Jika tidak silap Awang, inilah kali pertama pasukan negara berada pada tahap tertinggi dalam arena antarabangsa untuk tempoh hampir tiga dekad. 

Persembahan skuad B-23 ketika kalah  1-2 kepada gergasi Asia iaitu Korea Selatan juga tidak mengecewakan. Sebenarnya Malaysia berpeluang untuk melakukan kejutan sebagaimana dibuktikan ke atas Arab Saudi namun nasib tidak menyebelahi.

Ketika Jepun dibelasah Uzbekistan 4-0, Malaysia sekadar tewas tipis. Ia telah memecahkan batas psikologi  bahawa Malaysia boleh melonjak walaupun sudah sekian lama merudum. 

Awang berharap pasukan bimbingan Ong Kim Swee itu dapat dimantapkan lagi untuk mengambil alih sepenuhnya  pasukan utama negara, yang perlu dirombak habis-habisan. Jagalah dan gilaplah lagi kebolehan para pemain B-23. 

Walaupun prestasi pada kejohanan itu membuka harapan baharu namun realitinya perjalanan masih jauh dan usah dilanda sindrom selesa dan mudah seronok. Untuk benar-benar bangkit, banyak lagi perlu dilakukan. Selamat maju jaya.


Guan Eng panas 
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion, semakin panas. Selepas dua lelaki bergelar Datuk direman dan puluhan lagi dipanggil memberi keterangan, terdapat bukti-bukti baharu yang boleh dikaitkan dengan gejala rasuah. 

Sebagaimana tulisan minggu lalu, Awang boleh menjangkakan banyak yang tidak kena dan akhirnya satu demi satu terdedah. Paling mengejutkan SPRM mengesan terdapat ahli-ahli politik menerima imbuhan besar mencecah jutaan ringgit. Siapa mereka  pasti ramai mahu tahu. Maka cubaan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menegakkan benang basah kononnya projek tersebut dilaksanakan secara telus dan berwibawa, ternyata meleset. 

Perkembangan baharu ini satu lagi tamparan kepada ketua menteri berkenaan yang sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah. Baru-baru ini, Guan Eng menempelak media supaya berasa malu kerana kononnya didakwa membuat laporan yang tidak tepat berhubung isu tersebut sedangkan beliau yang sepatutnya malu besar.

Pertama, penjelasan beliau dilihat berbelit-belit dan dengan penuh ego suka menyalahkan media atas kegagalan sendiri. Kedua, kos projek itu termasuk kajian kebolehlaksanaan adalah tidak masuk akal iaitu suatu penghinaan besar kepada rakyat.  

Ketiga, Guan Eng enggan bercuti atau meletakkan jawatan sementara kes rasuah dibicarakan di mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak atas prinsip akauntabiliti. Siapa yang sepatutnya lebih malu... melainkan beliau hadapi sindrom akut tebal muka yang sukar dirawat.


Bertegaslah...
Titah Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Ahmad Shah bahawa penerima darjah membawa gelaran di negeri itu  (yang menghadapi masalah akhlak, jenayah dan salah laku), diperkenan memulangkannya - adalah mesej yang jelas. 

Walaupun baginda dilihat berdiplomasi (seperti kata Menteri Besar Pahang,  Adnan Yaakob), sesiapa berkenaan yang terpalit, seharusnya lebih faham - pulangkan sahaja.

Titah Tengku Abdullah itu adalah reaksi kepada insiden pengarah dan pelakon Farid Kamil, 37, yang dihadapkan di  mahkamah atas dakwaan menampar anggota polis dan menendang orang awam di Balai Polis  Kota Damansara pada 11 Januari lepas, selain didapati positif dadah.

Kejadian itu tidak sampai sebulan selepas  beliau menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk. Sebelum ini seorang usahawan berusia 28, bergelar Datuk Seri turut menjadi perhatian ramai selepas menyerang anggota Rela di ibu negara. Kedua-dua kejadian dengan tingkah laku jelek itu dilihat turut mencemarkan institusi raja dan mengundang kemarahan serta kritikan masyarakat. 

Pada masa yang sama, apa yang menjadi harapan rakyat adalah perlunya penilaian lebih ketat dalam penganugerahan darjah kebesaran. Juga tindakan tegas sekiranya perlu meliputi menarik balik gelaran, menyenarai hitam dan menegur mereka yang terbabit. Kegagalan untuk berbuat demikian akan memberi mesej yang salah dan mendedahkan istana kepada  tohmahan, yang seharusnya dielakkan. 

Bagi memelihara kemurniaan institusi raja dan agar dipandang tinggi oleh masyarakat maka mulai sekarang - bertegaslah. 


Hina raja - ancaman
Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar tidak boleh dibiarkan begitu sahaja walaupun telah memohon maaf kerana menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Memandangkan laporan polis telah dibuat, beliau perlu disiasat selain memohon maaf secara rasmi kepada baginda. Mahfuz perlu lebih matang dan mesti  mengambil tanggungjawab penuh atas keterlanjurannya sendiri. 

Awang terkilan kerana pernyataan memohon maafnya baru-baru ini seolah-olah sambil lewa, tidak memperlihatkan kekesalan mendalam dan mengaitkan pula pihak lain. Seandainya aliran perbuatan menghina Raja-raja tidak dikekang dan permohonan maaf sekadar lepas batuk di tangga, Awang khuatir gejala itu akan lebih serius dan berleluasa. 

Apa yang dilakukan oleh Mahfuz menunjukkan seorang demi seorang pemimpin Pakatan Harapan memperlekehkan Raja-raja Melayu. Belum lagi berkuasa mentadbir negara sudah nampak sentimen berbahaya dan ancaman yang menggugat institusi Raja. Itu belum menyentuh DAP melantik Wan Ji sebagai penasihat agama Islam sedangkan beliau seorang yang anti-raja dan mahu melihat terhapusnya sistem beraja di negara ini.

Setakat ini DAP masih mempertahankan dan mengekalkan beliau, isyarat betapa parti itu perlukan orang sedemikian. 

Awang boleh hidu agenda terancang daripada banyak penjuru yang digerakkan oleh parti politik. Cubaan-cubaan kecil membawa asakan  besar. Sejauh mana kita respons akan menentukan benteng mempertahankan institusi raja itu kukuh atau rapuh.  Sebab itu isu menghina Raja tidak boleh diambil mudah yang padahnya umpama bom jangka menanti ledakan. 


Shafie dan Rela
Awang terganggu dengan kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd. Shafie Apdal yang memperlekehkan anggota Rela. 

Sebagai pemimpin, Shafie sewajarnya menghargai sumbangan Rela termasuk di Sabah dan bukan sebaliknya.  

Kata-kata beliau bahawa anggota Rela hanya tahu menjaga trafik bukan sahaja menghina pasukan itu bahkan menampakkan sentimen berbahaya yang dikhuatiri meracuni pemikiran rakyat. Rakaman video ucapan beliau berhubung kenyataannya itu membuktikan bagaimana pasukan keamanan itu dipersendakan bukan oleh musuh tetapi pemimpin dalam negara. 

Inilah masalah sebahagian pemimpin politik yang ghairah dan berapi-api berucap tanpa menjaga sensitiviti golongan yang sepatutnya diangkat martabatnya. Nasihat Awang, peranan pasukan seperti Rela tidak seharusnya dilihat daripada sudut yang negatif apatah lagi bagi tujuan politik. 

Di mana kematangan politik? Jika tidak mahu dan tidak tahu berterima kasih, lebih baik berdiam sahaja. 


Trump - media
Sebagai pengamal  media, Awang sekadar senyum apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Anugerah Berita Palsu.

Beberapa organisasi media yang tidak disenanginya dan kerap menjadi sasaran beliau menerima anugerah tersebut mengikut beberapa kategori.

Antaranya CNN, The New York Times dan The Washington Post. Inilah pertama kali dalam sejarah dunia ada ketua negara mewujudkan anugerah seumpama itu yang disifatkan menghina media. Apatah lagi ia berlaku di AS, yang kononnya dilabelkan sebagai juara demokrasi yang mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan media terbaik. 

Anugerah tersebut memburukkan permusuhan Trump dengan sebahagian media dan beliau nampaknya makin keras. Awang seperti tidak percaya Trump melayan media begitu ketika semua presiden terdahulu mempunyai pengurusan dan toleransi media yang baik. Trump seperti berundur ke belakang tetapi beliau tidak peduli implikasinya. 

Bagaimana mahu menjadikan AS kembali hebat sedangkan apa yang berlaku ini menjadi bahan persenda dunia. 


Impak Azman
Selepas perkembangan positif ekonomi negara yang diiktiraf badan-badan kewangan antarabangsa dan pengukuhan mata wang Ringgit, lonjakan keuntungan 84.7 peratus Khazanah Nasional Berhad  (Khazanah) menjadi satu khabar gembira. 

Khazanah mencatatkan keuntungan sebelum cukai (belum diaudit) kepada RM2.89 bilion bagi tahun 2017 berbanding RM1.57 bilion bagi tahun 2016.

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada Pengarah Urusan Khazanah, Azman Mokhtar dan barisan pengurusannya atas pencapaian tersebut. Azman membuktikan bahawa Khazanah di bawah teraju beliau mampu menangani cabaran malah memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara.  Teruskan kecemerlangan.


Bagunlah dari tidur...
Walaupun selalu dibangkitkan, isu iklan haram di ibu negara dan sekitar Lembah Klang terus berleluasa. Ribuan poster  yang ditampal  di merata-rata lokasi mencemarkan pemandangan dan menimbulkan isu kebersihan. 

Antara iklan paling popular adalah pinjaman wang oleh ceti haram atau ah long dan ‘ubat kuat’ untuk lelaki oleh ejen jualan. Inikah wajah Malaysia yang kita mahukan? Awang hairan di sebalik nombor telefon yang tertera pada poster, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak bertindak untuk mengesan dan mendakwa mereka.  Kelemahan penguatkuasaan termasuk oleh PBT adalah antara ‘penyakit’ utama di negara ini.

Sebab itu golongan berkenaan tidak gerun dengan PBT umpama harimau tanpa taring. Nasihat Awang, tolonglah bangkit daripada tidur yang lena.