Ini kerana dalam kerjaya ini yang khusus menyampaikan mesej sama ada wartawan, perhubungan awam dan komunikasi massa, kemahiran yang wajib dimiliki ialah penguasaan kedua-dua bahasa.

“Kita bukan jurutera yang mesti memahami hal kejuruteraan atau ahli sains yang mendalami hukum fizik. Sebaliknya kita adalah penyampai mesej. Bagaimana hendak menyampaikan mesej dengan berkesan jika anda lemah dalam bahasa sama ada secara bertutur atau bertulis?’’

Tidaklah saya pasti apakah merrepak saya bab bahasa ini lebih diingati berbanding isu 'kebebasan akhbar' dan 'kesinambungan hidup akhbar bercetak' yang bertalu-talu dilontarkan oleh para siswa-siswi berkenaan.

Terus-terang di sini, walaupun berkhidmat dalam akhbar berbahasa Melayu, saya sentiasa menekankan kepentingan menguasai bahasa Inggeris kepada rakan-rakan wartawan. Jadikan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris pada tahap yang sama. Mesti fasih, mesti lancar.

Ini disebabkan walaupun bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggeris begitu kuat dan menebal di semua peringkat daripada pegawai kerajaan hingga ke swasta, dari eksekutif hingga ke menteri.

Cuma bila bab kenyataan akhbar, memang saya selalu ingatkan pegawai perhubungan awam baik daripada kerajaan atau swasta, hendak siar dalam akhbar berbahasa Melayu, hendaklah kenyataan dalam bahasa Melayu.

(Ini tiada kaitan dengan soal kepentingan menguasai bahasa atau  wartawan malas hendak menterjemah. Ini kerana jika mereka beria-ia menyediakan bahasa Inggeris, bermakna KPI mereka dikira pada berapa kerap tersiar di akhbar bahasa Inggeris. Jadi lebih baik kami tidak endahkan kiriman kenyataan akhbar berbahasa Inggeris).  

Kembali kepada soal pokok iaitu penguasaan bahasa Inggeris, ada pelbagai pendapat menyokong dan tidak menyokong bahasa penjajah ini diberi keutamaan dalam sistem pendidikan kita. Ada yang cenderung memberi contoh betapa bangsa Jepun tetap maju tanpa bertutur bahasa Inggeris. 

Saya kurang bersetuju untuk membandingkan tamadun Jepun yang beratus tahun dengan kita yang baru 60 tahun. Secara teknikalnya, bangsa Malaysia masih di tahap pembangunan.

Benar kita sudah ada wakil anak bangsa yang belajar tinggi-tinggi di Oxford, Harvard dan sebagainya. Tetapi bilangan mereka masih kecil. Kita perlukan lebih ramai lagi cendekiawan. Dan mahu tidak mahu, hakikatnya penguasaan dalam bahasa Inggeris adalah faktor utama pemangkin dalam mencapai sasaran itu.

Malangnya, disebabkan tiada keteguhan dalam pelaksanaan dasar pendidikan negara sama ada mahu menekankan Inggeris atau tidak, telah menyaksikan kelahiran graduan yang lemah dalam aspek ini, sekali gus mengurangkan 'tarikan' mereka untuk diambil bekerja.

Pemerhatian seorang ahli ekonomi, Nor Zahidi Alias baru-baru ini, adalah suatu kenyataan yang pahit dibaca, dan lagi pahit jika tiada apa-apa tindakan susulan dilakukan bagi menanganinya.

“Tidak fasih dalam bahasa Inggeris dan kurangnya pendedahan kepada keadaan dunia sebenar merupakan dua faktor utama menghalang graduan mendapatkan pekerjaan,’’ tulis beliau dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Alangkah bagusnya jika beliau siarkan dalam akhbar berbahasa Melayu. Tidak mengapalah, saya perturunkan beberapa fakta yang penting di sini.

Menyatakan bilangan graduan menganggur semakin meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan mereka tidak mampu berkomunikasi secara fasih dalam bahasa Inggeris.
“Sekian lama dalam rantaian pembekalan tenaga kerja, kemahiran  dalam bahasa adalah kemahiran yang amat dimahukan, sebagaimana dibuktikan oleh majoriti majikan.
 
“Malah, dalam pengalaman saya, majikan biasanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk menilai kemahiran berkomunikasi orang yang ditemu duga sebelum memutuskan untuk mengambilnya bekerja atau tidak. Lagi fasih mereka berbicara, lagi menonjol mereka kepada bakal majikan,’’ kata Nor Zahidi.

Permasalahan ini begitu ketara dalam sektor perkhidmatan, di mana komunikasi efektif merupakan kemahiran yang diutamakan.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, seramai 54,103 graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih menganggur dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi 2016.

Lima bidang pengajian yang merekodkan bilangan graduan mengganggur tertinggi ialah Bidang Pentadbiran Perniagaan dan Perdagangan, Sains Gunaan, Pengurusan Sumber Manusia, Perakaunan serta Sastera dan Sains Sosial.

Dalam laporan ekonomi 2016 Bank Negara Malaysia, kadar pengangguran dalam kalangan belia mencecah 10.7 peratus pada 2015, tiga kali ganda berbanding kadar pengangguran negara sebanyak 3.1 peratus.

Angka tersebut, menunjukkan kenaikan sebanyak 1.2 peratus berbanding 9.5 peratus yang dicatat pada 2014. Secara terperinci, belia yang memiliki pendidikan tinggi membentuk kelompok terbesar iaitu 15.3 peratus.

Jika anda tidak seram membaca statistik di atas, bermakna anda tidak mengerti kesulitan yang dihadapi bukan sahaja oleh graduan tetapi juga negara. Bukannya tiada peluang pekerjaan. Ada tetapi kriteria mereka tidak cukup untuk diambil bekerja.

“If you can’t speak fluent English, how are we supposed to send you abroad to close a deal with our client?,’’ kata seorang majikan.
 You knock on your chest, you ask your self-lah what you want to do (awak tepuk dada tanya diri sendiri apa awak hendak lakukan).