Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ANALISIS MINGGUAN: MEMBUKA EPISOD BAHARU TRAGEDI MEMALI

Misteri Memali

Kekecohan dalam Forum Nothing To Hide 2.0 yang menyaksikan kegagalan Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan mengenai tragedi Memali dengan menyakinkan, membuka episod baharu kepada isu tersebut.
Ekoran forum itu, Pas mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap tragedi berdarah yang menggemparkan negara pada 19 November 1985. Sebanyak 14 orang awam dan empat anggota polis terkorban dalam pertempuran ketika polis cuba menahan Ibrahim Libya kerana didakwa mengancam keselamatan dan mengamalkan ajaran sesat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi kambing hitam dalam peristiwa Memali. Ketika itu, Musa adalah Menteri Dalam Negeri dan isu itu terus dipalitkan dengan beliau selama lebih 30 tahun sehingga terpaksa menjelaskan semuanya dalam buku Frankly Speaking.
Salah seorang anak mangsa Memali, Mohamad Zuhdi melalui Facebook pula melahirkan rasa sedih kerana Dr. Mahathir tidak pernah mengaku salah dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Awang berpendapat, memandangkan ia menjadi polemik baharu, melibatkan kepentingan awam dan banyak permintaan mahu tragedi Memali disiasat maka ia wajar dipenuhi. Dengan itu, Musa mahupun waris keluarga yang terbunuh boleh mendapat keadilan sementara tokoh-tokoh dan individu berkenaan masih hidup untuk dinilai penjelasan mereka.
Pada Awang, sudah sampai masanya episod tragedi Memali ditutup sama sekali supaya tidak berlarutan untuk puluhan tahun lagi. Biarlah RCI menjawab segala-galanya demi meleraikan apa sahaja misteri dan mencari kebenaran. Tiada apa yang perlu digundahkan.

Senjata makan tuan
Cubaan para pemimpin Pakatan Harapan terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengalihkan perhatian daripada isu pokok berhubung kekecohan Forum Nothing To Hide 2.0, tidak berjaya.
Ini termasuk menyalahkan pihak lain termasuk UMNO yang kononnya bertanggungjawab ke atas tercetusnya insiden memalukan itu.
Awang sekadar senyum kerana itu memang penyakit Pakatan Harapan tidak mahu mengaku kepincangan sendiri. Apabila makin banyak bukti terpampang menerusi laman sosial terutama pengakuan ahli-ahli Armada iaitu sayap pemuda PPBM, barulah pemimpin atasan mereka senyap.
Hakikatnya ia masalah dalaman parti berpunca daripada ahli-ahli PPBM yang terbuku rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan parti itu terutama persekongkolan dengan DAP.
Kegagalan Dr. Mahathir menjawab persoalan kritikal termasuk isu Memali dan isu akhlak Anwar Ibrahim memburukkan lagi keadaan dengan akhirnya selipar, botol air, kerusi dan suar berterbangan di dalam dewan.
Apa yang berlaku pada forum itu merosakkan lagi jenama PPBM, yang sebelum itu pun telah menyaksikan arus keluar ramai ahi parti. Ia menjelaskan lagi hakikat bahawa PPBM adalah parti yang paling lemah dan rapuh dalam Pakatan Harapan yang dikuasai oleh DAP. Itulah realiti.

 

Awang melihat keterujaan Dr. Mahathir untuk mengadakan Forum Nothing To Hide 2.0 bagi meraih kepentingan politik bertukar menjadi igauan buruk. Inilah yang dikatakan senjata makan tuan. Itupun banyak soalan belum sempat ditanya kepada beliau antaranya kekayaan keluarga serta anak-anaknya.
Kekecohan itu tentu menjadi iktibar  bernilai kepada Dr. Mahathir bahawa beliau makin menjadi liabiliti dan ditolak ahli PPBM. Kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang hadir pada forum tersebut, strategi mereka  untuk memperkuda Dr. Mahathir bagi menarik sokongan Melayu pada PRU-14 nampaknya tidak berhasil.
Politik Melayu berpaksi jati diri dan kesederhanaan, bukannya kebencian dan ekstremisme. Lagipun Mahathir yang dulu bukan lagi Dr. Mahathir yang sekarang dengan mencabul banyak prinsipnya. Beliau mengulangi kesilapan pendekatan politik Anwar yang tidak disenangi dan diyakini majoriti rakyat. Dengan kata lain, tidak elegan. Realiti politik juga sudah berubah.
Maka isu Dr. Mahathir dan perkembangan baharu ini menjadi petanda buruk buat Pakatan Harapan. Masa akan membuktikan.

Tabik malaysia
Hebat, gemilang dan membanggakan. Itulah rumusan Awang terhadap upacara perasmian Sukan Sea Ke-29 atau Kuala Lumpur 2017 malam tadi.
Berada di Stadium Bukit Jalil menyaksikan sendiri di depan mata upacara itu membuatkan Awang senyum puas terhadap kemampuan penganjuran bertaraf dunia. Inilah jenama Malaysia.
Kreativiti persembahan yang diadunkan dengan teknologi dan berbaur dengan semangat kesatuan ASEAN, patriotisme rakyat Malaysia dan semangat juang atlet negara - mencatatkan sejarah tersendiri buat negara. Budaya dan keunikan Malaysia terpamer dengan penuh yakin pada segmen persembahan.
Aura Kuala Lumpur 2017 ini akan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 pada 31 Ogos ini.
Tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana sentuhan dan kepemimpinannya telah memberi impak. Begitu juga kepada para pegawai kementerian, Majlis Olimpik Malaysia, persatuan sukan, para atlet, peserta persembahan, sukarelawan dan para pekerja atas penganjuran yang cemerlang.
Anda semua adalah sebahagian daripada kisah sukses Malaysia sebagaimana juga pencapaian barisan atlet yang memperoleh pingat buat negara. Semoga slogan 'Bangkit Bersam' bukan sahaja melonjakkan kecemerlangan Malaysia dalam Sukan Sea ini dan temasya antarabangsa lain malah dalam mengharungi apa sahaja cabaran buat negara.
Sudah tentu yang lebih membuatkan Awang teruja adalah sorakan padu dan bertenaga rakyat Malaysia sepanjang upacara di Stadium Bukit Jalil. Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak turut menerima sorakan penghargaan, mesej jelas buat semua dan juga betapa sukan mampu menyatukan kita.
Yang nyata, obor patriotisme rakyat Malaysia begitu menyerlah dan Awang bangga. Tabik Malaysia.

Alasan atau takut?
Keengganan kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Mohamed. Azmin Ali untuk melaksanakan Ikrar Bebas Integriti (IBR) menimbulkan persoalan. Ini menjadikan Selangor, ketinggalan setelah negeri-negeri lain berbuat demikian. Dakwaan kononnya kerajaan negeri itu mempunyai kaedah lebih baik untuk menangani rasuah dan salah guna kuasa, adalah sekadar alasan.
Tidak sukar mentafsir keengganan menandatangani dan lafaz IBR bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagai takut kepada komitmen memerangi rasuah secara lebih berkesan dan komprehensif. Buat malu rakyat negeri Selangor sahaja. Awang tertanya-tanya mengapa takut melainkan ada banyak yang tidak kena dan cuba disembunyikan. Inikah mentaliti pentadbiran negeri maju kononnya?

 

Isa dan Boon Poh

Hanya empat hari selepas exco kanan kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan dipercayai salah guna kuasa dalam isu kilang haram, negara digemparkan dengan kes melibatkan bekas Pengerusi Felda, Mohd. Isa Samad.
Isa, yang juga bekas Menteri Besar dan bekas Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) ditahan sebelum direman bagi siasatan salah guna kuasa dalam pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Siapa sangka Isa dibawa dengan memakai pakaian lokap dan tidur dalam tahanan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini merupakan satu lagi kes profil tinggi melibatkan jerung yang dibongkar oleh SPRM dan mendapat perhatian utama masyarakat.
Sejak SPRM diterajui oleh Ketua Pesuruhjaya, Dzulkifli Ahmad pada 1 Ogos tahun lalu, suruhanjaya itu agresif memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang telah mula memberi impak. Awang tidak berhajat mengulas panjang kerana tidak mahu dilihat mendahului proses siasatan dan Isa belum didakwa di mahkamah.
Namun hakikatnya, itulah nasib pemimpin dan selebriti di mana-mana negara sekalipun yang terdedah kepada perhatian berlebihan masyarakat dan media walaupun belum dibuktikan bersalah.
Apa pun penahanan Isa memberi mesej jelas bahawa SPRM tidak memilih bulu dalam tindakannya. Awang tertanya- tanya, selepas ini, siapa lagi  akan ditahan dan apakah melibatkan pemimpin dan nama besar?
 Dzulkifli sebelum ini menyatakan lebih ramai akan ditahan pada Ogos dan September ini. Dalam pada itu, Awang geleng kepala dengan reaksi ramai pemimpin DAP yang melemparkan tohmahan kepada SPRM malah menyalahkan kerajaan apabila Boon Poh ditahan.
 Berbeza dengan kes Isa, yang para pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka serta matang dengan menyerahkan kepada SPRM dan mahkamah.
Malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan mempertahan Boon Poh dalam kes salah guna kuasa membabitkan kilang haram melakukan pencemaran dahsyat, yang bersifat prejudis.
Apa makna Guan Eng dan barisan exconya menandatangani serta melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan 10 inisiatif tambahan, jika tindak-tanduk dan reaksi terhadap kes rasuah, sangat bercanggah dengan prinsip IBR?
Pada Awang, ia memalukan bagai ayam kokok berderai-derai ekor bergelumang najis.

Video Pilihan
Artikel Lain