Tulisan Awang minggu lalu dalam ruangan ini berhubung pemberian bisnes dan kontrak kepada syarikat-syarikat dan usahawan yang menaja serta menyokong perhimpunan haram Bersih 5.0 mendapat reaksi yang sangat positif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan tampil dengan kenyataan tegas. Pertama kali seorang pemimpin kerajaan respons dengan berorientasikan tindakan. Menurut beliau, Unit Perancang Ekonomi (EP) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan mengenal pasti syarikat atau individu terbabit untuk disenarai hitamkan.

Sudah lama majoriti rakyat yang cintakan keamanan mahu penganjur Bersih 'diajar' dalam erti kata sebenar. Selama ini, sudah masuk lima kali perhimpunan Bersih, kerajaan hanya memberi peringatan tanpa tindakan sedangkan ancaman yang dibawa oleh perhimpunan itu besar mudaratnya kepada negara. Seperti yang Awang nyatakan minggu lalu, keuntungan daripada kontrak dan bisnes kerajaan digunakan sebahagiannya untuk menaja Bersih, yang bertujuan menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi ala Arab Springs. Ia sekali lagi akan membuka kepada campur tangan pihak asing, yang itu antara agenda yang tidak pernah malap.

Akhirnya kerajaan sendiri secara tidak langsung memperkasakan pihak yang salah iaitu penganjur Bersih. Maka Awang ucapkan tahniah kepada Rahman atas keberanian dan keyakinan beliau untuk membetulkan keadaan dan bagi mengelak kerajaan terus memewahkan pihak yang salah. Sememangnya usaha menangani ancaman Bersih yang dikuasai oleh pembangkang terutama DAP, menuntut dimensi baharu dan lebih efisien.

Dalam pada itu, Awang menerima banyak maklum balas yang mahukan kerajaan turut menyenaraihitamkan firma guaman yang menaja dan menyokong Bersih. Firma-firma guaman ini tanpa malu melobi kuat bisnes daripada kerajaan di sebalik melemparkan pelbagai tohmahan antaranya kerajaan zalim, tiada demokrasi, tidak telus dan perlu diguling.

Anehnya, Awang dapat tahu sebahagian daripada firma guaman berkenaan mendapat banyak bisnes daripada pelbagai kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Lebih aneh dan menyedihkan, firma-firma guaman yang menyokong kerajaan dan sentiasa mendokong Perlembagaan lebih-lebih lagi dalam landskap politik baharu yang mencabar, terpinggir.

Sudahlah firma-firma guaman yang antikerajaan monopoli bisnes dalam sektor swasta, bisnes berkaitan kerajaan juga mereka lebih ke hadapan kerana banyak peluang yang diperoleh tanpa kita memeriksa siapa sebenarnya mereka. Di mana silapnya?

 

Pribumi , Perkasa

Seperti yang Awang jangka, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bergelut dengan banyak isu dalaman. Antaranya, peletakan jawatan Khairuddin Abu Hassan secara serta-merta, yang mengundang banyak spekulasi. Dengan segala macam yang beliau lakukan untuk menyerang kerajaan dan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, 'ayam sabung' Dr. Mahathir Mohamad ini pun, keluar parti. Khairuddin memilih untuk bergerak sendiri tanpa Parti Pribumi, yang beliau antara penggerak penubuhannya di peringkat awal.

Bukan mudah untuk menubuhkan parti baharu. Nama Dr. Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir tidak mampu membawa tarikan termasuk kepada golongan muda. Tiada faktor wow. Senario telah berubah dan itulah realitinya. Awang melihat jika Parti Pribumi terus sekadar kecil dan picisan, masa depannya sudah boleh dijangka. Banyak petunjuk ke arah itu, antaranya pendaftaran keahlian yang dingin dan jauh daripada menepati sasaran walaupun di sebalik gembar-gembur.

Perkembangan ini meresahkan sehingga usaha dilakukan secara agresif untuk menyerapkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa. Bagaimanapun difahamkan, Presidennya, Ibrahim Ali dan majoriti Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa menolak pelawaan untuk menyertai Parti Pribumi. Mesej itu telah disampaikan oleh Ibrahim dan Perkasa dalam pertemuan dengan Dr. Mahathir, yang rasa terpukul.

Ternyata pengaruh Perkasa sebagai NGO Melayu akar umbi amat diperlukan oleh Parti Pribumi. Awang tabik kepada Ibrahim dan Perkasa yang konsisten dalam pendirian menolak sebarang kerjasama dengan DAP, yang dianggap parti paling rasis di negara ini. Perkasa tetap Perkasa - tidak termakan muslihat parti itu. Mesej yang jelas dan semboyan telah mulai berbunyi.

 

Jenayah seksual

Majalah Time terbitan (31 Oktober 2016) memilih kisah pembaca berita Gretchen Carlson, 50, tajuk utama majalah itu - simbol perjuangan melawan gangguan seksual ke atas wanita.

Carlson, bekas ratu cantik, pernah berkhidmat di beberapa stesen televisyen utama di Amerika Syarikat (AS) termasuk Fox News Channel dari 2005 hingga 2013. Beliau kemudian mengumumkan berundur untuk melancarkan program televisyennya sendiri The Real Story with Gretchen Carlson. Kontrak Carlson bersama Fox News tamat pada 23 Jun 2016. Pada 6 Julai lalu, beliau memfailkan tuntutan saman terhadap bekas CEO Fox News, Roger Ailes atas dakwaan salah laku seksual.

Selepas itu, berpuluh-puluh wanita lain tampil menuduh Alies dengan dakwaan yang sama sehingga akhirnya Ailes meletakkan jawatan selepas ditekan banyak pihak.

Perbicaraan membabitkan beliau, turut menyaksikan dia diusir daripada syarikat yang diasaskannya sendiri pada 20 tahun lalu. Ailes sebelum itu menafikan semua tuduhan. Pada September 2016, 21st Century Fox Corporation (syarikat induk Fox News), menganugerahkan saman berjumlah AS$20 juta (RM83.68 juta) kepada Carlson selain mengemukakan permohonan maaf. Carlson memenangi kes itu berdasarkan bukti-bukti rakaman salah laku seksual majikannya itu yang dirakamkan antara 2014 dan 2015 menggunakan telefon pintar iPhone miliknya.

Ekoran kejayaan itu, wanita tersebut berazam untuk memperhebatkan perjuangannya dalam isu melawan gangguan seksual. Di negara Barat terutama AS, gangguan seksual adalah dianggap jenayah serius dan pelakunya dicela oleh masyarakat.

Awang paparkan kisah ini untuk renungan bersama. Di Malaysia, gangguan seksual semakin meningkat sama ada yang dilaporkan mahupun tidak - termasuklah melibatkan orang kenamaan.

Awang terganggu dengan laporan seorang bekas menteri Kabinet yang kerap melakukan gangguan seksual ketika menyandang jawatan tersebut, yang melibatkan beberapa petugas wanita. Mengambil kesempatan ke atas orang bawahannya adalah sangat tidak terhormat.

Jika benar, skandal tersebut amat serius dan wajar dibongkar. Ia bukan sahaja soal menghina maruah wanita malah tabiat buruk atau penyakit kepada jenayah seksual - yang tidak boleh dibiarkan. Pelakunya mesti bertanggungjawab seperti juga mesej berani daripada Carlson.

 

Iktibar 1

Tahniah kepada polis atas kejayaan menahan pengasas dan beberapa individu yang menjalankan skim cepat kaya Islamic Hotel (IH) sejak awal minggu ini.

Penipuan skim tersebut yang berselindung atas nama perniagaan pajakan hotel di Mekah, mengakibatkan 150,000 pelabur mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM450 juta. Pada Jun lalu, Awang membayangkan tentang skim IH yang bagai bom jangka menanti ledakan. Kini ia terbukti skim itu runtuh, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

Awang berharap sesiapa yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah sebagai iktibar buat semua. Ini jenayah komersial yang amat serius apatah lagi menggunakan jenama Islam untuk menipu. Kepada rakyat Malaysia, cukup dan cukuplah percaya kepada skim cepat kaya seumpama itu. Berapa ramai lagi harus jadi mangsa dan tidak serik-serikkah kita?

 

Iktibar 2

Satu lagi pengajaran besar adalah ekoran tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru yang mengorbankan enam nyawa. Takziah kepada keluarga kesemua mangsa.

Tragedi tersebut menuntut penilaian semula tahap keselamatan di hospital-hospital awam, tidak kira bangunan lama atau baharu. Lebih daripada itu adalah soal budaya keselamatan dan persediaan hadapi risiko tragedi atau bencana.

Budaya keselamatan ini seperti diabaikan. Paling ketara adalah latihan kecemasan kebakaran di premis-premis awam dan swasta. Ingatkah anda bila kali terakhir ia dilakukan?

 

Iktibar 3

Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang mempersoalkan pemberian banyak imbuhan kepada penjawat awam dalam Bajet 2017, tidaklah mengejutkan.

DAP termasuk beliau mempunyai rekod yang boleh ditafsir sebagai sangat tidak mesra kepada usaha memperkasa penjawat awam. Berdosakah memberi imbuhan yang setimpal atas sumbangan besar perkhidmatan awam kepada pembangunan negara? Awang percaya sikap yang diperlihat oleh Tony Pua mencerminkan pemikiran DAP terhadap penjawat awam. Pada tahun 2011, beliau pernah mengumumkan perancangan DAP untuk mengecilkan saiz kakitangan awam. Awang juga tidak ingat sama ada DAP pernah menyatakan penghargaan khas kepada penjawat awam. Untuk membela penjawat awam apatah lagi ...

Bayangkan jika DAP memerintah negara, apa nasib penjawat awam? Maka sinikal dan provokasi yang berulang daripada Tony Pua serta DAP sewajarnya menjadi peringatan bernilai buat penjawat awam. Beringatlah!