RUMUSAN Awang terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam, mudah. Ia menyerlahkan hakikat bahawa parti itu masih utuh di sebalik kemelut yang melanda.

Jika ada mana-mana pihak menjangkakan perhimpunan tersebut kucar-kacir dan kecoh sebagaimana digembar-gemburkan terdahulu, pasti kecewa kerana itu semua tidak berlaku. Begitu juga kepada mereka yang mahu menangguk di air keruh, telan air liur sahaja.

Sekali lagi kematangan para perwakilan menjadi perisai dalam menundukkan sentimen. Ternyata perhimpunan UMNO kali ini menjadi satu lagi medan ujian buat UMNO, perwakilan dan pemimpin.

Presiden UMNO, Najib Tun Razak bukan sahaja mampu melepasi satu lagi badai politik berikutan isu 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion, bahkan dapat menjana keyakinan dan sokongan para perwakilan.

Sama ada suka atau tidak untuk diakui, beliau telah dapat menukar cabaran dan permasalahan berkaitan isu-isu tersebut kepada kedudukannya yang lebih kuat dalam parti mahupun kerajaan.

Pendekatan Najib untuk berjiwa besar yang terzahir dalam ucapan dasar dan ketika penggulungan, memberi bonus politik. Para perwakilan yang menyaksikan di akhir ucapan penggulungan bagaimana beliau menghulurkan seruan silaturahim untuk tamatkan konflik dalaman namun Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin dan Shafei Apdal dingin. Mujur episod berjabat tangan antara Najib dan Muhyiddin mengubat sedikit keresahan, namun harapan untuk melihat kedua-duanya berpelukan dan saling menjulang tangan simbol solidariti tidak kesampaian. Perhimpunan kali ini berakhir dengan rating Najib naik sambil membuktikan beliau pemimpin yang tabah dan lasak serta mampu menempuh lebih banyak dugaan untuk

 Persoalannya apa selepas ini? Ketika para perwakilan mahukan perpaduan parti, usaha menangani kos sara hidup dan agenda bumiputera menjadi tumpuan UMNO, isu Muhyiddin dan Shafei diharap reda. Moga-moga Muhyiddin dapat membaca isyarat para perwakilan yang kurang senang dengan kenyataan keterlaluannya terhadap Najib. Juga, tidak adil untuk menuduh pemimpin lain tidak bersih tanpa bukti kukuh kerana ia boleh menjatuhkan aib. Dalam konteks konflik dalaman, beliau juga ada tersasar dan di luar batas sebagai Timbalan Presiden UMNO walau atas prinsip apa sekalipun. Nakhoda UMNO cuma satu. Maka belum terlewat bagi beliau memulihkan hubungan dengan Presiden. Ruang terbuka luas seperti yang dirintis oleh Najib sementara Muhyiddin pada sidang akhbar, menyambut positif.

Dalam politik, segala-galanya berkemungkinan berlaku. Tiada musuh yang kekal, begitu juga sahabat - meskipun masing-masing merasakan luka mereka cukup dalam. Ambillah pendirian yang setidak-tidaknya kurang mudarat kepada agama dan bangsa. Kepada Najib, Awang percaya beliau tentu tidak mahu berasa selesa dengan sokongan padu para perwakilan. Realiti di luar nanti tidak sama sebagaimana di Dewan Merdeka. Najib lebih faham.

MUSTAHILKAH?

WAWANCARA eksklusif bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disiarkan Mingguan Malaysia bersempena Hari Keputeraan ke-70 Jumaat lepas, menarik perhatian Awang.

Paling menuntut renungan ialah kekecewaan baginda terhadap perpecahan Melayu. "Saya sangat sedih orang Melayu tidak bersatu,'' titah baginda. Ini bukan kali pertama Sultan Selangor membangkitkan hal tersebut.

Baginda adalah antara Sultan dan Raja Melayu yang lantang sejak hampir dua dekad lalu menegur para pemimpin serta ahli politik Melayu agar bangkit mencari jalan untuk bersatu.

Setakat ini, hakikatnya, bukan sahaja tiada peningkatan kepada usaha mengembalikan perpaduan Melayu malah perpecahannya makin membawa mudarat besar kepada masa depan agama Islam dan bangsa. Awang selalu percaya Melayu termasuk dalam konteks kuasa politik yang ada, tidak akan runtuh disebabkan ancaman luar tetapi akibat perbalahan dan pengkhianatan dalam kalangan Melayu itu sendiri. Kini, bibit-bibit keruntuhan itu makin ketara dan mengganggu fikiran.

Maka Awang menjunjung kasih ke atas keprihatinan Sultan Sharafuddin yang nampaknya tidak putus-putus mahukan penyatuan Melayu biar apa pun kompleksiti dan dugaan yang dihadapi. Baginda telah memberikan mesej yang jelas untuk semua. Persoalan dan juga cabarannya, sukar sangatkah atau mustahilkah bagi Melayu yang bernaung di bawah Islam untuk bersatu? Awang tiada jawapan.

DARJAH ALA BUFET

SATU lagi perkara yang menarik adalah teguran Sultan Selangor terhadap pentadbiran Muhammad Muhd. Taib semasa menjadi Menteri Besar berhubung isu penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran.

Baginda menyingkap bagaimana pihak istana merasakan seolah-olah pemberian darjah ketika era Muhammad seperti bufet iaitu letak atas meja, terus boleh ambil. Ini baru pertama kali Awang mendengar mengenainya yang disampaikan secara terbuka oleh baginda sendiri.

Nampaknya pendedahan tersebut satu lagi tamparan kepada bekas Menteri Besar itu yang kerap mencetuskan kontroversi dan kini tercari-cari arah politik dengan lompat-melompat parti selepas meninggalkan UMNO.

Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Sultan Sharafuddin melakukan pembaharuan antaranya piawaian lebih ketat dalam soal penganugerahan darjah kebesaran.

Institusi istana Selangor menetapkan beberapa syarat termasuk had umur bagi gelaran Dato' (45 tahun ke atas) dan Dato' Seri (50 tahun ke atas) selain jumlah penerima yang minimum dengan berasaskan merit.

Awang sangat setuju. Gelaran perlu ada nilai, juga bagi elak dijadikan bahan sinikal rakyat. Tidak perlu ulas panjang, rasanya ramai boleh faham.

 TABIK ISMAIL

 APA yang diiltizamkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri untuk mewujudkan pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi yang diusahakan peniaga bumiputera ala Low Yat akhirnya menjadi kenyataan.

Selepas tiga bulan cadangan mengenainya - pusat berkenaan yang dinamakan Mara Digital bertempat di Menara MARA, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur - memulakan operasi Selasa lalu.

Awang tabik Ismail kerana melaksanakan janjinya walaupun di peringkat awal cadangan tersebut mencetuskan kontroversi termasuk dibantah pihak tertentu kerana disalah erti, juga dipolitikkan.

Kini respons ramai terhadap pembukaan Mara Digital sangat positif, lebih-lebih lagi harganya yang kompetitif dan bagi kebanyakan alat komunikasi, 30 peratus lebih rendah daripada biasa.

Malah orang ramai menanti dengan teruja pusat seumpama itu diperluaskan di seluruh negara kerana ia menawarkan alternatif kepada para pengguna selain menyaksikan persaingan sihat yang membawa keuntungan kepada semua.

Sekali lagi, tahniah kepada Ismail kerana tidak apologetik dan melihat ke belakang. Sebenarnya tidaklah rumit untuk membantu bumiputera yang masih banyak ketinggalan asalkan ada kemahuan yang tinggi. Ismail sudah buktikan tanpa banyak retorik.