Puncanya hanya satu iaitu wujudnya perbuatan rasuah dan salah guna dalam kalangan agensi penguat kuasa. Kesudahannya sehingga ke hari ini kesemua masalah tersebut masih terus melumuri negara.

Bagaimanapun usaha me­merangi kelompok yang sanggup mengkhianati amanah yang diberikan tanpa memikirkan kepentingan negara se­dikit sebanyak menampakkan kejayaan melalui ketegasan yang ditunjukkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di bawah kepemimpinan Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai ­Ketua Pesuruhjaya, SPRM terus melakukan penahanan dan pendakwaan ke atas pengkhianat-pengkhianat tersebut. Namun begitu usaha agresif SPRM tidak akan ke mana selagi tidak ada satu ketetapan yang akan mem­bolehkan rasuah dan salah guna kuasa dihapuskan sama sekali.

Perbuatan jenayah tersebut tidak boleh dipandang ringan ke­rana ia bukan sahaja melibatkan kehilangan hasil negara ­tetapi juga mengancam keselamatan negara. Segalanya berlaku kerana dalam kalangan agensi penguat kuasa atau mereka yang diberikan amanah dan kuasa sanggup mengkhianatinya demi mencari kesenangan sementara di muka bumi Allah ini.

Justeru ketika ­bertemu dengan ahli-ah­li Dewan Negara di Parlimen, kelmarin, bu­at pertama kalinya, Dzukilfi secara terbuka meminta dan menggesa kesemua me­reka mencadangkan ke­pada kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

“Sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk bersama menyatakan sokongan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama oleh semua pihak,” tegas beliau dalam pertemuan tersebut.

Sememangnya kerajaan perlu memenuhi misi SPRM dalam soal tersebut. Rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh lagi dilayan ­seperti mana jenayah-jenayah lain. Ini memandangkan sehebat mana pun usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyejahterakan rakyat dan sekuat mana pun undang-undang yang digubal bagi menjamin ketenteraman negara, tidak akan bermakna jika rasuah dan salah guna kuasa masih bermaharajalela.

Pengisytiharan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara wajar dan harus dilakukan kerana kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan ia menjadi satu penyakit yang seolah-olah tidak ada ubatnya.

Dzulkifli dan SPRM sudah ­menunjukkan ketegasan mereka melalui tindakan-tindakan agresif yang dilakukan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi ia masih belum mencukupi.

Atas sebab itulah dengan menjadikan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara, ia akan mampu mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab bersama untuk memerangi jenayah tersebut.

Seperti mana kata Dzulkifli: “Salah satu sebab mengapa isu rasuah dan salah kuasa terus wujud adalah kerana agensi-agensi penguatkuasaan gagal me­laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.’’

Berdasarkan kenyataan tegas tersebut, perbuatan berkenaan perlu dibanteras habis-habisan. Rakyat sudah bosan mendengar amaran dan peringatan oleh mana-mana pihak dalam soal tersebut.

Justeru apabila SPRM melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), rakyat memberi sokongan penuh. SPRM tidak lagi dilihat sebuah agensi yang tahu sekadar menerima laporan dan menyiasat tetapi kesudahannya entah ke mana. Sebaliknya, SPRM memberi pengharapan baru kepada rakyat bahawa agensi itu sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Langkah Dzulkifli yang mahu kerajaan mengisytiharkan rasuah dan salah guna sebagai musuh nombor satu negara bukanlah untuk mencari populariti. Dzulkifli dan SPRM tidak memerlukan itu semua, sebaliknya gesaan tersebut dibuat kerana beliau serta agensi itu amat memahami bahaya yang menanti negara jika rasuah dan salah guna kuasa terus berlaku.

Bayangkanlah kalau RM100 pun sanggup diterima oleh anggota agensi penguat kuasa, apakah akan terjadi kepada negara ini? Apakah itu nilai maruah agensi terlibat dan semurah itukah undang-undang yang dibentuk serta digubal di Parlimen?

Oleh itu, adalah wajar kerajaan melaksanakan cadangan SPRM dengan mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara. Seperti mana kata Dzulkifli sebelum ini, sekarang bukan lagi masa untuk memberi amaran tetapi untuk bertindak.