Syukur dan tahniah. Itulah reaksi Awang terhadap pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT)  laluan Sungai Buloh - Kajang.  Perkhidmatan laluan tersebut yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, Khamis lalu menandakan bermulanya fasa baharu dalam sistem pengangkutan awam di ibu negara. Sejarah tercatat lagi, kejayaan projek itu meningkatkan status pemodenan pengangkutan awam demi kemudahan rakyat.
Tahniah kepada Najib dan semua pihak yang terlibat khususnya MRT Corp. atas kejayaan tersebut yang siap mengikut jadual dan tidak melebihi bajet. Najib membuktikan agenda pembangunan yang beliau beri penekanan termasuk sektor pengangkutan awam tidak terjejas sedikitpun di sebalik serangan, tekanan dan tohmahan berterusan para pemimpin pembangkang. Beliau sendiri memberikan perhatian khusus sepanjang lima tahun pelaksanaan projek itu. Lebih-lebih lagi kerajaan telah berjaya menjimatkan RM2 bilion iaitu prestasi pembinaan terbaik. Sebelum ini projek Tambahan LRT1 (Mula operasi Jun 2016) dan Tambahan LRT 2 (Oktober 2015) di bawah era Najib juga siap mengikut jadual dan bajet yang diperuntukkan.
Para pemerhati sudah mula membuat perbandingan dengan LRT 1 (Putra-Kelana Jaya, mula operasi 1998),  LRT 2 (Star -Ampang, 1996 ) dan KL Monorail (2003) yang kerajaan terpaksa bail-out kerana bangkrap selepas diswastakan di zaman Dr. Mahathir Mohamad, kalau tidak silap Awang. Najib telah membuktikan masalah itu tidak berlaku dalam projek MRT 1, Tambahan LRT 1 dan Tambahan LRT 2.  Inilah yang dikatakan kepimpinan. Pemimpin bukan sahaja dinilai dengan kata-kata tetapi keupayaan melakukan transformasi biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Kini tekanan dan keluh kesah para pengguna jalan raya yang berdepan masalah kesesakan jalan yang teruk di ibu negara, telah dapat dikurangkan. Sejak kelmarin, orang ramai telah memberikan reaksi yang positif semasa mencuba perkhidmatan MRT yang ditawarkan percuma selama sebulan.  Impak daripada projek MRT1 bukan kecil apatah lagi ia juga adalah soal keyakinan dan pencapaian. Sama ada suka atau tidak, itulah hakikatnya.

RM 100 sahajakah?

Adalah mengejutkan apabila  satu demi satu kes penghinaan terhadap penjawat awam terutama anggota penguatkuasa, hanya dikenakan hukuman ringan oleh mahkamah.
Terbaru, seorang wanita Tan Yeoh Foong yang menulis perkataan kurang sopan iaitu 'babi' pada kertas saman yang diserahkan oleh polis trafik kepadanya, dikenakan denda RM100 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, Khamis lepas.
Awang macam tidak percaya dengan denda RM100 yang terlalu rendah sedangkan perlakuan tertuduh adalah amat serius. Hukuman seumpama itu hanya memberikan mesej yang salah dan mengelirukan kepada masyarakat umum. Tiada elemen gerun pada hukuman tersebut yang boleh mengundang lebih banyak kes sedemikian.
Bagaimanapun Awang lega apabila sehari kemudian Peguam Negara, Mohamad Apandi  Ali dalam reaksinya mahu kajian dilakukan terhadap hukuman denda maksimum sebanyak RM100 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336)  bagi kesalahan menggunakan perkataan tidak sopan.   
Maka wajarlah perubahan dan kajian dilakukan segera sebelum lebih banyak penghinaan berlaku atas kelemahan perundangan kita. Awang juga ingin mencadangkan supaya tertuduh berkenaan diwajibkan menjalani kaunseling oleh agensi berkenaan dan dijadikan bahan kajian. Apakah 'penyakit' sebenar - kurang kasih sayang ketika membesar, sememangnya biadap atau terlalu rasis?

NGO, DANA ASING

Kelmarin, 20 badan bukan kerajaan (NGO) telah dikenalpasti menerima dana asing yang dipercayai bertujuan untuk menggugat demokrasi di Malaysia.
Awang sangat berharap pihak polis dapat memperhebatkan lagi siasatan memandangkan ia adalah ancaman kepada keselamatan negara. Kita seharusnya belajar daripada peristiwa Arab Springs seperti di Mesir yang meletus setelah lama diresapi elemen asing menerusi dana kepada sebahagian NGOnya.
Jika tiada langkah drastik dan ke hadapan diambil, Awang menjangkakan lebih banyak NGO malah individu tertentu akan menerima dana asing secara licik  bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi. Dengan beberapa NGO mengaku menerima dana asing, itu pun selepas terdapat bukti kukuh melalui pendedahan pihak di luar negara, dipercayai banyak lagi NGO merahsiakan pembabitan mereka termasuk yang bertopengkan agama, hak asasi dan kebajikan. Cabarannya, apa lagi yang kita tidak tahu?

KISAH SAIFUL

Keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu lalu bahawa tidak berlaku salah laksana keadilan dalam rayuan kes liwat pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim ke atas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, adalah satu lagi petunjuk kebenaran yang tidak mampu dinafikan.
Dalam keputusan tersebut, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Anwar. Ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah kekal dan selamat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Anwar, 69, disabitkan kesalahan meliwat Mohd. Saiful di Kondomimium Desa Damansara Jalan Setiakasih, Bukit Damansara Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008, yang kes itu kemudian menggemparkan negara. Ia kes liwat kedua melibatkan pemimpin PKR itu.
Perkembangan terbaharu ini memberikan satu lagi tamparan besar kepada Anwar yang baru-baru ini memperhebatkan kempen bebaskan dirinya termasuk dalam mendapatkan simpati kuasa asing.
Turut menarik perhatian Awang adalah reaksi Saiful yang bersyukur atas keputusan itu, namun  beliau ada rintihan. "Apa yang menyedihkan saya, ada pihak serta beberapa tokoh yang selama ini saya sanjung turut sama berkempen untuk membebaskan beliau (Anwar).
"Mereka ini seakan tidak menghiraukan nasib dan perasaan saya selaku pengadu atau mangsa yang menuntut keadilan dalam kes ini. Ternyata pada mereka ini, kuasa dan survival politik lebih penting daripada keadilan seorang insan kerdil. Apa pun, saya anggap dan menerimanya sebagai ujian daripada Allah SWT buat diri saya agar saya terus istiqamah, sabar dan tabah.''
Awang bersimpati dengan apa yang dialami oleh Saiful. Tekanan yang beliau sekeluarga hadapi selama lapan tahun cukup luar biasa. Perbicaraan yang panjang, sentiasa ditohmah, dihina dan ditekan agar menarik balik dakwaan - adalah dugaan yang berat dalam mendapatkan pembelaan.
Malah selepas Saiful dua kali melakukan sumpah laknat di masjid termasuk di Mekah (Anwar enggan berbuat demikian), beliau tetap diasak seolah-olah beliau penjenayah seksual sementara bekas majikannya itu pula mangsa.
Akhirnya - biarpun di sebalik tekanan Anwar dan pembangkang - mahkamah telah mengambil keputusan  yang adil berasaskan kebenaran. Keadilan bukan sahaja untuk pemimpin dan tokoh berpengaruh, juga buat insan kerdil. Doa Saiful termakbul,  syukur. Yang hak mengatasi yang batil.

TUNKU AZIZ...

Dalam satu perbincangan melibatkan sekumpulan ahli akademik, Awang ditanya pendapat tentang  Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim. Tanpa teragak-agak, Awang memberikan perspektif mengenai beliau. Seorang yang merendah diri,  tajam pemikiran,  berintegriti dan berani menegakkan kebenaran biarpun bersendirian.  
Sudah terbukti Tunku Aziz tidak gentar mendedahkan pelbagai kepincangan dalam DAP, yang suatu ketika beliau pernah dilantik menjadi pengerusi parti tersebut.  Setelah meninggalkan DAP,  beliau terus bersuara sampai hari ini agar rakyat  Malaysia khususnya orang Melayu tidak termakan muslihat parti rasis itu yang mempunyai agenda yang berbahaya. Sebab itu, Awang boleh faham jika DAP dan sekutunya melihat Tunku Aziz sebagai ancaman lalu menyerang beliau sama ada secara langsung mahupun tidak langsung namun beliau tidak goyah.
Terbaru, beliau turut ditohmah dan dijadikan kambing hitam oleh pihak dalam koridor kuasa (Kerajaan Pusat) atas motif tertentu. Aneh, orang yang mengambil risiko mempertahankan kepimpinan negara dalam situasi mencabar, dengan mudah boleh menjadi mangsa wayang politik. Biarpun disalahertikan,  Awang tetap melihat Tunku Aziz dengan reputasi yang tinggi. Mesejnya, kita memerlukan lebih ramai tokoh seperti beliau. Tunku Aziz adalah aset, bukan liabiliti.     
 
TABIK HARITH
 
Awang tidak mahu melepaskan kesempatan mengucapkan tahniah kepada Harith Iskander atas kejayaannya muncul sebagai juara pertandingan individu paling lucu di dunia (Laugh Factory Funniest Person in the World (LFF-PITW) di Finland, baru-baru ini. Kejayaan tersebut menceriakan rakyat Malaysia. Harith mencatatkan sejarah buat dirinya dan juga negara. Siapa menduga selama ini, individu paling lucu adalah dari Malaysia. Beliau membuktikan slogan Malaysia Boleh ada nilainya.
Awang tumpang bangga pencapaian Harith yang telah menjulang nama negara di persada antarabangsa. Dalam dunia yang  makin kompleks cabarannya dan sesiapa pun mudah dilanda tekanan, persembahan jenaka termasuk komediri (stand-up comedy) menyuntik kesegaran pada jiwa manusia yang sentiasa dahagakan kebahagiaan.
Lebih istimewa beliau mempromosi elemen keunikan  dan penyatuan rakyat Malaysia dalam tema persembahan sepanjang kariernya. Begitu juga semasa pertandingan tersebut - itulah mesejnya kepada dunia. Terima kasih Harith kerana menaikkan imej Malaysia dengan bakat dan jati dirinya.  Awang tabik.