Pendedahan surat arahan supaya Jawatankuasa Fatwa membincangkan semula fatwa berkaitan kalimah Allah tersebar di laman sosial.

Awang tidak terkejut kerana sudah banyak petunjuk sebelum ini yang memperlihatkan DAP menggugat dan mencabar kepentingan Islam.

Di negara Barat sekalipun, kerajaan dan pemerintah biasanya tidak menyentuh soal fatwa umat Islam walaupun mereka etnik minoriti.

Apa yang terdedah itu satu tamparan besar kepada Guan Eng yang menafikannya sebelum ini. Isu tersebut mengukuhkan lagi segala hujah pemimpin Pas tentang bahaya ancaman DAP kepada umat Islam.

Dalam pada itu, Awang tertarik dengan dakwaan Guan Eng bahawa Pas parti yang gagal dengan merujuk pelbagai isu di Kelantan seperti kelemahan urusan bantuan mangsa banjir, pengangguran dan pembalakan haram.

Dakwaan itu disanggah oleh para pemimpin Pas yang mendedahkan pula banyak kepincangan kepimpinan DAP di Pulau Pinang. Ini termasuk nasib rakyat miskin terutama orang Melayu yang dipinggirkan secara sistematik.

Di sebalik Guan Eng memperlekehkan kepimpinan Pas, Awang amati kaum Cina di Kelantan tetap selesa memilih hidup di negeri itu tanpa perlu berpindah ke Pulau Pinang. Ada satu lagi kelebihan Pas. Sistem pemilihan parti itu jauh lebih demokratik dan telus berbanding DAP.

Sudah dua kali di bawah era Guan Eng, pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC ) DAP termasuk jawatan Setiausaha Agung didapati tidak sah ekoran aduan ahli-ahli terhadap penyelewengan undi.

 Ia bermakna parti itu beroperasi dan memikul jawatan dalam kerajaan dengan tiada asas demokrasi seumpama organisasi haram. Lebih- lebih lagi Guan Eng terpalit pendakwaan rasuah di mahkamah dan hadapi isu integriti yang serius.

 Itu belum menyentuh kontroversi projek-projek mega yang mendapat bantahan ramai. Jadi siapa yang sebenarnya gagal?
 

MUSUH TRUMP

Slogan Donald Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat (AS) kembali hebat kini bukan setakat dipersoalkan malah dipersendakan.

Tidak sampai sebulan bergelar Presiden AS, banyak tindak-tanduk, kenyataan, keputusan dan pendiriannya yang mencetuskan kontroversi mahupun bantahan.

Tidak pernah dalam sejarah moden, AS menghadapi situasi yang janggal dan paling celaru seolah-olah kualiti dan nilai kepimpinan presidennya berundur ke belakang. Gelombang bantahan terhadap Trump meluas di seluruh dunia, menyebabkan imej AS merudum.

Demokrasi, hak bersuara dan kebebasan yang AS mendabik dada menjuarainya kini diperlekehkan oleh warga dunia termasuk penduduk AS sendiri. Standard pengurusan kuasa besar itu tidak lagi dilihat berada di paras tinggi? Trump sendiri menjadi bahan senda lawak, yang tidak pernah dialami oleh presiden-presiden terdahulu.

Tidak perlu Awang perincikan langkah-langkah sumbang Trump, semua sudah tahu dan boleh menilai sendiri. Banyak yang tidak kena.

Persoalannya apa lagi kekalutan, drama dan kejutan daripada Trump? Juga mampukah beliau bertahan lama di sebalik cabaran yang makin kompleks? Awang lihat musuhnya makin ramai selain musuhnya yang sebenar iaitu dirinya sendiri.


ONO DAN BAHAS

Awang tertarik dengan laporan portal TV14 tentang seorang pelajar Jepun, Masaya Ono, 21, yang terkejut kerana ramai warga Malaysia tidak fasih bertutur Bahasa Kebangsaan.

Ono, pelajar Universiti Bunkyo, yang menjadi peserta pertukaran pelajar di Malaysia, membuat komennya itu berdasarkan pengalamannya berinteraksi dengan rakyat negara ini.

Baginya, ia sesuatu yang pelik ramai bukan Melayu tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan berbanding di negaranya.

Menurut Ono, pekerja asing di negara ini seperti dari Bangladesh lebih fasih bertutur bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan. Sebagai pelajar asing yang tertarik dengan budaya Malaysia, dia menyifatkan bahasa Melayu agak mudah untuk dipelajari asalkan ada kemahuan.

Hasilnya, Ono sudah boleh bertutur bahasa Melayu walaupun kurang lancar dan pelat. Sebenarnya bukan Ono sahaja yang terkejut dan musykil situasi di Malaysia, rata-rata pelancong asing dan ekspatriat juga merasakan begitu. Tidak seperti di negara lain di rantau ini seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, Bahasa Kebangsaan didaulatkan oleh rakyatnya.

Di Indonesia, orang Cina yang merupakan etnik minoriti di negara itu menguasai Bahasa Kebangsaannya dengan begitu baik. Kaum Cina di sana berbangga dengan bahasa Indonesia dan terbukti tidak terhakis identiti kecinaan mereka. Maka apa yang disuarakan oleh Ono menuntut renungan rakyat Malaysia.

Walaupun hampir 60 tahun merdeka, perjalanan kita untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan masih terlalu jauh.


KJ, TMJ DAN ANNUAR?

Bahang persaingan bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) makin panas.

Nampaknya pemilik Kelab JDT, Tunku Mahkota Johor ( TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan mendapat laluan mudah untuk menerajui FAM.

TMJ berdepan dengan pencalonan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Annuar Musa selain Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Aseh Che Mat.

Jika KJ tidak mengesahkan pencalonannya yang tarikh tutup berakhir esok, TMJ akan pasti dicabar oleh Annuar dalam pertandingan satu lawan satu (memandangkan Aseh dalam kem TMJ). Apatah lagi selepas disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mara ekoran pendedahan TMJ berhubung isu penajaan ke atas pasukan Kelantan, Annuar pasti bertindak balas demi apa yang dianggap maruahnya.

Harimau yang luka usah diambil mudah. Dalam tempoh berkempen sehingga pemilihan sebenar pada 25 Mac nanti, Annuar dijangka ambil kesempatan itu untuk lebih lantang menyerang balas. Bersediakah TMJ hadapi situasi itu - peperangan terbuka - atas nama politik sukan? Apa pun, atas kertas Khairy dan TMJ adalah calon utama.

Awang lihat Khairy boleh menjadi sandaran untuk setidak-tidaknya menstabilkan FAM bagi beberapa tahun ini. Apabila KJ menyatakan beliau menunggu pengesahan pencalonan daripada TMJ sebelum membuat keputusan bermakna beliau masih membuka harapan kepada pelbagai pihak yang mahukannya menjadi Presiden FAM. Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM. Awang percaya KJ seorang yang lasak dan sukakan cabaran, sama juga dengan TMJ yang sudah lama mahu melakukan pembaharuan ke atas FAM.

Bagi TMJ, inilah peluang terbaik menerajui FAM selepas tewas dalam pemilihan lepas. Dengan kata lain, ia adalah misi besar TMJ apatah lagi dengan persiapan rapi dan lobi yang dibuat. Maka menarik untuk diketahui apa kesudahannya nanti. Beranikah KJ, berjayakah TMJ dan terlunaskah 'dendam' Annuar?
 

TUGAS SIAPA?

Apa sudah jadi dengan pihak berkuasa di Pahang yang tidak proaktif dalam menangani isu tinggalan lombong bauksit di daerah Kuantan.

Di sebalik kejadian yang meragut tiga nyawa kanak-kanak di Taman Sungai Karang baru-baru ini, masih banyak kolam terbiar yang terdedah tanpa ditimbus atau dipagar.

Persoalannya, siapa harus bertanggungjawab dan kenapa pihak berkuasa berdiam? Awang tidak mahu menuding jari tetapi penduduk Pahang tahu ini sebenarnya tugas siapa ...


KISAH ADAM

Selepas lama terdedah memiliki kekayaan secara luar biasa, Ketua Angkatan Muda PKR Cabang Ampang, Adam Rosly Abdullah akhirnya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  

Adam, 29, yang bergelar Datuk, didakwa memiliki beberapa rumah termasuk banglo ala Disneyland (dianggarkan bernilai RM3 juta hingga RM4 juta) dan beberapa kereta mewah meskipun sebelum itu dikatakan membesar di kawasan setinggan.

Pada usia yang muda itu, sumber kekayaan Adam dipersoalkan, yang ramai netizen mahukan dia disiasat. Tiada pula terdengar cerita yang Adam menang loteri atau terjumpa harta karun dalam gua atau dasar laut. Adam tentu terpaksa berkongsi kisah sebenar kepada SPRM. Misteri bakal terbongkar?
 

NILAI ZAID...

Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh DAP dengan penyertaan Zaid Ibrahim ke dalam parti itu. Reputasi beliau sebagai Melayu liberal, gaya hidup Barat, rapuh jati diri selain suka lompat parti (sebelum ini UMNO, PKR dan Kita ) sudah menjadi jenama kuat beliau. Masyarakat Melayu tidak akan menangis Zaid sertai DAP, beliau bukannya aset sebaliknya liabiliti.

Beliau juga bukannya muda lagi, sudah berusia 66 tahun. Malah Awang ramal beliau tidak akan bertahan lama. Awal-awal lagi Zaid sudah dikritik hebat oleh pemimpin DAP, Gobind Singh kerana menyifatkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai ketua umum pakatan pembangkang, bukannya Anwar Ibrahim.

Awang mahu lihat Zaid diperkudakan oleh DAP sepuas-puasnya. Berdasarkan pengakuan ramai pemimpin Melayu yang telah meninggalkan parti, nilai orang Melayu dalam DAP cuma 20 sen. Tunggulah masanya akan tiba.