Ini kerana tidak mengira apa usia anda, bulan Disember membawa banyak makna, selain musim cuti dan membeli-belah (yang akan jadi topik utama Merrepak minggu hadapan). Disember adalah bulan audit peribadi.

Audit untuk pastikan azam 1 Januari 2017 sudah dicapai, atau belum. Dan apakah langkah seterusnya.

Tetapi dalam pada mengaudit azam sudah terlaksana atau tidak, berhenti sejenak. Tarik nafas. Dalam-dalam. Dan sekarang lepaskan. Kita masuk ke zon muhasabah diri. 'Muhasarawak' pun boleh. Enchang jak sia.

Merrepak mengajak anda meneliti sepintas lalu apa sudah jadi dengan diri anda sekarang. Terdapat banyak petanda yang perlu anda kenal pasti. Mungkin anda tidak sedar, tanyalah isteri atau suami. Tanya apakah anda memiliki 10 simpton berikut?

 

1) Cepat sentap

Jiwa sensitif ke tahap maha kronik. Orang ketawa baca komen Twitter artis, dikata pula menyekat kebebasan artis bersuara atas nama demokrasi. Apa cerita ini? Atas nama kebebasan bersuara maka artis boleh bersuara, tetapi mereka kena terimalah orang bersuara balik. Tidak payah sentap. Bebas bersuara bukan hak eksklusif artis. Semua kita sama-sama junjung demokrasi lepas cakap ala-Trump.

 

2) Kadar perhatian makin singkat

Ini berkait rapat dengan ego dan kurang kesabaran. Jiran tetangga khusyuk berbincang mengenai aspek keselamatan, muncullah individu ini cerita pasal makanan. Bila ditegur, terus leave the group. Muncul pula seorang hendak jadi hero, tidak setuju cara menegur. Yang patut ditegur ialah beri fokus kepada isu semasa. Jangan lompat atau alihkan isu. Nanti rumah anda kena rompak, kita cerita pasal ikan. Boleh?

 

3) Terlena dalam panggung

Satu filem yang ditunggu-tunggu tayangannya minggu depan ialah kesinambungan siri Star Wars. Masalahnya, siri Star Wars sebelum ini pun terlena dalam panggung. Bila ditayangkan balik di Astro, hairan tengok ada babak serangan. Itulah detik anda terlena. Jadi elok tunggu filem ini masuk Astro sahaja agar tidak rugi beli tiket mahal.

 

4) Mengantuk jam 9 malam

Pada suatu era, sesiapa yang tidur sebelum 2 pagi dianggap 'tidak rock’. Ini kerana kita berborak, berjumpa sahabat atau menonton apa-apa hingga lewat malam. Jadi, jam 2 pagi adalah ideal. Tetapi sekarang kenapa jam 9 malam sudah mengantuk? Sebab gaya hidup sudah berubah. Jam 5.30 pagi sudah bangun ke surau. Alhamdulillah.

 

5) Suka dengar lagu zaman remaja

Entah kenapa lagu-lagu zaman sekarang semacam sulit hendak diterima halwa telinga. Suara budak tadika nyanyi lagu orang dewasa begitu kerap dipasang, ada lagu campur-baur bahasa Melayu dengan Inggeris dan Korea. Alih ke stesen lagu lama pun, terselit lagu haru-biru seumpamanya. Cara terbaik ialah anda muat turun CD lagu koleksi lama anda ke dalam USB dan pasang dalam kereta. Suka hati kitalah hendak ulang dengar lagu Samarkhand oleh Bloodshed berulang kali dari Shah Alam sampai ke pejabat.

 

6) Suka baca buku kesihatan

Mulanya disangka berminat menjadi ejen jualan produk jamu atau pemutih kulit. Rupa-rupanya serius untuk diri sendiri. Menelaah cara diet yang betul. Mengimbangi antara berat badan dengan ketinggian serta cara pemakanan. Tidak semestinya anda amalkan. Memadai dihafal. Kemudian anda boleh jadi motivator berbayar. Bab ini orang tidak pertikai berbanding menipu ada PhD.

 

7) Kenal ramai doktor

Perihal orang suka name dropping memang wabak semula jadi pada manusia. "Ya, saya kenal Neelofa. Sebelum dia terkenal, saya pernah tolong dia. Tolong tunjuk arah mana eskalator’’. Itu selebriti. Bila sudah sampai satu tahap usia, itu semua tidak penting. Sebaliknya, siapa doktor anda jumpa dan dapatkan rawatan menjadi modal perbualan. Tidak salah! Berkongsi maklumat doktor!

 

8) Berhenti main bola, mencuba golf

Sudah tidak boleh lagi kaki kembali kebah dalam sehari dua selepas bermain bola. Kaki terhenjut-henjut sehingga seminggu. Itu tandanya proses pemulihan semakin lambat akibat peningkatan usia. Jadi kena beralih sukan. Cuba golf. Tiada siapa cerita main golf pun jika tidak panaskan badan, boleh terkoyak otot pinggang dan lengan.

 

9) Jurujual panggil anda 'pakcik/makcik’

Biasa jurujual bahasakan anda 'abang’ atau 'kakak’. Tetapi bila dibahasakan 'pakcik/makcik’ bermakna anda kena pandang cermin dan insaflah. Walau bagaimana gigih anda mahu bersolek atau berpakaian macam orang muda, jika raut itu sudah timbul, maka terima sahajalah pangkat tersebut.

 

10) Bawa kereta perlahan
Menonton Fast & Furious tidak lagi memberi inspirasi untuk anda memecut gila di lebuh raya. Ini kerana secara automatik di dalam minda anda sudah terbayang orang tersayang yang menanti ada di rumah. Betul ke? Bukan anda bawa kereta perlahan sebab sayangkan minyak? Kan harga minyak mahal sekarang. Mengaku sajalah.