Satu demi satu bukti muncul bahawa Iraq menjadi mangsa agenda Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya. Awang sedih muslihat dan penipuan membawa kemusnahan kepada sebuah negara Islam.

Pendedahan ejen CIA, John Nixon iaitu orang yang bertanggungjawab menyoal siasat Presiden Iraq, Saddam Hussein baru-baru ini wajar dijadikan iktibar buat semua.

Rumusannya tiada senjata pemusnah besar-besaran yang dijadikan alasan oleh Presiden George W. Bush untuk menyerang Iraq pada 20 Mac 2003.

Pengakuan Nixon dilaporkan oleh Mail Online dan cerita penuh dalam buku Debriefing The President: The Interrogation Of Saddam Hussein yang diterbitkan pada Disember.

Tidak lama dulu, diplomat Britain Craig Murray membidas kerajaan negara itu kerana bersubahat memusnahkan Iraq. "Ia bukan kesilapan tetapi penipuan,'' katanya.

Murray yang juga seorang Duta dan ketua unit pemantauan senjata pemusnah besar-besaran, telah meneliti semua dokumen berkaitan dan ternyata Britain berbohong.

Di sebalik tindakan tidak berperikemanusiaan yang mengakibatkan pembunuhan orang awam serta Iraq musnah teruk, AS dan Britain tidak memohon maaf. Keganasan di Iraq berterusan sampai hari ini dan rakyat terus merana, berbeza ketika era Saddam.

Apa yang menimpa Iraq adalah pengajaran yang sangat bernilai kepada umat Islam. Waspadalah agenda kuasa besar. Sebab itu, Awang sekadar mencebik bibir apabila AS galak menasihatkan dunia sedangkan negara itu tidak mempunyai asas moral seperti kata Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. Bagai ayam berkokok derai-derai ekor bergelumang najis.

 

Lebih bahaya...

Antara berita luar negara yang menarik perhatian Awang adalah kisah seorang Datuk Bandar di Perancis diheret ke mahkamah kerana menyebarkan ulasan berbentuk fitnah dan rasis.

Robert Menard akan didakwa di Mahkamah Paris pada Mac tahun depan kerana menghasut sehingga membawa kepada kebencian dan diskriminasi kaum. Beliau antara lain mempersoalkan semakin ramai pelajar Islam dan mendakwa populasi Kristian sudah digantikan dengan populasi Islam di wilayah tertentu.

Komen Menard tidak mengejutkan kerana beliau merupakan sekutu Parti Barisan Kebangsaan Perancis yang anti-pendatang. Namun Awang teruja dengan ketegasan pihak berkuasa Perancis dalam membendung sentimen kebencian kaum dan agama secara keterlaluan.

Maka mesej buat pihak berkuasa di Malaysia, jangan apologetik mendepani isu ancaman persepsi, lebih-lebih lagi sebagai negara majmuk. Menard adalah cerminan kepada keganasan persepsi, yang ancaman itu jauh lebih berbahaya.

 

Trump dan Islam

Awang terganggu dengan komen terbaru Donald Trump, yang akan memulakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Januari depan.

Beliau mengaitkan serangan pengganas Berlin, Jerman dan pembunuhan Duta Rusia di Turki baru-baru ini sebagai kononnya membuktikan bahawa rancangan beliau (ketika kempen pilihan raya Presiden) bagi menghalang kemasukan orang Islam ke AS, adalah betul.

Atas sebab itu, Trump membayangkan beliau akan meneruskan hasratnya. Awang geleng kepala dengan reaksi tersebut, yang dangkal dan tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Adalah tidak wajar seorang pemimpin kuasa besar terus bermain dengan sentimen sebegitu, yang tidak akan membantu apa-apa pun. Keganasan adalah isu global yang merentasi agama dan kaum. Jika persepsi mahu dijadikan sandaran, Trump juga tentu sedar bahawa AS dilabel negara pengganas oleh banyak pihak.

Sepatutnya beliau memulakan era kepimpinannya dengan memenangi hati warga dunia tanpa mengira agama. Selama ini, umat Islam dan negara-negara Islam banyak memberikan sokongan kepada AS sehingga menyumbang kejayaan negara itu dalam Perang Dingin sampailah sekarang. Apakah selepas semua itu sudah dicapai, umat Islam mahu dikhianati pula?

 

SELAMATKAN FAS

Selangor antara beberapa pasukan bola sepak negeri yang berdepan dengan masalah kewangan yang hangat diperkatakan sekarang.

Kelmarin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan reaksi pertamanya berkaitan kemelut itu.

Baginda mahu barisan Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dirombak termasuk orang lama diminta berundur secara terhormat.

Rombakan itu antara lain bagi menyuntik pembaharuan, tidak bergantung kepada dana kerajaan negeri dan bebas daripada unsur politik.

Dalam hubungan ini, Awang mencadangkan Presiden FAS yang kini disandang oleh Menteri Besar, Azmin Ali turut digantikan memandangkan beliau antara punca permasalahan. Bagaimana FAS mahu cemerlang jika ada presiden yang lesu, banyak isu tidak dapat diselesaikan dan terlebih politik?

FAS wajar diterajui seorang presiden yang dinamik, bebas politik dan lebih efisien selaras dengan sejarah gemilang FAS. Selangor menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali dan beberapa legenda negeri itu terus dikenang antaranya Allahyarham Mokhtar Dahari.

Sebagaimana komentar Awang pada September lepas, sekali lagi disarankan agar Tengku Amir sendiri memimpin FAS berdasarkan potensi dan ciri-ciri kepimpinan yang boleh dimanfaatkan FAS.

Itu juga harapan rakyat Selangor, demi menyelamatkan maruah bola sepak negeri itu.

 

Air dan judi

Ini juga hal Selangor. Untuk kesekian kalinya penduduk Lembah Klang menghadapi masalah bekalan air terputus akibat kelemahan pentadbiran Menteri Besar, Azmin Ali.

Dalam negara khususnya di Lembah Klang menjelang mencapai status negara maju, masalah ketiadaan air terus berlaku dengan begitu kerap seolah-olah kita dalam lingkungan negara mundur.

Tahun lalu sahaja, menurut statistik Persatuan Air Malaysia terdapat 83,729 insiden gangguan air di Selangor. Ternyata ia menjejaskan rakyat selain memalukan negara di kacamata diplomat, pelabur dan ekspatriat. Jumlah itu separuh daripada insiden gangguan secara keseluruhan di negeri-negeri lain. Itu belum mengambil kira gangguan bekalan air pada tahun ini sahaja, yang menyakitkan hati.

Awang tidak sanggup lagi melihat kesengsaraan rakyat mengangkut air dan menghadapi pelbagai masalah berkaitan. Memandangkan kegagalan kerajaan negeri dan Syabas, sudah ada seruan perkhidmatan air di Lembah Klang, dimiliknegarakan, yang Awang setuju.

Tidak boleh kompromi lagi sebagaimana kegagalan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor menangani premis judi haram. Hampir 1,000 premis haram dan tidak berlesen beroperasi secara berleluasa di negeri itu. Awang melihat ini bukan lagi soal kelemahan semata-mata. Mungkin lebih daripada itu, soal korup yang kronik?

 

LGE, media

Di sebalik liputan meluas dan sokongan media Cina kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selama ini, rupa-rupanya itu masih tidak memadai.

Guan Eng mempersoalkan akhbar Sin Chew Daily kerana tidak menyiarkan kenyataan tertentu lalu dijawab oleh syarikat media berkenaan bahawa ia antara lain bergantung kepada nilai berita.

Sebenarnya isu Guan Eng memboikot, menghentam, menyaman dan mempersoalkan media bukan baharu.

Banyak organisasi media - bahasa Melayu, Cina dan Inggeris mahupun stesen televisyen - sudah lali dengan sikapnya seakan-akan suka membuli media.

Pada Awang, Guan Eng seorang yang hipokrit dalam soal keterbukaan. Sebelum menjadi Ketua Menteri, beliau menjanjikan kebebasan media tetapi hakikatnya rekod beliau teruk berkaitan media sejak mentadbir Pulau Pinang. Memalukan.

Awang mahu mencadangkan Guan Eng menjalani kursus singkat mengenai kefahaman media. Awang boleh ambil satu slot untuk ceramah 30 minit secara percuma sekadar bantu beliau.

 

Maafkan Dr. M?

Dr. Mahathir Mohamad menyatakan minggu ini beliau sudah boleh memaafkan Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim iaitu musuh politik utamanya selama bertahun-tahun. Katanya, perasaan terhadap kedua-duanya hanya sedikit dan telah dilupakan. 

Awang fikir rakyat Malaysia sudah tidak ambil kisah sejauh mana Mahathir mahu melakukan pusingan U dalam politik. Ini kerana harapan dan rasa hormat majoriti rakyat Malaysia terutama orang Melayu kepadanya terhakis teruk.

Apatah lagi beliau telah memasuki zon prinsip sifar kerana matlamat menghalalkan cara. Politik Malaysia bukan soal perasaan Mahathir sahaja, juga soal perasaan rakyat, para penyokong dan perjuangan selama ini yang dikhianatinya. Sediakah beliau memohon maaf dan dimaafkan?