipun bergerak sendirian dan terus ditekan oleh Dr. Mahathir dengan pelbagai kenyataan memperlekeh dan menghina parti itu.

Dalam kalangan pemimpin atasan Pas, mereka tidak mudah melatah, setiap serangan yang dilontarkan Dr. Mahathir itu dipatahkan dengan mudah selain memberi hujah-hujah yang akhirnya berbalik kepada batang hidung Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu sendiri.

Bak kata Ahli Jawatankuasa Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditemui baru-baru ini, dengan ‘angan-angan Mat Jenin’ lah Pas semakin kuat sehingga berjaya menawan Kelantan pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir sendiri.

Tambah Nik Mohamad Abduh lagi, disebabkan angan-angan Mat Jenin itu jugalah Pas masih menguasai Kelantan sehingga Dr. Mahathir dan pengantinya selepas itu masih tidak berupaya merampas negeri tersebut.

Jadinya sekarang, siapa sebenarnya yang ‘angan-angan Mat Jenin’ - Pas atau Dr. Mahathir itu sendiri? - UTUSAN ONLINE