Timbalan Menteri Dalam Negeri, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, KAMIL MASLIH serta jurugambar, GAIE UCHEL menyuarakan kebimbangan mengenai penyebaran berita palsu yang sengaja dilakukan pihak tertentu tanpa memikirkan kesannya terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai turut membincangkan mengenai hasrat bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah bertanding pilihan raya serta mengapa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menyerang peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


MINGGUAN: Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang selama ini rajin berdemonstrasi telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri, adakah Datuk terkejut dengan perkembangan ini?

NUR JAZLAN: Golongan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil seperti dia memang di belakang pembangkang. Mereka yang menjadi orang di belakang tabir untuk menterjemahkan agenda tetapi mereka sekarang sedar cara demonstrasi sudah tidak diminati ramai lagi.

Sebab itu demonstrasi Bersih sudah tidak diadakan sejak beberapa tahun lalu, dan ia bukan disebabkan kerajaan halang. Bagus juga sebenarnya mereka ke hadapan, ia menunjukkan niat sebenar mereka yang bukannya menggunakan pertubuhan masyarakat sivil untuk membaiki masyarakat tetapi sebenarnya untuk tujuan politik.

Ia sangat ironi, Maria Chin yang dahulu kata pilihan raya tidak bersih dan boleh dimanipulasikan tetapi sekarang ini dia hendak bertanding.

Pada pendapat Datuk, bagaimanakah 'suhu politik' menjelang PRU-14, apakah perkara-perkara yang mungkin dijangka akan berlaku?

NUR JAZLAN: Saya menjangkakan akan berlaku banyak penyebaran fake news atau berita palsu. Saya beri contoh, kita telah nampak ia berlaku dalam isu rampasan kapal layar mewah milik Jho Low oleh pihak Indonesia.

Serbuan terhadap kapal itu adalah fakta tetapi selepas itu keluar pula cerita ada duit dalam kapal itu yang polis Indonesia terpaksa nafikan sehari selepas itu. Tetapi perkara itu sudah pun viral. Sekarang, sudah ada juga pembangkang yang mula bercerita kononnya Barisan Nasional (BN) akan mengguna angkatan bersenjata untuk mengambil alih kerajaan sekiranya tidak menang pilihan raya.

Ini semua menimbulkan perasaan benci dan bimbang dalam kalangan rakyat. Mereka cuba menaikkan suhu pilihan raya kerana rakyat sudah tidak berminat kepada kempen mereka kali ini.

Sebenarnya, sejauh mana serius ancaman daripada penyebaran berita palsu?

NUR JAZLAN: Ia amat serius, benda betul jadi tidak betul, benda tidak betul jadi betul. Tambahan pula dari segi keutuhan melalui sistem pilihan raya, ini merupakan masalah keselamatan. Ini seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila ada dakwaan Rusia mengguna berita palsu di internet untuk mempengaruhi kemenangan Presiden Donald Trump.

Keadaan sama telah berlaku United Kingdom dan Jerman. Jadi, saya rasa ini satu fenomena di peringkat antarabangsa yang saya rasa Malaysia tidak terlindung daripada kesannya.

Kerajaan kini secara serius mengkaji penggubalan undang-undang baharu bagi membendung berita palsu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sedang mempengerusikan jawatankuasa untuk mengkaji perkara itu.

Adakah undang-undang kita sekarang tidak cukup untuk menangani ancaman berita palsu?

NUR JAZLAN: Undang-undang yang ada sekarang terbahagi kepada dua tempat. Satunya adalah di Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk Akta Hasutan dan satu lagi di bawah Kementerian Komunikasi Dan Multimedia untuk hal-hal penyebaran.

Pada pandangan saya, oleh sebab isu berita palsu ini memang berkaitan isu keselamatan, saya beranggapan lebih elok (undang-undang) itu diletakkan di bawah KDN. Ini bukan soal individu tetapi adalah soal keselamatan negara.

Masalahnya bila sesuatu perkara itu sudah viral dan baru kita hendak respons, kadang-kadang sudah terlambat. Contohnya seperti rusuhan besar-besaran di UK pada tahun 2011. Ia bermula dengan berita mengenai seorang individu kulit hitam yang mati kerana tindakan polis tetapi banyak maklumat yang kemudiannya diputar belitkan.

Selama seminggu polis di UK terpaksa meleraikan dan menenangkan keadaan tetapi kemusnahan telah berlaku di sesetengah tempat di London.

Dengan PRU-14 yang boleh diadakan bila-bila masa, bagaimanakah bacaan Datuk mengenai harapan rakyat dan di kawasan Parlimen Pulai khususnya?

NUR JAZLAN: Tempat saya di Parlimen Pulai agak unik dari segi pola pengundi yang berbilang kaum. Saya mempunyai 48 peratus pengundi Melayu, 42 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India. Orang Sabah dan Sarawak juga ramai di tempat saya.

Kawasan saya juga banyak mengalami perkembangan pesat dengan projek Iskandar Malaysia.

Saya yakin dapat mempertahan kawasan kerana saya lihat tidak akan ada tsunami daripada orang Cina dan saya tidak melihat juga ada tsunami daripada orang Melayu.

Faktor utama juga adalah kerana langkah berterusan kerajaan yang serius menangani isu-isu kos sara hidup, perumahan dan pengangkutan. Kerajaan telah melaksana pelbagai inisiatif di kawasan Pulai dan seluruh negara.

Dengan latar belakang akauntan bertauliah, mungkin Datuk boleh rangkumkan pengiraan kos sekiranya rakyat memilih pakatan pembangkang berbanding BN?

NUR JAZLAN: Perkara paling penting yang saya harap rakyat dapat lihat adalah kerajaan BN peka kepada permintaan rakyat dan menyalurkan peruntukan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang kritikal.

Kerajaan juga melaksanakan program-program pembangunan ekonomi yang akhirnya boleh meningkatkan kesejahteraan negara dan pendapatan rakyat.

Malah, kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai perancangan yang cukup terperinci untuk masa hadapan negara.Adakah pembangkang mempunyai perancangan? Tidak ada pun yang saya lihat.

Saya hairan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin pakatan pembangkang sekarang ini mempunyai satu misi iaitu menjatuhkan Datuk Seri Najib.

Ini adalah satu keajaiban bagi saya. Dia sudah 22 tahun menjadi Perdana Menteri, takkan dia tidak mempunyai sebarang idea, atau mungkin dia tidak hendak sentuh kelemahan kerajaan BN kerana masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah warisan daripada dia.

Satu perkara lagi, apabila parti-parti pembangkang terpaksa dipimpin oleh Dr. Mahathir yang merupakan bekas pemimpin UMNO, terbukti yang parti pembangkang tidak ada tokoh sebenarnya.